CADANGAN mengembalikan amalan pelantikan Peguam Negara sebagai Menteri Undang-Undang adalah solusi terbaik bagi memulihkan integriti sistem perundangan negara susulan konvensyen itu pernah terbukti keberkesanannya pada zaman pentadbiran... Klik di sini untuk terus membaca

CADANGAN mengembalikan amalan pelantikan Peguam Negara sebagai Menteri Undang-Undang adalah solusi terbaik bagi memulihkan integriti sistem perundangan negara susulan konvensyen itu pernah terbukti keberkesanannya pada zaman pentadbiran Perdana Menteri ketiga, Allahyarham Tun Hussein Onn.

Bagaimanapun, pakar undang-undang veteran, Profesor Datuk Dr Salleh Buang berpendapat cadangan itu perlu dilaksanakan bersekali dengan cadangan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Hal ini penting bagi memastikan integriti sistem perundangan negara lebih terjamin di samping Jabatan Pendakwa Raya akan mempunyai lebih kuasa autonomi dalam mengendalikan sebarang kes di mahkamah.

Mengakui amalan pelantikan Peguam Negara sebagai Menteri Undang-Undang adalah satu konvensyen yang terbukti berkesan pada zaman dahulu, Salleh juga berpendapat langkah itu memastikan kualiti menteri yang menjaga hal undang-undang dan pentadbiran Parlimen adalah lebih baik.

Untuk rekod, amalan kerajaan melantik Peguam Negara sebagai Menteri Undang-Undang bukan satu perkara baharu apabila negara pernah mempunyai seorang menteri Kabinet yang juga Peguam Negara iaitu Allahyarham Tan Sri Abdul Kadir Yusof dan Tan Sri Hamzah Abu Samah.

"Sewaktu Allahyarham Tan Sri Abdul Kadir menjadi Menteri Undang-Undang merangkap Peguam Negara, beliau memberikan perkhidmatan cemerlang sehingga dianggap sebagai salah seorang Peguam Negara terbaik pernah mencurahkan jasa kepada negara.

"Justeru, tiada masalah untuk amalan ini dipraktikkan semula, malah saya menyokong cadangan ini kerana sejarah membuktikan beberapa Menteri Undang-Undang yang dilantik sejak kebelakangan ini tidak menunjukkan prestasi cemerlang.

"Bagaimanapun, soal sama ada perkara ini akan direalisasikan terserah kepada kerajaan.

"Selain itu, saya menekankan kepentingan cadangan ini dilaksanakan bersekali dengan cadangan pemisahan kuasa Peguam Negara dan pendakwa raya kerana saranan sebegini sudah lama dibangkitkan ramai pihak," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman supaya Peguam Negara dilantik sebagai Menteri Undang-Undang.

Berucap ketika membahaskan Titah Diraja, Azalina berkata, pelantikan tersebut membolehkan Peguam Negara hadir ke Dewan Rakyat bagi menjawab isu-isu berkaitan perundangan.

Menurut bekas Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat itu juga, pelantikan berkenaan membolehkan pengasingan tugas kepada individu berbeza yang menasihati kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong.

Asing kuasa

Seorang lagi pakar undang-undang daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar bagaimanapun tidak bersetuju dengan pandangan Salleh yang menyokong amalan pelantikan Peguam Negara sebagai Menteri Undang-Undang.

Beliau sebaliknya berpendapat keperluan Peguam Negara menjadi Menteri Undang-Undang adalah tidak begitu signifikan mengambil kira kepentingan mewujudkan Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Pendakwa Raya yang bebas tekanan politik adalah lebih mendesak.

"Saya bersetuju dengan cadangan pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya perlu dilaksanakan segera, mencontohi amalan negara Britain.

"Namun, bagi saya lebih baik kedua-dua jawatan itu tetap dipilih dalam kalangan penjawat awam kerana pemilihan Peguam Negara adalah berdasarkan daripada kualiti penjawat awam yang telah berkhidmat lama serta berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran awam.

"Selain itu, lebih baik Menteri Undang-Undang diberi ruang untuk menfokuskan usaha pemerkasaan pembaharuan polisi kerajaan serta merealisasikan transformasi Parlimen sebagaimana dijanjikan dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini," katanya.

Mengulas lanjut kepentingan pelaksanaan pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Khairil Azmin mengakui langkah pemisahan itu akan memberi kebaikan besar dengan kedua-dua jabatan perundangan berkenaan akan lebih khusus dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Paling penting, beliau yakin langkah pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan menampakkan pembentukan satu Jabatan Pendakwa Raya Negara kelak akan lebih berwibawa dan berintegriti dari sudut struktur organisasi dan kepimpinan.

"Sekiranya perkara ini serius untuk dilaksanakan, saya mencadangkan Jabatan Pendakwa Raya Negara ini kelak diletakkan di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong dan diselia secara terus oleh Dewan Rakyat.

"Langkah ini penting bagi membolehkan fungsi jabatan pendakwa raya negara akan lebih bebas, menjadi semak dan imbang kepada kerajaan serta tidak tertakluk kepada keputusan kabinet dan Perdana Menteri.

"Satu lagi manfaat kewujudan satu jabatan pendakwa raya negara yang khusus adalah entiti ini mampu melakukan sebarang penyiasatan terhadap sebarang aduan salah laku membabitkan pihak eksekutif dan penjawat awam secara lebih telus dan adil," katanya.

Di sebalik cadangan pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya dianggap positif, Khairil Azmin mengakui cabaran kerajaan untuk merealisasikan perkara itu amat besar kerana pindaan Perlembagaan Persekutuan membabitkan Perkara 145 perlu dibuat.

Justeru, Khairil Azmin menggesa kerajaan mengambil peluang untuk melaksanakannya pada saat pembangkang bersetuju memeterai perjanjian MoU yang seakan-akan perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan kerajaan baru-baru ini.

"Melalui perjanjian CSA ini, kerajaan boleh mendapatkan sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen untuk meminda Perlembagaan Persekutuan membabitkan Perkara 145.

"Saya juga yakin ahli-ahli Parlimen pembangkang turut menyokong cadangan pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya kerana langkah itu akan memastikan institusi perundangan negara lebih berwibawa dan berintegriti," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca