MEMORANDUM Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani tiga hari sebelum Hari Malaysia ke-58 adalah hadiah hari jadi terbaik untuk Malaysia.Sungguhpun ada parti yang terlibat menafikannya sebagai satu Perjanjian... Klik di sini untuk terus membaca

MEMORANDUM Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani tiga hari sebelum Hari Malaysia ke-58 adalah hadiah hari jadi terbaik untuk Malaysia.

Sungguhpun ada parti yang terlibat menafikannya sebagai satu Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (Confidence and Supply Agreement, CSA), ia sememangnya suatu CSA kerana Pakatan Harapan berjanji dalam perkara 3.3 mengambil pendirian menyokong atau berkecuali bagi undi Belanjawan 2022 dan undang-undang perbekalan atau kewangan yang berkaitan serta ‘apa-apa usul kerajaan atau rang undang-undang yang lain yang kegagalan meluluskannya merupakan satu bentuk ketidakpercayaan atau tidak keyakinan kepada kerajaan.

᾿Ini tidak bermakna bahawa Pakatan Harapan (PH) akan menjadi pak turut kerajaan dan memberi sokongan atau berkecuali secara membabi buta, tak kira apa kandungan belanjawan, usul atau rang undang-undang yang dibentangkan oleh kerajaan. PH dengan cermatnya memastikan untuk kedua-dua perkara kepercayaan dan perbekalan (belanjawan), penggubalan mesti dirundingi dan dipersetujui secara bersama dasarnya.

PH juga tidak terikat untuk menyokong atau berkecuali untuk sebarang usul atau rang undang-undang yang kegagalannya tidak membawa kejatuhan kerajaan.

Jadi, PH tidak menggadaikan peranannya sebagai pembangkang kerana menandatangani CSA ini. Sebaliknya, PH akan menjadi parti pembangkang lebih membina dan berkesan dalam persaingannya sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Membina kerana peranan PH sekarang adalah pesaing budiman kerajaan dengan menjamin keberlangsungan kerajaan dan menyelamatkannya daripada sebarang pemberontakan atau ugutan dalaman selagi kerajaan mengotakan janjinya dalam melakukan transformasi.

Berkesan kerana sebahagian besar daripada transformasi yang dijanjikan adalah berkenaan dengan ruang lebih besar untuk pembangkang memainkan peranan dalam mencorak dasar kerajaan dan memperjuangkan kesejahteraan dan kepentingan kepada rakyat.

Ini termasuklah penubuhan lebih banyak Jawatankuasa Khas Parlimen (JKP), perundingan dan persetujuan dengan ahli Parlimen untuk rang undang-undang dan belanjawan, dana pembangunan kawasan yang sama untuk ahli Parlimen PH (seharusnya tidak mengira parti).

Kelebihan CSA ini nyata terserlah. Di satu pihak, kita boleh ada kerajaan yang stabil tanpa takut dijatuhkan bila-bila waktu atau terpaksa melantik ramai menteri, duta khas berpangkat menteri dan timbalan menteri semata-mata untuk mendapatkan sokongan.

Kerajaan juga boleh mendapat kerjasama pembangkang untuk menambahbaik dasar-dasar dan berkongsi tanggungjawab politik. Ini akan membolehkan kerajaan membuat keputusan-keputusan yang perlu tetapi tidak popular dalam krisis seperti darurat.

Di pihak lain, ahli-ahli Parlimen pembangkang yang mewakili hampir separuh pengundi tidak perlu lagi dianaktirikan dan dihalang daripada memberi sumbangan idea, usaha daya dan moral kepada pembangunan tanah air dan kesejahteraan rakyat dalam Keluarga Malaysia.

Yang paling penting, moga-moga dengan CSA ini, parti-parti yang dahulunya bermusuhan dan menyerang sesama lain dengan pelbagai tuduhan kesat kini akan menjadi lebih realistik dalam mengatur cara strategi untuk PRU15.

Dengan menerima norma baharu bahawa kebarangkalian besar tiada mana- mana parti atau gabungan boleh memenangi majoriti dengan sendiri dalam PRU15 dan kerajaan gabungan pasca-PRU perlu dibentuk oleh parti-parti yang bersaing sesama lain, moga-moga parti- parti akan mengurangkan kedengkian dan permusuhan antara mereka. Ini seterusnya juga akan mengurangkan suhu dalam hubungan kaum dan agama.

Bukankah ini hadiah terbaik untuk Hari Malaysia ke-58. Terima kasih, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu.

*Profesor Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen.

Klik di sini untuk terus membaca