JIKA digarap dengan mendalam, makna perkataan ‘Seni’ amat luas sekali. Namun, dari perspektif umum ‘Seni’ adalah sesuatu yang indah dan memberikan kepuasan cita rasa kepada diri sendiri dan orang lain.
Bagi merealisasikan keindahan seni, pengubah seni perlu melakarkannya dengan tersusun, cermat dan teliti supaya coraknya begitu sejuk di mata dan indah di hati. Pendek kata, tidak hairanlah ada yang sanggup membayar jutaan ringgit bagi mendapatkan karya seni tersebut.
Semasa bersekolah dulu, teringat saya dengan cikgu seni yang cukup kreatif dan berpandangan jauh. Apabila kami diedarkan kertas lukisan, arahan beliau cukup jelas, "Hari ini kita akan melukis dengan tema ‘bebas’. Justeru terserah kepada anda semua untuk melakarkan hasil seni di atas kertas lukisan tersebut. Sila siapkan dalam masa 40 minit”.
Pada mulanya, kami terpinga-pinga untuk mendapatkan ilham melukis berpandukan tema berkenaan. Namun setelah melihat ada rakan-rakan yang melukis pemandangan, suasana di bandar, keadaan di pasar dan sebagainya lagi, maka barulah kami yakin untuk memilih latar yang sesuai.
Pun begitu, ada dalam kalangan rakan-rakan kami yang faham maksud ‘bebas’ ialah kebebasan menconteng kertas lukisan berkenaan dengan pelbagai warna dan corak. Apa yang penting, mereka dapat siapkan lukisan tersebut dengan cepat dan boleh berehat selepas itu.
Setelah kertas lukisan dihantar, pada minggu berikutnya cikgu seni mengupas kerja seni kami. Kupasan beliau cukup ringkas dan bermakna, " Wahai pelajar, ‘Bebas’ bukanlah bermakna anda bebas menconteng lukisan anda mengikut perspektif dan kemahuan anda. Apa yang penting, kerja seni anda dapat memberi makna kepada diri dan orang lain. Kehidupan kita umpama kertas lukisan. Kita yang mencorakkan lukisan tersebut supaya indah dipandang dan sampai ke hati. Janganlah kerana ‘kebebasan’, kita semaikan sikap pentingkan diri sendiri”.
Sebetulnya, masih ramai yang tidak merancang kehidupan dengan teratur, cermat, teliti serta berpandangan jauh. Sesungguhnya, kehidupan kita terdapat pelbagai ‘kanvas’. Ada ‘kanvas’ keluarga kita, tempat kerja, kejiranan dan diri kita dalam masyarakat.
Persoalannya sejauh mana kita mencorakkan ‘kanvas’ kita selama ini?
Menurut perspektif psikologi, perkara utama dalam mencorakkan kehidupan adalah dengan menjadi diri sendiri. Jika kita suka menciplak corak kehidupan orang lain dalam mencorakkan ‘kanvas’ kehidupan kita, sudah tentu tidak akan bertahan lama.
Ini bermakna kita perlu matang dan menggunakan akal sebaik mungkin dalam mencorakkan perkembangan hidup.
Menurut Pak Hamka menerusi bukunya, Falsafah Hidup, "Orang berakal hanya merindui tiga perkara iaitu; menyediakan bekal untuk hari kemudian, mencari kelazatan buat jiwa dan menyelidiki erti hidup. Orang berakal memandang besar segala kesalahan walaupun kecil di mata orang lain. Memang dari perkara yang kecil itu jualah biasanya timbul bahaya yang besar. Orang yang mati dibunuh nyamuk setiap tahun lebih banyak daripada yang orang yang mati dibunuh Singa”.
Selain itu kita perlu berpegang teguh kepada nilai yang tinggi dalam menongkah arus kehidupan.
Menurut ‘Ubadah bin Ash Shamit, bahawa Nabi SAW bersabda, "Jaminlah enam perkara untukku dari kalian; jujurlah jika berbicara, tepatilah jika kalian berjanji, tunaikanlah amanah jika kalian diserahi amanah, jagalah kemaluan kalian, tundukkan pandangan kalian dan tahanlah tangan kalian” (Hadis Riwayat Ahmad).
Pada hemat saya, kita perlu ada perkembangan dan perubahan dalam hidup. Jika umur semakin lanjut dan masih tidak berubah dengan perangai lama, kita seumpama melukis corak-corak lama di atas ‘kanvas’ kehidupan. Akhirnya karya ‘Seni’ kehidupan kita menjadi tidak signifikan dan lapuk di pasaran.
*Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca