DUA belas tahun nan silam. Ada anak jiran saya yang baru berumur 10 tahun telah memiliki zoo sendiri. Perniagaan zoo itu cukup maju sehinggakan pada usia semuda itu, dia telah berstatus punya wang.
Tetapi tidak ramai orang tahu. Hanya emak, bapa dan adiknya sahaja. Saya dapat tahu pun secara kebetulan dan saya bernasib baik kerana dia sudi membawa saya melawat zoo tersebut. Memang mengagumkan. Sebuah zoo besar yang di dalamnya terdapat pelbagai jenis haiwan.
Hebat anak kecil itu. Dia menunjukkan kepada saya cara menjaga haiwan-haiwan tersebut. Makanan apa yang patut diberi, kandang bagaimana yang sesuai, apa yang perlu dibuat untuk menggembirakan haiwan-haiwan itu dan pelbagai lagi.
Saya, semasa berumur sebaya dengannya masih tidak berapa arif tentang kehidupan haiwan. Setakat lembu, kucing, lembu dan ayam itik, tahulah serba sedikit. Itu sahajalah yang ada di Sungai Besar. Mana ada harimau, gajah, singa, zirafah dan sebagainya.
Macam kebanyakan budak-budak lain, saya sukakan binatang, lebih-lebih lagi binatang liar. Disebabkan itu, impian besar saya pada waktu itu adalah melawat Zoo Negara. Impian itu lebih membuak apabila ada kawan sekolah yang pernah berkunjung ke situ bercerita tentang seronoknya menaiki tren mengelilingi kawasan zoo. Kian meronta-rontalah hati saya hendak ke sana. Kian tidak sabar rasanya hendak menaiki tren itu!
Pada zaman kanak-kanak saya, pihak sekolah-sekolah di seluruh negara sering menganjurkan lawatan ke Kuala Lumpur dan Zoo Negara sentiasa berada dalam senarai tempat wajib dilawati. Selalunya sebulan dua sebelum tiba tarikh lawatan, bakal peserta rombongan sudah mula sibuk bercerita mengenainya. Begitu jugalah selepas balik, tiga empat bulan berikutnya cerita tentang lawatan itu akan diulang-ulang.
Bagaimanapun pengalaman saya melawat ke Zoo Negara bukanlah dengan rombongan sekolah, sebaliknya bersama ahli keluarga. Ia satu pengalaman yang sangat menarik. Bermula dari kandang-kandang di bahagian ‘primate’ hinggalah ke kandang gajah di hujung sebelah sana, semuanya kami lawati. Masih teringat geli dan ngeri apabila melihat pelbagai ular di ‘reptiles house’. Masih terbayang nyamannya suasana dalam kegelapan di Akuarium Tunku Abdul Rahman. Masih terlintas-lintas di ingatan keseronokan menaiki tren yang agak laju sehingga tidak sempat melihat haiwan apa di kiri dan kanan.
Tetapi kenangan yang paling manis adalah ketika makan ayam goreng di restoran makanan segera di tasik yang terdapat di zoo itu. Tiga ketul habis licin, bos!
Zoo Negara yang terletak di kawasan seluas 110 hektar itu mengandungi kira-kira 5,137 spesimen daripada 476 spesies mamalia, burung, reptilia, amfibia dan ikan. Ia tidaklah sebesar Zoo Sri Venkateswara di Andhra Pradesh, India yang merupakan zoo paling besar di dunia dengan keluasannya meliputi kawasan 5,532 ekar atau 22.39 km persegi.
Jumlah haiwan di Zoo Negara juga tidaklah sebanyak di Berlin Zoological Garden, Jerman yang mempunyai 1,500 spesies dan 19, 500 spesimen. Namun, jasa dan sumbangannya tetap sama hebat dengan kedua-dua zoo tersebut dan zoo-zoo lain.
Saya percaya ramai yang bersetuju jika dikatakan Zoo Negara yang dirasmikan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj kira-kira 58 tahun dahulu bukan sahaja memberikan sedikit sebanyak pengetahuan dan kefahaman kepada pengunjung mengenai haiwan serta habitatnya tetapi juga memupuk kecintaan kita terhadap makhluk-makhluk ALLAH itu, yang setiap satu ada keunikannya tersendiri.
