PADA Rabu lalu, Emiriah Arab Bersatu (UAE) memasuki tahun pertama menjalin hubungan dengan Israel selepas menandatangani perjanjian pada 15 September 2020 di Rumah Putih, Washington, Amerika Syarikat (AS).
Melalui pemeteraian perjanjian itu, UAE yang merupakan anggota Liga Arab turut mengiktiraf kewujudan negara haram itu tetapi ia mencetuskan kemarahan penduduk Palestin yang menentang rejim Zionis.
Pada 15 September itu juga, Bahrain yang berjiran dengan UAE turut menandatangani perjanjian untuk menjalin hubungan diplomatik dengan Israel juga di tempat yang sama di AS dan disaksikan oleh bekas Presiden Amerika, Donald Trump.
Perjanjian yang dikenali sebagai 'Abraham Accords' itu juga dianggap memecahkan konsensus negara-negara Arab yang tidak mahu hubungan dengan Israel terjalin kecuali masalah penjajahan di Palestin diselesaikan terlebih dahulu.
Namun, langkah UAE dan Bahrain itu kemudian diikuti oleh Maghribi serta Sudan tetapi kuasa berpengaruh di rantau Arab iaitu Arab Saudi masih tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel.
Berikutan perjanjian yang ditandatangani itu, UAE memperoleh keuntungan ekonomi dalam tempoh yang segera apabila menandatangani satu siri perjanjian dengan Israel dalam sektor pelancongan hingga perkhidmatan kewangan.
Menteri Luar Israel, Yair Lapid kemudian melakukan lawatan rasmi ke UAE pada Julai lalu.
Beliau merupakan bakal Perdana Menteri negara haram tersebut apabila mengambi alih daripada Naftali Bennett selepas dua tahun berkuasa berdasarkan kepada persetujuan yang dicapai oleh mereka semasa membentuk kerajaan gabungan baharu bagi menamatkan pemerintahan Benjamin Netanyahu.
Israel turut membuka kedutaannya di Abu Dhabi manakala UAE juga melakukan perkara yang sama di negara haram tersebut.
Menteri Ekonomi UAE, Abdullah Toug Al Marri dilaporkan sebagai berkata, bahawa negaranya mempunyai perdagangan dua hala dengan Israel yang bernilai antara AS$600 hingga AS$700 juta (RM2.4 hingga RM 2.9 bilion).
Katanya, kepada Majlis Atlantik iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan pada Isnin lalu, UAE mahu mewujudkan aktiviti ekonomi bernilai AS$1 trilion (RM4.16 trilion) dalam tempoh satu dekad lagi.
UAE juga akan mendapat keuntungan ekonomi jika satu perjanjian besar menyalurkan minyak dari negara tersebut ke Eropah dengan menggunakan paip dari Israel akan menjadi kenyataan.
Namun, kumpulan alam sekitar menentang pembinaan paip itu kerana ia mungkin merosakkan terumbu karang di Laut Merah.
Malah, ketika pertempuran antara rejim Zionis dengan Hamas di Gaza selama 11 hari berlaku pada bulan Mei lalu sehingga lebih 200 penduduk Palestin terkorban, UAE masih meneruskan hubungan dengan Israel.
Ketika serangan itu berlaku, kebanyakan pihak mahu melihat apakah bentuk reaksi UAE yang telah menandatangani perjanjian dengan Israel pada tahun lalu.
Kesannya, UAE tidak membekukan hubungan dengan Israel atau memutuskan hubungan dengan negara haram tersebut.
Gagal tekan Israel
Namun, ia juga tidak mampu untuk mempengaruhi Israel untuk menghentikan serangan di Gaza dan tindakan ganas rejim Zionis ke atas penduduk Palestin di Masjidil al-Aqsa pada Mei lalu.
Pertempuran itu hanya dihentikan selepas Mesir yang juga mempunyai hubungan dengan Israel sejak tahun 1979 menjadi perantara sehingga menyebabkan satu gencatan senjata longgar dimeterai antara rejim Zionis dengan Hamas bagi menamatkan serangan udara Israel ke atas Gaza.
Dalam pada itu, Ketua Konsulat Israel di Dubai, Ilan Sztulman Starosta memberitahu AFP dalam satu temu ramah bahawa UAE tidak mengubah dasar untuk menamatkan hubungan dengan rejim Zionis kerana keamanan dengan negara haram Israel merupakan kepentingan kebangsaan buat negara beraja Arab itu.
Israel juga mempunyai pandangan yang sama dengan UAE berhubung kepentingan hubungan dua hala itu.
Hasil daripada hubungan itu, UAE mempunyai pelajar-pelajarnya yang belajar di universiti-universiti Israel.
Menurutnya, kira-kira 200,000 penduduk Israel telah melawat UAE pada tahun lalu walaupun pandemik Covid-19 masih belum berakhir dan menganggarkan kira-kira 40 syarikat dari Israel telah diwujudkan di negara Teluk itu.
Buat masa sekarang ia memperoleh keuntungan ekonomi hasil daripada hubungan dengan Israel tetapi gagal untuk memainkan peranannya bagi menamatkan pertempuran antara rejim Zionis dengan Hamas sebaliknya peranan tersebut dilakukan oleh Mesir. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca