SHAH ALAM - Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil menegaskan pihak pembangkang tetap akan terus berkhidmat sebagai pembangkang yang berkredibiliti sama ada di dalam atau luar Parlimen walaupun akan memuktamadkan satu... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil menegaskan pihak pembangkang tetap akan terus berkhidmat sebagai pembangkang yang berkredibiliti sama ada di dalam atau luar Parlimen walaupun akan memuktamadkan satu memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, sebagai ahli Parlimen yang telah mengangkat sumpah adalah menjadi satu kewajipan untuk mempertahankan Perlembagaan.

"Sekiranya dalam menjalankan fungsi dan tugas sebagai ahli Parlimen kami perlu menegur kerajaan berhubung perkara yang menyentuh isu Perlembagaan misalnya, maka kami harus membuat teguran tersebut.

"Itu adalah sebahagian daripada amanah yang kami pikul apabila mengangkat sumpah. Sehubungan itu juga, kami akan terus menjadi pembangkang yang taat setia kepada Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong," kata Fahmi kepada Sinar Premium pada petang Ahad.

Dalam pada itu, Fahmi turut menegaskan bahawa tiada apa yang dipanggil perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) antara Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seperti yang dirujuk oleh sesetengah pihak, sebaliknya ia adalah satu MOU.

"Pertamanya, ia bukan CSA sebaliknya MoU yang belum ditandatangani buat waktu ini kerana masih dalam fasa perbincangan," ujar Fahmi lagi.

Terdahulu, Majlis Presiden PH dilaporkan sedia membincangkan sebuah memorandum persefahaman dengan pihak kerajaan susulan pertemuan antara pimpinan tertinggi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR), Lim Guan Eng (DAP) dan Mohamad Sabu (Amanah) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 25 Ogos lalu.

Tandatangan

Dalam pada itu, pagi ini Fahmi mengesahkan satu kenyataan media yang tular mengenai majlis menandatangani MoU tersebut yang akan dibuat pada jam 5 petang ini.

"Setelah mengadakan beberapa pusingan rundingan, wakil pihak kerajaan dan PH pada hari ini telah memuktamadkan sebuah memorandum persefahaman di antara kerajaan dan PH.

"Semua pihak bersetuju bahawa memorandum persefahaman ini adalah untuk mengembalikan kestabilan politik negara demi menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara melalui pendekatan secara dwi-partisan.

"Sesuai dengan semangat ini dan komitmen untuk menterjemahkannya, maka kedua-dua pihak bersetuju untuk menandatangani persefahaman pada 13 September 2021 pada jam 5 petang di Dewan Bankuet Parlimen.

"Majlis akan disempurnakan oleh Perdana Menteri dan ketua-ketua parti PH iaitu Anwar, Guan Eng, Mohamad Sabu dan Datuk Seri Wilfred Tangau (UPKO)," kata kenyataan media itu.

Pagi ini semua ahli Parlimen bagaimanapun akan terlebih dahulu memasuki Parlimen untuk memulakan sidang Dewan Rakyat pertama di bawah kerajaan Ismail Sabri. Mengikut aturcara Parlimen, sidang hari ini akan dirasmi dan dimulakan dengan titah ucapan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Klik di sini untuk terus membaca