PERPADUAN dapat diertikan sebagai hubungan erat bersifat toleransi yang diwujudkan secara sengaja dalam kalangan kaum dan etnik berbeza untuk mencapai matlamat bersama.
Dalam kata lain, perpaduan adalah proses menyatupadukan seluruh masyarakat Malaysia untuk membentuk satu keluarga dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan negara. Jika dilihat secara umum, Malaysia merupakan antara negara yang terkenal di mata dunia sebagai sebuah negara yang membangun pesat. Kejayaannya bukan sekadar menangani isu-isu tempatan bahkan turut terlibat dalam menangani permasalahan yang dialami masyarakat antarabangsa.
Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang unik dengan kepelbagaian. Walaupun rakyat berbilang etnik dan bangsa, tetapi mereka dapat hidup rukun dan damai. Inilah kekuatan bangsa Malaysia! Dalam pelbagai isu berkaitan masalah perpaduan kaum di Malaysia lewat kebelakangan ini, tidak adil untuk kita menghukum negara atas kepercayaan bahawa masyarakat kian berpecah.
Perpaduan rakyat Malaysia amat jelas dalam aspek sosial. Kebersamaan ini dapat dilihat di kedai-kedai mamak atau warung-warung kopi. Bangsa Malaysia yang berlainan kaum dan budaya memiliki citarasa yang sama. Roti canai, nasi lemak dan teh tarik tetap menjadi pilihan rakyat Malaysia. Kesatuan ini juga dilihat kuat dalam agenda sukan di mana seluruh bangsa Malaysia bersatu dalam menyokong kontinjen Malaysia dalam apa jua acara sukan. Dan trofi kemenangan itu merupakan trofi kemenangan rakyat Malaysia sendiri.
Setiap hari Jumaat juga kita dapat lihat akan perpaduan umat Islam berlainan warna kulit, pangkat dan juga latar belakang fahaman politik berbeza berkumpul di setiap masjid di seluruh pelosok negara untuk matlamat yang sama.
Justeru, cabaran utama perpaduan Keluarga Malaysia dapat mewujudkan negara Malaysia bersatu padu dengan matlamat serupa dan boleh dikongsi bersama. Tetapi masalah yang dilihat dalam konteks perpaduan politik negara adalah satu senario yang lemah. Hal ini berkait dengan cabaran mewujudkan masyarakat berbudi dan berbudaya penyayang iaitu sistem sosial yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri dan kebajikan insan tidak berkisar kepada individu tertentu sahaja.
Ancaman perpaduan kaum di Malaysia kini dilihat secara jelas melalui ideologi politik sama ada daripada parti mahupun pemimpin parti politik itu sendiri. Perbalahan antara pemimpin politik di Malaysia menjadi punca kemarahan rakyat di negara ini. Suara lantang pemimpin politik mempertahankan ideologi dan kepentingan masing-masing seolah tidak mempedulikan rakyat. Benar, banyak usaha dilakukan kerajaan dan kerajaan terdahulu namun kepincangan politik ini secara tidak langsung menggugat keharmonian masyarakat Malaysia.
Pemimpin politik di bawah kepimpinan kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu tegas mempertahankan kedaulatan Keluarga Malaysia dalam memacu negara menjadi negara maju dalam tempoh pasca Covid-19. Tumpuan perlu diberi kepada kestabilan ekonomi dan pembangunan rakyat berbanding agenda politik kepartian. Masih belum lagi terlambat untuk memperbaiki masalah perpaduan negara. Yang penting keikhlasan. Barulah semangat nasionalis dalam kalangan rakyat dapat dikukuhkan.
Tanggal 31 Ogos dan 16 September membuktikan perpaduan seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama turut serta meraikan acara patriotisme dan menjadi rakyat nasionalis yang cintakan negara. Kibaran Jalur Gemilang, penggunaan bahasa kebangsaan, pemakaian pelbagai busana tradisional, tarian dan acara kerakyatan pelbagai budaya menjadi bukti hidup perpaduan Malaysia. Janganlah jadikan perpaduan kita hanya pada tarikh tertentu sahaja. Apa ertinya negara menyambut ulang tahun kemerdekaan jika rakyat dan pemimpin masih lagi punyai syak wasangka sesama sendiri. Semua ini masalah pokok yang harus diselesaikan. Merdekakah kita sebenarnya? Mungkin benar kita telah merdeka dari jajahan, sebaliknya kita dijajah pemikiran kita sendiri. Mari kita bebaskan diri dengan menghayati erti sebenar mendaulatkan kemerdekaan. Berdirilah kesemua pemimpin politik Malaysia bersama rakyat, bersatu demi Malaysia!
*Shafezah Abdul Wahab ialah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi & Pengajian Media UiTM Cawangan Melaka
Klik di sini untuk terus membaca