RUANG hampir setahun gencatan politik melalui memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik membabitkan kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) memberi peluang kepada kedua-dua belah pihak untuk fokus kepada situasi pandemik Covid-19 dan ekonomi negara.
Penganalisis Politik daripada Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, segala kritikan dan teguran dijangka terus berlaku bagi tujuan semak dan imbang serta tadbir urus.
"Namun, ia tidak akan melibatkan undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Hal ini juga membolehkan pembaharuan institusi dan tadbir urus yang baik untuk negara dapat digerakkan agar memberikan keadilan kepada rakyat tanpa mengira ideologi politik,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, sebahagian perkara yang dipersetujui dalam MoU itu ialah PH akan kekal sebagai pembangkang dan Parlimen tidak dibubar sebelum 31 Julai tahun depan.
Mengulas lanjut, Awang Azman menambah, selepas setahun MoU ini, ia boleh diperbaharui dan ditambah baik.
"Atau selepas setahun juga sekiranya isu Covid-19 dapat diturunkan pada kadar munasabah, maka Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) boleh diadakan,” kata beliau.
90 kerusi PH
Mengulas isu sama, Penganalisis Politik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berpandangan, dengan adanya MoU membolehkan negara mengecapi kestabilan sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun sehingga Julai tahun depan.
"Ini satu langkah yang baik kepada demokrasi dan kestabilan politik disebabkan pada bulan Oktober ini, akan ada perbahasan mengenai belanjawan.
"Dengan jumlah 114 kerusi yang ada, sebenarnya kerajaan Ismail Sabri tidak begitu stabil. Sekiranya ada pihak-pihak tertentu cuba membuat kekalutan, mungkin akan berlaku dan berulangnya kembali ketidakstabilan ini.
"Dengan MoU ditandatangani bermaksud sudah ada ikrar atau aku janji bahawa kira-kira 90 kerusi PH ini memberi jaminan kerajaan kekal stabil selama setahun walaupun ada pihak lain cuba membuat masalah,” ujarnya.
Menurut beliau, kerajaan juga harus membuktikan mereka ikhlas dan melaksanakan janji-janji yang dibuat itu antaranya dengan menggubal Rang Undang-Undang Antilompat Parti.
"Fokus kerajaan sekarang bersama PH adalah membantu menyusun program dan polisi-polisi yang baik untuk rakyat,” jelas beliau.
Mengulas mengenai apa akan terjadi selepas setahun MoU itu, Mazlan berpendapat tidak mustahil PH dan UMNO akan ada keserasian.
"Tidak mustahil akan membawa kepada satu situasi mereka boleh bekerjasama dalam PRU15 kerana mereka boleh bekerjasama pada masa sekarang.
"Slogan ‘No Anwar, No DAP’ ini juga sudah dilihat bukan lagi satu perkara yang terlarang,” kata Mazlan.
Klik di sini untuk terus membaca