HAWAIIAN Airlines telah memuat naik video selama lima minit ke saluran YouTubenya untuk mengingatkan pelancong yang mahu bercuti di Pulau Hawaii agar peka dengan persekitaran dan menghormati budaya serta komuniti masyarakat pulau itu.
Video berkenaan akan disiarkan di semua pesawat Airbus A330 transpacific dan Airbus A321 mulai minggu depan setiap kali ia mendarat di Hawaii.
Video bertajuk Travel Pono yang bermaksud menjelajah dengan berhemah di Hawaii, menampilkan lima anak kapal yang memberi nasihat mengenai cara mengunjungi Hawaii dengan selamat dan bertanggungjawab.
Dalam video berkenaan, mereka meminta pertolongan pelawat untuk mengetahui tanggungjawab sebagai pelancong bagi memelihara sumber semula jadi pulau, menjaga kebersihan dan menghormati masyarakat setempat.
Menurut Hawaiian Airlines, video tersebut merupakan lanjutan daripada program Travel Pono yang dilancarkan syarikat penerbangan itu untuk melengkapkan para pelancong dengan pengetahuan susulan peningkatan jumlah pelancong yang mendadak.
Sejak Julai lalu, pulau berkeluasan 10,432 kilometer persegi itu menerima jumlah pelancong luar biasa apabila individu yang lengkap vaksin dibenarkan mengunjungi pulau berkenaan.
Penduduk di Daerah Maui misalnya dilaporkan tidak menang tangan untuk 'mencantikkan' kawasan masing-masing bagi menerima kemasukan pelancongan yang ramai di sebalik sekatan kesihatan yang masih berkuatkuasa.
Sektor perhotelan, sewaan kereta juga bertungkus-lumus untuk memberikan khidmat terbaik kepada pengunjung yang melebihi jangkaan.
Menurut penduduk tempatan, pantai dan hidupan liar di kawasan berkenaan amat terasa dengan impak kemasukan pelancong yang tinggi apabila terdapat ekosistem yang rosak dan mercu tanda bersejarah yang dirosakkan pelancong.
Mengambil kira dengan apa yang berlaku di Malaysia apabila projek rintis gelembung pelancongan Langkawi bermula pada 16 September, Langkawi dijangka menerima 200,000 pelancong sehingga hujung tahun ini.
Buat masa ini, purata tempahan bilik diterima hotel bertaraf empat dan lima bintang di Langkawi kini telah mencapai kadar 50 peratus menjelang pembukaan gelembung pelancongan di pulau peranginan tersebut pada 16 September. Oleh itu, apa yang dilakukan oleh Hawaiian Airlines boleh juga diaplikasikan di Langkawi dengan menyediakan pesanan khidmat masyarakat mengenai tatacara pelancongan berhemah.
Tidak kira dalam bentuk video Tiktok atau sosial media yang lain, pelancong perlu sentiasa diingatkan agar menjadi warga bertanggungjawab dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Video-video berkenaan perlu ditayang berulang kali sama ada di dalam pesawat, van pelancongan, hotel dan tempat strategik lain supaya ingatan dan nasihat melekat kekal dalam minda pelancong untuk bersama menjaga 'permit' kebenaran sulung gelembung pelancongan. Informasi seperti tatacara lawatan, apa yang boleh dan apa yang tidak perlu disebarluaskan agar semua pelancong tidak memberi alasan tidak tahu itu dan ini. Ini kerana dalam keadaan gembira dapat melancong setelah sekian lama terkurung, kemungkinan untuk mengabaikan SOP adalah tinggi.
Contoh paling dekat dapat dilihat apabila penduduk Lembah Klang yang berpusu-pusu ke tempat rekreasi hingga ramai yang mengabaikan SOP.
Semoga dengan usaha kecil mengingatkan pelancong berulang kali mengenai SOP dan lawatan berhemah, gelembung pelancongan dapat diteruskan ke kawasan-kawasan lain yang kini makin tenat dan memerlukan lawatan pelancong untuk kembali bernafas.
* Badruldin Zakaria ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca