SEBANYAK 20 apartmen, ratusan kereta dan puluhan ribu kad beli-belah percuma ditawarkan kepada para pengundi Rusia pada lewat minggu ini.
Bagi mendapatkan hadiah-hadian itu, apa yang perlu dilakukan oleh mereka ialah mengundi dalam Pilihan Raya Parlimen negara berkenaan.
Namun, tidak semua pengundi akan memperoleh hadiah tersebut tetapi hanya yang betul-betul bertuah sahaja bakal memilikinya dalam Pilihan Raya Parlimen yang bakal diadakan pada Jumaat sehingga Ahad ini.
Pilihan raya itu adalah untuk memilih 450 anggota Dewan Rendah Parlimen atau dikenali sebagai Duma yang mana sebanyak 334 kerusi parlimen itu kini menjadi milik parti pemerintah negara tersebut iaitu Parti Bersatu Rusia yang pro-Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Walaupun parti tersebut memenangi pilihan raya parlimen pada tahun 2016 tetapi jumlah yang keluar mengundi ketika itu ialah kira-kira lebih 47 peratus sahaja.
Mengikut daftar pengundi pada Januari 2016, lebih 109 juta pengundi dilaporkan telah berdaftar untuk menjadi pengundi dalam pilihan raya di bekas negara komunis tersebut.
Kajian yang dilakukan baru-baru ini oleh badan peninjau pendapat awam iaitu VIsIOM menunjukkan hanya lebih 30 peratus penduduk Rusia merancang untuk mengundi dalam pilihan raya parlimen kali ini.
Peratusan itu menunjukkan penurunan antara 40 hingga 45 peratus berbanding Pilihan Raya Parlimen yang diadakan pada tahun 2016.
Satu juta hadiah
Pihak berkuasa sedang melakukan apa yang terdaya untuk meningkatkan minat pengundi dalam pilihan raya Duma itu.
Justeru, terdapat papan-papan tanda di sekitar Moscow tertera ayat bagi memberitahu para pengundi terdapat 'satu juta hadiah' yang menanti mereka yang bertuah dan mengundi secara elektronik dalam pilihan raya tersebut.
Pemberian hadiah-hadiah itu merupakan salah satu tanda bahawa parti Bersatu Rusia mungkin akan memperolehi lagi majoriti di Duma walaupun popularitinya semakin merosot dalam kalangan penduduk negara tersebut.
Buat masa ini, taraf hidup penduduk Rusia telah menurun sejak sedekad lalu.
Rusia kini sekali lagi dilanda kemerosotan ekonomi disebabkan oleh pandemik Covid-19 dengan pendapatan rakyat merosot 10 peratus sejak tahun 2013 manakala harga barangan pula meningkat.
Namun, Parti Bersatu Rusia dijangka kembali semula memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Rendah Parlimen sekali gus mampu untuk menggubal perlembagaan seperti yang dilakukan pada tahun lalu.
Pada tahun lalu, satu pungutan suara diadakan bagi melakukan pembaharuan terhadap perlembagaan termasuk penggal pemerintahan Presiden.
Ia sekali gus membolehkan Putin melanjutkan lagi tempoh tempoh pemerintahan sehingga tahun 2036.
Pada pilihan raya Presiden 2018, kebanyakan wilayah di negara tersebut memberikan hadiah percuma dan mengadakan pertandingan di pusat-pusat mengundi.
Pada tahun lalu juga, semasa undian dalam pungutan suara untuk menggubal perlembagaan, kerajaan membenarkan hadiah-hadiah percuma diberikan kepada para pengundi bertuah.
Ia adalah sebagai cara untuk menggalakkan ramai orang mengundi ketika negara tersebut dilanda dengan pandemik Covid-19.
Dalam pungutan suara itu, hampir 67 peratus pengundi Rusia mengundi walaupun lebih 70 peratus orang merancang untuk mengundi. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca