SETELAH Tun Dr Mahathir Mohamad menggagaskan Wawasan 2020, Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan Islam Hadhari dan Datuk Seri Najib Tun Razak pula dengan 1Malaysia, kini Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan konsep Keluarga Malaysia... Klik di sini untuk terus membaca

SETELAH Tun Dr Mahathir Mohamad menggagaskan Wawasan 2020, Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan Islam Hadhari dan Datuk Seri Najib Tun Razak pula dengan 1Malaysia, kini Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan konsep Keluarga Malaysia dalam perutusan pertamanya sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Gagasan yang dibawa beliau bukan retorik. Ia juga tidak memerlukan pelan besar, pelancaran gah penuh gilang- gemilang, poster, bendera dan segala-galanya seperti kempen-kempen lain sebelum ini kerana konsep Keluarga Malaysia sudah lama dihayati oleh rakyat Malaysia.

Malah, perasaan kekitaan ini sudah lama ada dalam naluri setiap anak Malaysia. Cumanya ia tidak diasah, dipertajam dan dikilau di depan mata semua hingga kita perasaan kekitaan Keluarga Malaysia mula luntur dan berkarat. Seolah-olah perasaan itu tidak trendy, malah sudah ketinggalan atau out dated.

Apakah perasaan curiga, syak wasangka dan penuh dendam itu adalah perasaan seharusnya kita anuti, kononnya kerana ia menggambarkan kita adalah rakyat Malaysia moden? Setahu saya, perasaan saling membenci, suka berseteru dan berperang itu adalah perangai manusia dahulu kala.

Konsep Keluarga Malaysia ‘mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan, bersepakat untuk menyelamatkan keluarga kita,’ demikian hasrat Perdana Menteri. Pandemik Covid-19 telah mengubah sama sekali landskap ekonomi dan sosial. Ia adalah reset, reboot lalu mula menunaskan kembali apa yang telah layu dan punah.

Walaupun dalam kalangan orang politik lambat sangat untuk menyedari realiti itu, alhamdulilah akhirnya mereka mengetepikan perbezaan dan mengutamakan negara dan warganya. Memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani kelmarin antara blok kerajaan dan pembangkang adalah sejajar dengan tuntutan semasa iaitu kestabilan politik sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Parti-parti politik dan para politikusnya adalah golongan amat berpengaruh. Meskipun ramai yang tidak gemar dengan tindak-tanduk mereka yang asyik berseteru selagi mereka tidak sehaluan, ia sentiasa mempengaruhi sentimen rakyat untuk berasa tidak selamat. Akhirnya rakyat terikut-ikut untuk sentiasa berpolemik. Ia jelas amat membuang masa.

Pendekatan Keluarga Malaysia amat simple kerana menyalurkan mekanisme psikososial yang sudah sebati dalam diri kita. Ia merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum. Konsep dalam keluarga yang mengamalkan sikap berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing, seperti aur dengan tebing serta berakit-rakit ke hulu dan berenang-renang ke tepian memberi mood timbang rasa, toleransi dalam suasana damai serta sejahtera.

Utopia? Tidak, kerana kita pernah amalkan sikap kerjasama antara kaum, agama dan budaya. Sebabnya dahulu kita semua sama-sama susah, sama-sama payah membina keluarga masing-masing. Hari ini juga kerana Covid-19 kita sama-sama hidup dalam kepayahan dan keperitan hidup yang mencengkam.

Ramai dalam kalangan kita yang tersembam dari segi ekonomi kerana hilang mata pencarian akibat dibuang kerja dan perniagaan runtuh, malah ada pula antara kita terputus bekalan makanan. Susah dan payah itulah yang membangkitkan sikap tolong- menolong.

Kempen bendera putih bagi saya adalah kemuncak perasaan pasrah kita kepada kepayahan peribadi. Dengan mengibar bendera putih, kita memohon dan mengharap orang lain datang membantu. Dan, kita yang lain telah mengumbah dan tumpahkan kembali perasaan ingin menolong orang lain, sepadan dengan semangat Keluarga Malaysia.

Inilah semangat saling membantu yang harus kita bajai agar ia tumbuh subur dalam sanubari. Konsep setiakawan Ali, Ah Chong dan Samy yang diterap ke dalam buku-buku teks sekolah seharusnya kita rangkul semula dalam kehidupan seharian. Terima kasih kepada kita semua. Selamat menyambut Hari Malaysia yang ke-58.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca