SHAH ALAM - Prosedur operasi standard (SOP) dan aspek penguatkuasaan perlu diperketatkan terutamanya pada hujung minggu susulan pembukaan sektor ekonomi. Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Prosedur operasi standard (SOP) dan aspek penguatkuasaan perlu diperketatkan terutamanya pada hujung minggu susulan pembukaan sektor ekonomi.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, sekiranya mana-mana tempat tidak mengikut SOP, pihak penguat kuasa tidak perlu lagi memberi amaran, sebaliknya terus mengambil tindakan.

Dr Zainal Ariffin

"Kalau rasa tempat itu tidak ikut SOP, tutup. Tidak payah lagi memberi amaran. Kalau buka sekolah misalnya dan SOP tidak terjaga serta mempunyai kes, tutup sekolah itu.

"Selain itu, kedai makan atau sesebuah premis juga perlu memastikan mana-mana individu yang tidak mengikut SOP atau masih lagi tidak divaksin tidak dibenarkan masuk,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kerajaan tidak lagi ‘mengurung’ rakyat kerana dikhuatiri mendatangkan lebih banyak implikasi termasuk kesihatan mental membuatkan kerajaan perlu memberi tumpuan kepada pembukaan sektor ekonomi.

Dr Zainal Ariffin dalam masa sama turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengikut SOP yang ditetapkan walaupun sektor ekonomi kini kembali dibuka.

Dalam pada itu, Dr Zainal Ariffin turut bersetuju dengan pembukaan sektor ekonomi oleh kerajaan.

Mengulas isu sama, Pakar Kesihatan Awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh turut bersetuju agar aspek SOP perlu diperketatkan.

DR Sharifa Ezat

Selain itu, katanya, orang ramai juga digalakkan membuat saringan menerusi kit ujian kendiri bagi memastikan kekal bebas daripada Covid-19 terutama mereka yang belum divaksin.

"Yang sudah divaksin perlu juga ambil tahu kerana berkemungkinan dia juga boleh menjadi pembawa walaupun sudah divaksin,” jelasnya.

Pada hujung minggu lalu, kebanyakan kawasan rekreasi, peranginan dan pelancongan khususnya di luar bandar sesak dengan kunjungan warga kota sejak Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) Jumaat lalu.

Klik di sini untuk terus membaca