TATKALA rakyat Malaysia melontarkan keluh kesah mereka oleh kerana kurangnya peluang pekerjaan dan kemudahan infrastruktur, negara tembok besar China hadir membawa Inisiatif Jalur dan Laluan demi memberi sinar harapan bukan sahaja buat negara kita malah buat lebih 60 negara di dunia ini.
Belt and Road Initiative ataupun Inisiatif Jalur dan Laluan ini mula diperkenalkan oleh Presiden China Xi Jinping pada tahun 2013 demi menghubungkan China dengan warga dunia melalui pembinaan infrastruktur yang mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi negara kuasa besar itu sendiri dan juga negara-negara di Asia, Eropah dan Afrika.
Di Malaysia, inisiatif ini disambut Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak apabila beliau menandatangani perjanjian projek mega Laluan Rel Pantai Timur ataupun East Coast Rail Link (ECRL) dengan kerajaan China bernilai lebih RM50 bilion.
Meskipun Malaysia sudah lama bebas daripada genggaman penjajah, namun negara ini masih banyak kekurangan dari aspek infrastruktur yang mampu membawa perubahan besar buat rakyat Malaysia. Negeri di Pantai Timur seperti Kelantan misalnya, masih mengalami masalah pengangkutan awam yang menyukarkan mereka untuk menjalankan kegiatan ekonomi dan jurang kemudahan pengangkutan awam di negeri itu amatlah besar berbanding di ibu kota.
Dengan pembinaan ECRL juga, ia dapat menghubungkan rakyat di negeri Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Kelantan dengan begitu pantas sekali tanpa perlu mengeluarkan kos yang sangat tinggi. Integrasi antara rakyat di negeri-negeri itu juga sudah semestinya dapat merancakkan lagi ekonomi tempatan sekali gus menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.
Peniaga-peniaga kecil di negeri Pantai Timur juga mampu memasarkan produk mereka dengan lebih pantas dan efektif dengan wujudnya infrastruktur seperti ECRL. Bahkan, tawaran daripada negara China ini juga merupakan peluang keemasan buat para intelektual di Malaysia untuk mengaut ilmu mengenai kecanggihan teknologi yang ditawarkan oleh China kepada warga dunia.
Kemampuan China memberikan tawaran seperti ini pada harga lebih rendah dan menyiapkannya dengan lebih cepat berbanding negara lain, perlu dipelajari oleh pakar infrastruktur agar suatu masa nanti negara kita mampu membina projek berstatus mega menggunakan hanya tenaga kerja tempatan.
Namun terdapat juga kebimbangan dalam kalangan penganalisis politik dunia mengenai Inisiatif Jalur dan Laluan yang diperkenalkan oleh China. Mereka khuatir inisiatif tersebut merupakan perangkap hutang yang sudah dirancang oleh negara tembok besar itu demi menggugat kedaulatan negara-negara berkaitan dan pada masa sama adalah satu percubaan oleh negara China untuk meluaskan kuasa dan pengaruhnya di pelosok dunia.
Bebanan hutang
Kebimbangan ini ternyata wajar kerana apa yang berlaku terhadap negara-negara seperti Sri Lanka dan Djibouti merupakan petanda agar negara lain yang terlibat dengan inisiatif ini perlu berhati-hati agar tidak melakukan kesilapan yang mampu menggugat kedaulatan dan keharmonian negara masing-masing.
Sri Lanka misalnya, bekas Presidennya, Mahinda Rajapaksa telah meminjam berbilion dolar daripada China untuk membangunkan sebuah pelabuhan yang berstatus mega. Namun tindakan beliau memakan diri apabila Sri Lanka mengalami permasalahan untuk membayar semula pinjaman itu dan menyebabkan Sri Lanka terpaksa menanggung bebanan hutang yang amat tinggi.
Disebabkan itu juga, wujudnya perjanjian baharu antara Sri Lanka dengan China di mana China mempunyai autonomi secara menyeluruh terhadap pelabuhan yang dibina di Sri Lanka selama 99 tahun. Djibouti juga mengalami permasalahan dalam menguruskan inisiatif ini apabila infrastruktur yang dibina oleh negara China memakan belanja yang amat tinggi iaitu berjumlah AS$14 bilion.
Hal ini telah menyebabkan Djibouti mengalami tekanan hutang oleh kerana jumlah bayaran balik yang diminta oleh negara China adalah bersamaan dengan 70 peratus jumlah pendapatan negara Djibouti. Bukan itu sahaja, terdapat juga isu di mana China enggan menggunakan tenaga kerja tempatan dalam menyiapkan infrastruktur di negara yang terlibat.
Akan tetapi sejauh manakah kebergantungan Malaysia terhadap China mengenai pelaksanaan Inisiatif Jalur dan Laluan dalam membina kemudahan infrastruktur di negara ini? Tidak dinafikan, China merupakan satu-satunya negara di dunia ini yang memberikan tawaran untuk membina projek berstatus mega pada harga yang lebih berpatutan berbanding negara-negara yang lain.
China menawarkan untuk membantu negara yang memerlukan tanpa perlu negara tersebut mengorbankan nilai-nilai dan budaya yang telah lama mereka praktikkan. Inisiatif ini pada asasnya jelas bermotifkan perniagaan semata-mata di mana kedua-dua pihak bakal menimba manfaat.
Jadi, sekiranya Malaysia membuat keputusan untuk mengundur diri dari terus melaksanakan inisiatif ini, ia akan menyebabkan negara bakal menghadapi suatu kehilangan yang amat besar dari segi ekonomi dan sosial pada masa hadapan.
Menurut akhbar-akhbar tempatan, walaupun negara China lebih cenderung untuk menggunakan rakyat mereka sebagai tenaga kerja, hasil permuafakatan antara negara China dan Malaysia telah membuka ribuan peluang pekerjaan buat ramai anak tempatan di Malaysia.
Di Terengganu sahaja, lebih 23,000 peluang pekerjaan baharu yang wujud dengan pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Oleh itu, tanpa kerjasama yang erat antara China dan Malaysia dalam pelaksanaan inisiatif ini ia akan menyebabkan kadar pengangguran di Malaysia terus meningkat sekali gus menyebabkan ribuan rakyat tempatan akan hilang punca pendapatan.
Ketelusan laksana projek Tambahan lagi, tanpa inisiatif ini juga ia akan menyebabkan kemajuan di negeri-negeri Pantai Timur kekal terbantut kerana inisiatif ini sudah jelas mampu memberi sinar harapan buat penduduk dalam menaik taraf status kehidupan mereka.
Bukan itu sahaja, dengan wujudnya infrastruktur seperti ECRL, ia juga akan menambahkan lagi jumlah pelancong di dalam dan di luar negara buat negeri-negeri seperti Kelantan dan Terengganu. Situasi ini secara tidak langsung akan memberi motivasi buat kerajaan negeri di Pantai Timur untuk membaik pulih kemudahan awam di negeri masing-masing agar imej negeri mereka kekal terpelihara di mata para pelancong.
Pemimpin Malaysia yang terlibat dengan Inisiatif Jalur dan Laluan ini hendaklah mengamalkan sikap yang telus dalam menguruskan projek yang dibangunkan di Malaysia agar tidak wujudnya kes-kes rasuah yang mampu menjadi duri dalam daging buat kemajuan negara.
Ketelusan juga amat penting dalam memastikan salah guna kuasa tidak berlaku di kalangan pemimpin kerana sejarah telah membuktikan pemimpin yang tidak telus akan membawa negara dan rakyatnya ke lembah kehancuran.
Tanpa ketelusan dalam memimpin inisiatif ini juga ia akan menyebabkan pelaksanaan projek memakan masa yang lebih lama dan di sinilah titik permulaan bagi peningkatan hutang negara yang mendadak kerana lebih banyak masa yang diperuntukkan, lebih mahal kadar bayaran yang perlu dikeluarkan oleh kerajaan.
Di sinilah juga hasil sentuhan Institut Demokrasi dan Hal-Ehwal Ekonomi (IDEAS) bersama empat badan penyelidikan serantau perlu digunapakai semaksimum mungkin oleh semua pihak. Hasil kerjasama yang erat antara IDEAS dan empat badan penyelidikan serantau ini telah menyumbang kepada penghasilan laman web interaktif BRI Monitor, https://www.brimonitor.org yang bertujuan untuk mengukur kadar ketelusan dan tahap tadbir urus yang baik bagi 20 projek di Asia Tenggara.
Di Malaysia sahaja, empat projek telah berjaya dikenal pasti dan dijadikan sebagai kajian kes buat tatapan umum iaitu; Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (G-jB), projek Melaka Gateway dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP).
Pemimpin di Malaysia juga perlu memastikan peralihan teknologi daripada pelaksanaan projek-projek Inisiatif Jalur dan Laluan ini berlaku dengan lancar kepada rakyat tempatan agar ilmu yang ditimba ini dapat digunakan oleh mereka dalam membangunkan negara pada masa hadapan. Walaupun terdapat isu di mana negara China lebih gemar menggunakan tenaga kerja warganya secara menyeluruh dalam pelaksanaan inisiatif ini, para pemimpin Malaysia hendaklah memainkan peranan dalam membuktikan tenaga kerja Malaysia juga mempunyai kualiti dan kebolehan bertaraf dunia.
Akhir kata, impian untuk melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang pesat membangun dengan binaan infrastruktur yang mampu memberi perubahan dari segi sosial dan ekonomi merupakan impian jutaan warganegara Malaysia.
Akan tetapi kemajuan yang dikejar tidak seharusnya menggadai nilai-nilai dan maruah negara. Di sinilah para pemimpin negara perlu bijak dan telus dalam memastikan Inisiatif Jalur dan Laluan ini dapat memberi impak yang maksimum buat negara dan rakyatnya.
Tiada guna infrastruktur yang gah dibina di setiap penjuru negara tetapi masih ramai rakyat tempatan yang sengsara oleh kerana sifat sambalewa yang ditunjukkan oleh sesetengah pemimpin dalam menguruskan hal ehwal negara menyebabkan faedah yang seharusnya dinikmati oleh rakyat Malaysia hanya dinikmati oleh sesetengah pihak berkepentingan sahaja.
Inisiatif Jalur dan Laluan ini juga sudah terbukti mampu menjadi sinar harapan buat negara jika peluang keemasan ini digunakan sebaik mungkin oleh para pemimpin. Oleh itu, setiap pihak di Malaysia hendaklah memainkan peranan mereka dalam memastikan inisiatif ini dijalankan dengan jayanya agar sinar harapan yang menjadi bualan mampu menjadi kenyataan.
* Haziq Hakimi ialah Pembantu Penyelidik di Institut Demokrasi dan Hal-Ehwal Ekonomi (IDEAS) Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca