SHAH ALAM - Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu mewujudkan makmal bergerak yang menggunakan kepakaran forensik alam sekitar serta sistem data raya inventori bahan kimia dalam mengendalikan isu pencemaran air dan alam sekitar.
Pakar Kualiti Air dan Alam Sekitar, Dr Mohd Yusoff Ishak berkata, langkah tersebut untuk mempercepatkan proses sabitan suspek kes pencemaran alam sekitar di mahkamah berikutan proses itu ketika ini memakan masa lama.
Katanya, kemudahan yang dicadangkan itu akan membantu daripada aspek perolehan bukti untuk mendakwa pesalah di mahkamah.
"Dengan adanya makmal bergerak data raya inventori bahan kimia dan penggunaan forensik alam sekitar, ia akan mempercepat dan meyakinkan proses sabitan di mahkamah.
"Ini kerana masih terdapat kelompongan dari segi proses sabitan suspek di mahkamah. Prosesnya memakan masa agak lama kerana perlu dapatkan bukti,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Mohd Yusoff yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FPAS) Universiti Putra Malaysia (UPM) menegaskan, dengan adanya makmal bergerak, ia membolehkan siasatan dapat dilakukan dengan lebih cepat dan meluas.
Menurutnya, kemudahan makmal bergerak akan membolehkan makmal itu dapat segera digerakkan ke lokasi panas atau lokasi yang dilaporkan berlaku kes pencemaran seperti di kawasan-kawasan industri.
"Menerusi kemudahan canggih ini, JAS boleh mensabitkan atau mengenal pasti terus punca pencemaran itu berlaku.
"Ini kerana JAS dapat mengenal pasti apa jenis bahan kimia tersebut dan dibantu dengan teknologi data raya, ia dapat mengenal pasti pihak industri yang menggunakan bahan kimia berkenaan,” katanya.
Menyentuh mengenai sistem data raya, beliau berkata, pangkalan data itu tidak susah untuk diwujudkan kerana pihak industri perlu mendaftarkan bahan kimia atau bahan mentah yang digunakan dengan pihak berkuasa seperti JAS dan bomba.
"Kalau mereka sudah ada data itu maknanya kita boleh tahu kilang mana yang gunakan bahan kimia tertentu.
"Contohnya dalam kes pencemaran di Kampung Baru Sri Aman ini, hasil siasatan awal pihak bomba, bahan kimia itu dipercayai ‘methyl alcohol’.
"Jadi JAS misalnya boleh kesan kilang mana yang dalam radius tiga kilometer yang berdaftar dengan pihaknya atau bomba yang menggunakan bahan kimia itu sebagai bahan mentah, untuk pemprosesan dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, setakat ini JAS masih belum memiliki kemudahan makmal bergerak kerana lazimnya sampel akan dihantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya.
Ujarnya, kerjasama melibatkan jabatan yang berlainan itu akan menyebabkan berlaku kelewatan dalam proses analisis sampel sedangkan masa memainkan peranan penting kerana bahan kimia bersifat meruap.
"Kepakaran forensik alam sekitar juga sangat penting kerana dengan kepakaran yang dimiliki itu ia boleh menganalisis mesin yang digunakan dalam kajian terhadap sampel,” ujarnya.
Beliau berkata, dalam kes pencemaran di Kampung Baru Sri Aman, bahan kimia yang ditemui berkepekatan 120ppm yang merupakan satu angka yang tinggi dan membahayakan penduduk.
"Orang yang membuang bahan kimia ini mungkin mengambil kesempatan sebab sekarang musim hujan dan berharap ia akan mencairkan bahan buangan itu,” kata beliau.
Klik di sini untuk terus membaca