Sejak kewujudannya, tidak terhitung jumlah pengunjung dari dalam dan luar negara. Telah berjuta mereka yang mengunjunginya sewaktu masih kanak-kanak dan kini telah menjadi orang dewasa, malah sebahagiannya telah menjadi orang tua. Yang telah tidak bersama kita lagi pun tentu ramai. Mungkin berjuta-juta juga.
Setia
Dan Zoo Negara masih di situ. Setia menanti pengunjung. Boleh kita bayangkan bagaimana hibanya apabila dua tahun kebelakangan ini pengunjungnya kian ‘hilang’ berpunca daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disebabkan oleh pandemik Covid-19. Haiwan-haiwan di zoo itu mungkin tertanya-tanya apa salah mereka sehinggakan secara tiba-tiba peratus kunjungan jatuh merudum.
Pada 15 Ogos lalu, media melaporkan kumpulan penguin di Zoo Chonburi, Thailand mengalami kemurungan kerana ‘rindukan’ pengunjung.
Pakar penguin, Tossapol Kosol berkata, penguin-penguin itu yang sudah biasa melihat orang ramai setiap kali ia keluar untuk memasuki kandang pameran kini terpinga-pinga dan berhenti melihat keadaan sekeliling yang kosong.
Boleh dikatakan sumber perolehan semua zoo bergantung pada jualan tiket di pintu masuk atau tiket acara-acara yang diadakan, selain sumbangan pelbagai pihak. Apabila kurang pengunjung, bermakna kurang jugalah kutipan. Akibatnya pihak pengurusan berdepan masalah untuk menampung kos makanan, penjagaan dan penyelenggaraan haiwan-haiwan di zoo berkenaan.
Beberapa bulan lalu, saya terbaca satu laporan media yang menyebut Zoo Negara memerlukan RM1 juta sebulan bagi menampung pelbagai kos. Dalam keadaan biasa, yakni sebelum adanya PKP, jumlah itu mungkin dapat diperoleh tetapi dalam keadaan PKP, apatah lagi PKPD, ia akan menjadi sangat sukar dan mencabar.
Pendapatan
Laporan itu turut menyebut bahawa pada Jun tahun lalu, Zoo Negara merekodkan pendapatan sebanyak RM450,000, Julai (RM1 juta), Ogos (RM1.3 juta) dan September sebanyak RM850,000. Namun pada Oktober, ia hanya memperoleh RM150,000. Terlalu jauh dari angka yang sepatutnya.
Tanpa pandemik sekalipun, zoo terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran lain demi meneruskan kelangsungannya. Paling ketara adalah tekanan daripada kumpulan pencinta haiwan yang kian lantang mendesak supaya semua zoo ditutup dan haiwan-haiwan di dalamnya dilepaskan kembali ke habitat asal. Sekarang, desakan itu kedengaran di mana-mana, semakin lantang dari masa ke masa.
Cabaran kedua, kian berkurangnya minat anak-anak masa kini terhadap hidupan liar dan alam semula jadi. Kalau berminat pun, ia tidaklah sampai ke peringkat merengek-rengek mengajak emak ayah ke zoo macam zaman saya dahulu. Budak-budak sekarang lebih suka melawat zoo secara virtual dari dalam rumah. Tak perlu berpanas dan berpeluh. Tak perlu penatkan kaki. Hanya duduk bersama satu cup besar minuman yang manisnya boleh menyebabkan kaki dipotong dan setimbun dua jajan di atas meja. Kemudian ‘klik’lah. Usahkan zoo, safari pun boleh dikunjungi.
Generasi yang melakukan segala-galanya – melawat, melancong, berniaga, membeli belah, mencari jodoh dan sebagainya – dari dalam bilik sedang bercambah dengan suburnya. Macam anak jiran saya itu, dia menjalankan perniagaan zoo dari dalam bilik studinya sahaja. Modalnya hanya perisian game Zoo Tycoon yang bapanya muat turun secara haram daripada laman sesawang apa ke entah. Si bapa pun satu, anak itu masih kecil, sudah diajar mencuri karya intelek orang! #dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik yang gemar menulis nostalgia
Klik di sini untuk terus membaca