SAINTIS mengaitkan peningkatan pelbagai kejadian bencana alam dengan fenomena perubahan cuaca global yang disumbangkan oleh pembebasan gas rumah hijau secara keterlaluan. Ironinya ribut taufan, banjir besar dan kemarau panjang adalah... Klik di sini untuk terus membaca

SAINTIS mengaitkan peningkatan pelbagai kejadian bencana alam dengan fenomena perubahan cuaca global yang disumbangkan oleh pembebasan gas rumah hijau secara keterlaluan. Ironinya ribut taufan, banjir besar dan kemarau panjang adalah bencana yang terhasil dari perubahan cuaca yang tidak menentu.

Pertubuhan Meteorologikal Dunia (WMO) menyatakan kejadian bencana seperti banjir dan gelombang haba yang dipacu perubahan iklim telah meningkat sebanyak lima kali ganda sepanjang tempoh 50 tahun, dan mengorbankan lebih dua juta orang serta mengakibatkan kerugian bernilai AS$3.64 trilion. Inilah ‘harga’ yang terpaksa dibayar apabila manusia gagal berharmoni dengan alam dalam segala tindak tanduk mereka.

Di Malaysia kejadian tanah runtuh, banjir, banjir kilat, gempa bumi lemah dan ribut kencang merupakan bencana alam yang kerap berlaku kebelakangan ini.

Kekerapan bencana alam ini telah mencetuskan satu suasana yang tidak tenteram dalam kalangan masyarakat kerana bencana tersebut boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja dan frekuensi serta keseriusannya semakin meningkat. Hakikatnya, walaupun banyak usaha mencegah dan mengurangkan risiko bencana dilaksanakan oleh pelbagai agensi kerajaan, ia masih tidak berkurang dan impaknya kelihatan semakin ketara.

Kejadian bencana alam dipengaruhi dua faktor utama iaitu semula jadi dan manusia.

Pada awal sejarah kehidupan manusia, bencana alam yang berlaku dianggap sebagai salah satu proses alam semula jadi. Namun, gangguan keterlaluan manusia terhadap sifat semula jadi alam serta aktiviti manusia yang mengeksploitasi sumber alam secara rakus demi memenuhi keperluan dan kehendak yang tidak terbatas menjadi punca utama dunia hari ini berdepan dengan peningkatan krisis bencana alam.

Di Malaysia, sejak dua puluh tahun kebelakangan ini bencana yang paling kerap direkodkan adalah tragedi banjir besar serta kejadian tanah runtuh, antaranya Tragedi Highland Tower, Tragedi Pos Dipang, Tragedi Ribut Greg dan kejadian tanah runtuh di Gombak.

Aktiviti pembalakan menjadi antara faktor penyumbang berlakunya bencana alam kerana sebarang perubahan dalam ekosistem tersebut pasti memberi kesan terhadap manusia. Hutan berperanan penting mengawal perubahan iklim dan pemanasan global, selain sebagai perlindungan sumber air, pengurangan hakisan tanah serta pengawalan banjir, namun kini kewujudannya tidak lagi dititikberatkan.

Ia hanya dilihat sebagai sumber menghasilkan kayu untuk dijual bagi memperoleh kekayaan menyebabkan kegiatan pembalakan termasuk pembalakan haram semakin berleluasa.

Kerja pembersihan tanah untuk aktiviti pertanian dan pembalakan yang tidak lestari di kawasan hulu lembangan sungai mengakibatkan kadar hakisan meningkat serta kestabilan cerun di kawasan berbukit atau pergunungan terganggu.

Lantaran, apabila curahan hujan lebat berlaku dalam tempoh yang lama, daripada hanya fenomena semula jadi akhirnya banjir, banjir kilat mahupun banjir lumpur akhirnya berubah menjadi tragedi kerana melibatkan skala yang besar, sukar dikawal dan melibatkan kadar korban nyawa serta kemusnahan yang tinggi.

Ancaman

Kemunculan bencana di tengah gelombang pembangunan telah memberikan ancaman besar kepada sesebuah negara.

Kesan daripada bencana alam ini bukan sahaja mengakibatkan kehilangan nyawa malah, ia juga menyumbang kepada kemusnahan harta benda, perpindahan penduduk, penyebaran penyakit dan paling penting mendorong kepada kemerosotan ekonomi sesebuah negara.

WMO melalui pemantauannya di seluruh dunia merekodkan sejumlah 11,000 bencana berlaku antara tahun 1970 hingga 2019, ini termasuklah malapetaka besar seperti kemarau di Ethiopia pada 1983 yang menyebabkan 300,000 kematian serta Taufan Katrina pada 2005 yang menyebabkan kerugian AS$163.6 bilion.

Lantaran itu, kemerosotan alam sekitar serta kesannya kepada kesejahteraan negara dan sejagat tidak boleh dipandang remeh. Hakikatnya, setiap detik yang tertangguh dalam usaha menangani isu alam sekitar akan meningkatkan ancaman terhadap kehidupan, kesihatan dan masa hadapan manusia sejagat serta alam keseluruhannya.

Episod bencana yang diakibatkan oleh faktor semula jadi iaitu ‘tindakan alam’ semata-mata tidak dapat diterima lagi kerana faktor utama adalah atas kesilapan manusia, kegagalan mereka mengurus dan berseteru dengan alam.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah dari Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca