APABILA dunia digemparkan dengan kejatuhan pantas kerajaan sokongan Barat di Afghanistan, Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah semasa sidang media pertamanya menyatakan Putrajaya sedang memantau perkembangan terkini di Afghanistan... Klik di sini untuk terus membaca

APABILA dunia digemparkan dengan kejatuhan pantas kerajaan sokongan Barat di Afghanistan, Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah semasa sidang media pertamanya menyatakan Putrajaya sedang memantau perkembangan terkini di Afghanistan dari pelbagai sumber sebelum boleh menyatakan pendirian kerajaan kerana melibatkan pelbagai faktor dalam hubungan diplomatik.

Pemimpin politik dari parti berbeza di Malaysia menyatakan pendirian masing-masing dengan ada yang menyokong dan tidak kurang mengeji kerajaan Taliban yang baru berkuasa.

Dengan umur kerajaan Taliban yang tidak sampai pun seminggu, sebagaimana lumrahnya, kecaman demi kecaman dilemparkan oleh pihak yang tewas.

Apa yang menyedihkan ialah kerajaan baharu Taliban telah dikenakan pelbagai sekatan menyebabkan ia menghadapi kesukaran memulihkan keamanan dan kestabilan negara. Amerika Syarikat (AS) dan institusi kewangan global telah membekukan simpanan rizab asing Afghanistan bernilai AS$10 bilion dalam bentuk matawang asing dan emas yang disimpan di luar negara tersebut.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah merayu sejumlah AS$200 juta untuk meneruskan bantuan yang dianggap kritikal, terutama dalam sektor kesihatan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa 90 peratus dari 2,300 klinik kesihatan milik mereka di Afghanistan mungkin terpaksa ditutup dalam masa terdekat.

Lebih malang lagi, sebahagian besar pekerja di sektor perubatan telah tidak dibayar gaji sejak beberapa bulan oleh rejim Kabul sebelumnya.

Penderitaan yang sedang dan bakal dihadapi oleh rakyat Afghanistan adalah amat berat sekiranya tiada bantuan dari pihak luar. Kelantangan kepimpinan Taliban yang menyatakan berulang kali bahawa mereka bukanlah kerajaan Taliban pada era tahun 1990an yang ekstrem dan kini lebih terbuka seakan tidak diendahkan.

Sebahagian besar negara, termasuk Malaysia mengambil langkah tunggu dan lihat dan mungkin lebih mementingkan hubungan diplomatik dengan ‘kuasa-kuasa’ global seperti AS dan United Kingdom dari nasib rakyat negara saudara seagama. Sehingga artikel ini ditulis hanya Qatar, Pakistan dan Turki yang telah menghantar bantuan kemanusiaan dan teknikal untuk mengurangkan beban kerajaan baharu dan rakyat di Afghanistan.

Adalah agak pelik bahawa sebahagian besar negara global mensasarkan kerajaan Taliban sebagai musuh nombor satu dunia pada hari ini atas alasan tidak menghiraukan nasib wanita dan fahaman Islam radikal. Antara paling lantang mengecam rekod puak Taliban mengenai wanita adalah media India.

Dalam satu kajian organisasi bebas Thomas Reuters Foundation yang berpangkalan di AS pada 2018, India didapati sebagai negara paling merbahaya di dunia terhadap kaum wanita. Akhbar Times of India pada 2020 melaporkan bahawa Rekod Biro Jenayah Nasional India (NCRB) melaporkan bahawa terdapat 32,033 kes rogol dengan purata 88 wanita dirogol pada setiap hari.

Lebih mengejutkan ialah dalam kes rogol dibicarakan, hanya 30 peratus dari yang dituduh didapati bersalah.

Peliknya tiada negara yang mahu menuduh kerajaan India bersifat zalim kerana tidak melindungi wanita. Pihak Barat menganggap fahaman Islam radikal yang dipegang oleh kepimpinan Taliban sebagai keterlaluan.

Malaysia seharusnya memikirkan kepentingan keselamatan negara mengatasi segala-galanya dalam membina jambatan hubungan diplomatik, bersesuaian dengan status kita sebagai negara berkecuali dan berstatus negara Islam. Kepentingan inilah yang mesti memacu dasar luar negara dan bukannya berkiblatkan Rumah Putih atau No.10 Downing Street.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca