SHAH ALAM - Ketua Polis Johor menegaskan beliau tidak akan bertolak ansur berhubung isu rasuah walaupun cuba ‘ditembusi’ melalui pegawai yang rapat dengannya dan nyawa diancam. Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan, beliau pernah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ketua Polis Johor menegaskan beliau tidak akan bertolak ansur berhubung isu rasuah walaupun cuba ‘ditembusi’ melalui pegawai yang rapat dengannya dan nyawa diancam.

Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan, beliau pernah cuba disogok oleh warga asing ketika bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman.

"Mengikut maklumat pegawai saya, saya diberitahu ada seorang wanita cuba sogok saya sebanyak AS$50,000 (RM200,000) bagi membebaskan teman lelaki warga asing daripada dikenakan tindakan kerana terlibat dalam pemalsuan dokumen anggota Al-Qaeda,” dedahnya secara eksklusif ketika program Kafe Rasuah Busters yang disiarkan di Facebook Rasuah Busters pada Isnin.

Menurut Ayob Khan, selain cuba disogok, beliau turut menerima ancaman dan ugutan daripada tekong di Batam, Indonesia susulan tindakan tegas polis terhadap pendatang tanpa izin dalam Ops Benteng.

"Ada tekong paling terkenal di Batam buat ugutan kononnya menghantar tiga orang ke Johor untuk mengambil tindakan terhadap saya. Setakat ini, saya dimaklumkan pihak berkuasa Indonesia telah mengambil tindakan terhadap individu itu pada empat atau lima bulan lalu,” jelasnya.

Ayob Khan (kanan) ketika ditemubual menerusi program Kafe Rasuah Busters yang dihoskan oleh Sham Ghani.

Beliau berkata, konteks rasuah tidak semestinya wang tunai, mungkin tawaran itu berbentuk lain seperti aset, harta benda, kenderaan atau wanita.

"Tawaran sedemikian adalah mahu melihat kelemahan kita, mungkin mereka kaji karakter bagi mengesan kelemahan diri,” ujar Ayob Khan.

Menurut beliau, kempen anti rasuah oleh Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub banyak memberi impak positif kepada masyarakat.

"Kempen secara holisitik oleh agensi media yang melibatkan semua pihak termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan tokoh-tokoh penting dalam masyarakat telah digerakkan secara bersepadu untuk memastikan negara ini bebas daripada rasuah,” tegas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca