SHAH ALAM - Malaysia mengambil masa selama 547 hari untuk mencecah kes melebihi sejuta sejak negara kali pertama dilanda pandemik Covid-19 pada 25 Januari 2020. Mengikut rekod, kes pertama negara adalah membabitkan tiga warga China yang... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Malaysia mengambil masa selama 547 hari untuk mencecah kes melebihi sejuta sejak negara kali pertama dilanda pandemik Covid-19 pada 25 Januari 2020.

Mengikut rekod, kes pertama negara adalah membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Januari.

Sejak itu sehinggalah pada 25 Julai lalu, negara telah merekodkan sebanyak 1,013,438 kes.

Bagaimanapun, dalam tempoh 52 hari selepas itu iaitu pada hari ini bersamaan 14 September, kes Covid-19 telah pun melebihi 2,011,440 kes.

Peningkatan kes berkenaan berdasarkan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah adalah disebabkan oleh varian Delta yang mula dikesan di India.

Beliau menegaskan varian Delta adalah yang paling bahaya dan unjuran jangkitan disebabkan varian tersebut adalah tinggi serta boleh merebak dengan pantas.

"Salah satu faktor peningkatan kes disebabkan oleh varian. Kita dimaklumkan varian Delta sekarang ini menjadi varian yang dominan.

"Varian Delta ini merebak dengan cepat sekali... bererti kalau 100 orang dijangkiti, ia boleh menjangkiti 800 orang dalam tempoh yang singkat,” katanya pada sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pada 13 Julai.

Pada bulan Ogos, angka kes Covid-19 negara ‘bermain’ di sekitar angka 15,000 hingga 24,000 kes.

Secara purata dalam bulan itu, kes harian Covid-19 di Malaysia ialah 20,456 kes.

"Varian Delta ini merebak dengan cepat sekali... bererti kalau 100 orang dijangkiti, ia boleh menjangkiti 800 orang dalam tempoh yang singkat.” - Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Di Sarawak misalnya, varian Delta menjadi pencetus utama peningkatan jangkitan Covid-19 ketika ini yang dikesan di 10 bahagian di Sarawak dengan 99 peratus daripadanya dilaporkan di Bahagian Kuching.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata, kehadiran virus Delta yang mempunyai kebolehjangkitan lima hingga lapan kali lebih tinggi berbanding varian SARS-CoV lain, menjadikannya faktor utama jangkitan kes tinggi di Sarawak, khususnya di Zon Selatan membabitkan daerah Kuching, Bau, Lundu, Samarahan, Asajaya, Simunjan, Serian dan Tebedu.

Kehadiran virus itu menyaksikan Sarawak mencatat jangkitan harian melebihi 1,000 sehari dalam tempoh 28 hari berturut-turut sejak 18 Ogos lalu.

Hari ini Sarawak merekodkan kes sebanyak 1,983, nombor dua di belakang Selangor yang konsisten merekodkan kes melebihi 2,000 kes sehari.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika, Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Sazaly Abu Bakar sebelum ini menjelaskan, dunia mahupun Malaysia akan hidup dengan Covid-19 untuk selamanya.

Sebuah portal antarabangsa, The Atlantic pada 18 Ogos lalu juga mendedahkan penduduk dunia akan hidup bersama virus Covid-19 lebih lama dan kemungkinan sehingga selamanya.

"Virus Covid-19 akan berubah mengikut masa. Oleh kerana semakin banyak orang mendapat kekebalan melalui vaksinasi, koronavirus akan berusaha mencari cara untuk menembusi kekebalan itu.

"Sama seperti selesema yang bermutasi setiap tahun sebagai tindak balas terhadap kekebalan yang ada,” kata ahli biologi dari Universiti Chicago, Sarah Cobey.

Klik di sini untuk terus membaca