SEBUAH keluarga di Jordan sebelum ini menjadi bahan sindiran rakan-rakan mereka kerana mengusahakan pembuatan sabun daripada susu keldai yang mula beroperasi pada Februari tahun lalu. Namun, sindiran itu tidak pun melunturkan semangat... Klik di sini untuk terus membaca

SEBUAH keluarga di Jordan sebelum ini menjadi bahan sindiran rakan-rakan mereka kerana mengusahakan pembuatan sabun daripada susu keldai yang mula beroperasi pada Februari tahun lalu.

Namun, sindiran itu tidak pun melunturkan semangat keluarga tersebut dan kini terbukti sindiran itu silap.

Kini, syarikat mereka yang mengeluarkan sabun susu haiwan tersebut mendapat permintaan menggalakkan daripada penduduk negara berkenaan.

Syarikat mereka itu yang dikenali sebagai 'Atan Donkey Milk Soups' atau Sabun Susu Keldai Atan mengusahakan 12 keldai peliharaan di sebuah ladang di Madaba, 35 kilometer dari barat daya Amman, Jordan.

Susu-susu yang diperah daripada haiwan-haiwan betina di dalam ladang tersebut kemudian akan dihantar ke sebuah bengkel kecil di ibu negara tersebut untuk dijadikan sabun.

Walaupun negara-negara lain di rantau Mediterranean turut mengeluarkan sabun daripada susu keldai, tetapi ia adalah julung-julung kali di Jordan.

"Pada awal permulaan, ramai yang ketawa dengan idea ini (hasilkan sabun dari susu keldai)," kata Emad Attiyat, 32, iaitu pengasas bersama projek tersebut baru-baru ini kepada AFP.

Beliau yang mempunyai ijazah dalam bidang Sistem Pengurusan Maklumat memberikan nama Atan untuk syarikatnya itu yang merujuk kepada keldai betina dalam bahasa Arab.

Namun, katanya, selepas sabun itu dicuba, semua perasaan ragu-ragu hilang dan syarikatnya kini mengeluarkan lebih 4,500 sabun setiap bulan untuk memenuhi permintaan pelanggan.

Beliau kini berharap akan melebarkan lagi pengeluaran syarikatnya dengan mengeluarkan pelembap dan krim muka serta tangan dengan menggunakan susu keldai.

Susu keldai dikatakan kaya dengan bahan mineral dan protein yang membantu melembapkan kulit dan kaya dengan kandungan antioksidan.

Ia juga melindungi kulit daripada kesan akibat terkena cahaya matahari dan melambatkan tanda-tanda penuaan, kata ahli-ahli rawatan kecantikan.

Rahsia kecantikan Cleopatra

Menurut cerita legenda, Pemaisuri Mesir Purba, Cleopatra pernah menggunakan susu haiwan itu semasa mandi untuk menjadikannya kelihatan muda.

Satu liter susu boleh menghasilkan kira-kira 30 sabun tetapi memerah susu haiwan itu adalah satu tgas yang sukar dan ia diperah dengan menggunakan pam elektronik.

Selepas diperah, susu itu akan dibekukan dan dihantar ke bengkel syarikat tersebut di Amman untuk dijadikan sabun.

Para penyelidik menyatakan susu keldai boleh membantu pertumbuhan semula sel-sel kulit, mengurangkan tanda-tanda penuaan dan membantu menyembuhkan beberapa penyakit kulit seperti ekzema, kata ibu Emad, Salma Al-Zubi yang memberikan idea untuk menghasilkan sabun tersebut.

Penyakit ekzema menyebabkan kulit menjadi seperti sisik dan keruping manakala penghidapnya akan berasa gatal-gatal.

Ibunya yang juga pengasas bersama syarikat itu menyatakan penghasilan sabun itu telah menyediakan peluang pekerjaan kepada beberapa ahli keluarganya termasuk anaknya itu.

Emad menunjukkan proses membuat sabun yang kini menjadi satu perniagaan popular di Jordan.

Emad sebelum ini tidak mempunyai pekerjaan selama beberapa tahun walaupun mempunyai ijazah.

Ekonomi Jordan kini lemah akibat Covid-19 dan kadar kemiskinan di negara itu ialah sebanyak 15.7 peratus pada lewat tahun 2020 dan dijangka meningkat kepada lebih 24 peratus tahun ini.

Menurut Salma, beliau melakukan eksperimen menggunakan sabun susu keldai itu selepas membaca.

Ia dikatakan mempunyai banyak kebaikan kerana mengandungi beberapa vitamin dan baik untuk kulit manusia.

Justeru, beliau menggunakan minyak zaitun, minyak kelapa dan mentega sayur dalam pembuatan sabun itu selain susu keldai.

Satu buku sabun yang kecil dijual sebanyak lapan dinar (RM46.79) Jordan dan yang lebih besar bersaiz 125 gram pula dijual pada harga sepuluh dinar (RM58.48).

Seorang pengguna setia, Esra al-Turk, 48, berkata, dia tertarik untuk menggunakan sabun susu keldai kerana ia merupakan produk buatan semula jadi.

"Saya mengambil berat tentang kulit saya," katanya seperti dilaporkan oleh AFP dan menyatakan dia tidak lagi menggunakan alat solek untuk mencantikkan wajahnya selepas menggunakan sabun tersebut. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca