DUNIA inovasi dan teknologi sering berkait rapat dengan masa.
Misalnya perlumbaan menjelajah ke bulan yang dijuarai oleh Amerika Syarikat (AS).
AS lebih ke hadapan kerana lebih cepat menguasai teknologi angkasa. Inovasi berkait rapat dengan peniruan. China pernah digelar tukang tiru terbaik dunia. Namun, senario sudah berubah sekarang kerana China kini dianggap pemimpin teknologi dunia.
Inovasi juga membenarkan si peniru menjadi popular sekiranya ciptaan tersebut diterima ramai oleh masyarakat global.
Terbaharu, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Facebook (FB), Mark Zuckerberg mencetus kegilaan terbaharu sekalipun menggunakan teknologi lama.
Beliau mencipta ‘cermin mata pintar’ atau smart glasses sebagai salah satu komponen teknologi Internet Pelbagai Benda atau Internet of Things (IOT) berasaskan kecerdasan buatan atau Artificial Intellegent (AI).
Zuckerberg percaya cermin mata pintar akan menjadi platform media sosial merealisasikan senario metaverse meresap ke dunia nyata sekali gus meyakinkan mereka sudah berada pada era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).
Istilah metaverse pernah meletup pada 1992 apabila penulis novel Snow Crash, Neal Stephenson menggunakan istilah tersebut bagi mengambarkan ‘avatar’ berinteraksi menggunakan agen perisian pada ruang maya tiga dimensi (3D).
Ia mewakili metafora dunia nyata. Perkataan metaverse bermaksud ‘luar alam semesta’.
Istilah tersebut digunakan untuk menggambarkan konsep interaksi atau lelaran masa depan internet ruang maya 3D yang dapat dihubung, dirasa dan dikongsikan secara berterusan.
Bagaimanapun, Zuckerberg bijak memanipulasi istilah inovasi.
Beliau memberi definisi baharu kepada metaverse.
Antara lain ia merujuk kepada dunia maya yang mana pengguna dapat berinteraksi dengan persekitaran yang dihasilkan oleh sistem komputer dan komunikasi dalam talian secara keseluruhan spektrum kenyataan bertambah atau augmented reality (AR).
Facebook dengan kerjasama Ray-Ban, berjaya melancarkan produk IOT Smart Glasses yang berkemampuan merakam audio-video, mengambil gambar dan dalam masa sama dikirim dan diunggah ke aplikasi pendamping dipanggil ‘Facebook View’.
Pengguna dapat merakam video, mengambil gambar atau merakam audio tanpa guna tangan/jari dengan hanya memakai cermin mata Ray-Ban 'Stories'.
Cermin mata pintar tersebut dijual dengan harga USD$299 (RM1,240).
Ia memiliki preskripsi tersendiri, lensa jernih dan cermin gelap dalam tiga gaya. Pengguna boleh mengirim video terus ke Facebook, Instagram, TikTok, Snapchat dan beberapa aplikasi media sosial lain.
Ia direka bentuk bagi membolehkan masyarakat merakam pelbagai insiden khususnya pada ketika dunia dilanda pandemik Covid-19.
Namun, penulis ingin bertanyakan satu soalan? Kenapa saintis di rantau Asia kecuali China dan Jepun, jarang menjadi peneraju dalam dunia teknologi masa depan.
Kenapa saintis Malaysia tidak mampu menghasilkan ciptaan terbaharu.
Sebenarnya cermin mata pintar ini bukan satu ciptaan yang hebat.
Meskipun, fungsinya baik namun ia boleh menganggu privasi seseorang di tempat awam dalam perspektif pengawalan data dan keselamatan siber (CS).
Ia juga telah disebut dalam Surah al-Kahfi ayat [18:71-77] dengan mengambil kira tiga peristiwa melibatkan Nabi Musa dan Nabi Khidir AS.
Penulis percaya pasukan teknologis dan jurutera bidang CS berasaskan AI, harus menjadi frontliners pada era IR4.0.
Penulis juga amat berharap saintis di Malaysia mengambil iktibar daripada inovasi diterajui oleh Zuckerberg.
Pada masa sama, rentetan kerancakan pembelian cermin mata pintar tersebut, penulis syorkan Malaysia segera menubuhkan pusat khas tentang pengoperasian keselamatan siber tegar dan lestari atau sustainable and rigid cyber security operation center (SRCSOC) yang didukung dan dibangunkan di atas ‘pelantar data-ke-segalanya’ atau ‘data-to-everything platform’.
SRCSOC ini harus memiliki memantau keseluruhan rantaian industri dan pejabat awam yang mana sistem suite mampu mengabungkan penyelesaian tanpa gangguan dalaman, luaran dan mengejut.
Kesimpulannya, suasana metaverse mampu menghasilkan suasana kehidupan efisien sepanjang pandemic Covid-19.
Namun, janganlah inovasi cermin mata pintar ciptaan Zuckerber ini merosakkan akhlak masyarakat.
* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteran Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor
Klik di sini untuk terus membaca