SHAH ALAM - Penggunaan produk tambahan oksigen perlu mengikut nasihat doktor terutama bagi pesakit yang baru dibenarkan keluar dari hospital termasuk bagi kes Covid-19. Pengarah Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), Profesor... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Penggunaan produk tambahan oksigen perlu mengikut nasihat doktor terutama bagi pesakit yang baru dibenarkan keluar dari hospital termasuk bagi kes Covid-19.

Pengarah Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), Profesor Madya Dr Muhammad Mohd Isa berkata, penggunaan yang tidak terkawal boleh mencetuskan risiko serius kepada pesakit terutama bagi mereka yang mengalami masalah kronik.

Menurutnya, jika pesakit yang mengalami masalah paru-paru, ia boleh menyebabkan pernafasan pesakit terhenti secara tiba-tiba.

Dr Muhammad

Tegas beliau, keadaan tersebut secara tidak langsung akan meningkatkan kes kematian pesakit tanpa rawatan hospital atau brought-in-dead (BID).

"Ada yang kata oksigen ini boleh menambah lagi well-being. Maksudnya bila digunakan, ia menjadi lebih sihat, yang ini untuk pesakit normal.

"Untuk pesakit yang keluar dari hospital pula, mereka tak tahu apa nak buat. Bila balik rumah mungkin akan sesak nafas.

"Jadi, kena tengok apa nasihat doktor. Kalau keluar hospital, perlu atau tidak bekalan oksigen. Nak beli pun perlu yang ada kelulusan sahaja,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Pekerjaan dan Kesihatan Am, Dr Hanafiah Bashirun berkata, orang ramai dinasihatkan agar membeli produk berkenaan di farmasi sah atau daripada pembekal berkelulusan.

Dr Hanafiah

Ujarnya, produk tiruan dibimbangi akan mendatangkan implikasi serius terhadap kesihatan pengguna dan perlu mendapatkan nasihat doktor bagi mereka yang berpenyakit.

"Bila kita beri oksigen terlalu tinggi walhal seseorang itu tidak perlu pun oksigen, ia akan memberikan beberapa komplikasi kepada paru-paru dan juga badan.

"Jika oksigen bawah paras 96 peratus, pesakit perlu mendapatkan rawatan dan juga pemantauan oksigen daripada doktor.

"Namun, jika perkara itu dilakukan di rumah, kita tidak tahu berapa banyak oksigen yang sepatutnya digunakan kepada pesakit,” kata Dr Hanafiah.

Klik di sini untuk terus membaca