SHAH ALAM - Nama Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein terpateri dalam lipatan sejarah negara sebagai Perdana Menteri Malaysia kedua menggantikan Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.Diberi gelaran Bapa Pembangunan, Tun Abdul Razak... Klik di sini untuk terus membaca
SHAH ALAM - Nama Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein terpateri dalam lipatan sejarah negara sebagai Perdana Menteri Malaysia kedua menggantikan Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Diberi gelaran Bapa Pembangunan, Tun Abdul Razak antara individu yang turut serta dalam rombongan Tanah Melayu ke London demi menuntut kemerdekaan dari British.

Anak kelahiran Pulau Keladi, Pekan, Pahang itu juga merupakan pemimpin yang memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru bertujuan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula aktiviti ekonomi ke arah pembahagian kekayaan negara yang lebih saksama.

Jika mahu dihitung, banyak lagi pencapaian membanggakan yang telah dilakar sepanjang beliau bergelar Perdana Menteri.

Namun daripada satu sisi lain, Allahyarham Tun Abdul Razak merupakan suami yang penyayang buat isteri beliau, Allahyarhamah Tun Rahah Tan Sri Mohamed Noah yang dikahwini pada 4 September 1952.

Hasil perkongsian hidup pasangan tersebut dikurniakan lima anak lelaki iaitu Datuk Seri Mohd Najib, Datuk Ahmad Johari, Datuk Mohamed Nizam, Datuk Mohamed Nazim dan Datuk Seri Mohamed Nazir yang berjaya dalam pendidikan dan kehidupan masing-masing.

Umum lebih mengenali anak sulung pasangan tersebut, Mohd Najib yang mewarisi darah politik Tun Abdul Razak berbanding adik-beradik lain malah pernah menyandang jawatan selaku Perdana Menteri Malaysia keenam.

Namun, baru-baru ini Mohamed Nazir yang juga anak bongsu Allahyarham Tun Abdul Razak mencuri tumpuan apabila beliau berkongsi tiga perkara tidak diketahui ramai tentang arwah bapanya itu.

Tiga 'rahsia' itu didedahkan ketika Mohamed Nazir yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Kumpulan CIMB itu ketika menghadiri wawancara eksklusif Sinar Ahad di Kumpulan Media Karangkraf di sini.

Menurut beliau, Allahyarham bapanya, sangat menginginkan anak perempuan setelah mempunyai empat anak lelaki.

"Apabila saya dilahirkan, beliau diberitahu dapat anak lelaki yang kelima, beliau kata, Oh no! sebab beliau sudah buat persiapan untuk anak perempuan," ujar Mohamed Nazir sambil menambah ketika kecil beliau cuma ada pakaian anak perempuan.

Gambar keluarga Tun Razak dan Tun Rahah bersama semua lima anak lelaki Mohd Najib, Ahmad Johari, Mohamed Nizam, Mohamed Nazim dan Mohamed Nazir. - Instagram/@najibrazak


Disyorkan artikel berkaitan ini:

https://premium.sinarharian.com.my/article/153323/wawancara-/wawancara-eksklusif/demokrasi-musyawarah-lsquoubatrsquo-untuk-malaysia

https://premium.sinarharian.com.my/article/153321/fokus/semasa/lsquoorang-kaya-wajar-kena-cukai-lebih-tinggirsquo

https://premium.sinarharian.com.my/article/153322/fokus/semasa/pakar-ekonomi-sokong-cadangan-cukai-lsquodurian-runtuhrsquo-untuk-t20

Keduanya, ketika Allahyarham Tun Razak berumur 11 tahun pada 1933, beliau pergi ke Istana Pahang untuk satu acara.

"Di situ, beliau melihat orang British duduk atas kerusi sedangkan ketua-ketua Melayu berdiri. Itulah permulaan nasionalisme Tun Razak.

"Ketiga, pernah berlaku apabila beliau pergi ke luar negeri untuk urusan kerajaan dan pembantunya membeli berus gigi menggunakan duit kerajaan, arwah bapa memarahinya dan disuruh tukar balik, beli dengan duit beliau sendiri.

"Ada juga sekali rombongan kerajaan Malaysia duduk di hotel ramai-ramai, beliau mengamuk apabila tengok bil, kemudian seluruh rombongan kena tukar dari hotel lima bintang ke tiga bintang," kata Mohamed Nazir yang kehilangan bapa tercinta ketika baru berusia sembilan tahun.

Untuk rekod, Allahyarham Tun Razak yang dilahirkan pada 11 Mac 1922 meninggal dunia pada usia 54 tahun akibat acute leukemia di London pada 14 Januari 1976 dan jenazah beliau disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara. Klik di sini untuk terus membaca