SUDU kini menjadi satu simbol baharu dalam tunjuk perasaan Palestin bagi menentang penjajahan negara haram Israel. Ia digunakan bersama dengan bendera dan sepanduk Palestin bagi membantah rejim Zionis menjajah Palestin. Sudu itu menjadi... Klik di sini untuk terus membaca

SUDU kini menjadi satu simbol baharu dalam tunjuk perasaan Palestin bagi menentang penjajahan negara haram Israel.

Ia digunakan bersama dengan bendera dan sepanduk Palestin bagi membantah rejim Zionis menjajah Palestin.

Sudu itu menjadi popular dalam penentangan penduduk Palestin ke atas Israel selepas tindakan enam tahanan Palestin yang berjaya meloloskan diri dari Penjara Gilboa di utara negara haram tersebutl pada 6 September lalu.

Penjara itu dibina pada tahun 2000 dan mempunyai kawalan keselamatan yang ketat.

Sudu pula adalah sebagai salah satu daripada peralatan yang digunakan untuk menggali terowong di bawah sinki di dalam bilik penjara Gilboa bagi tujuan untuk melarikan diri.

Tanda pagar

Gambar-gambar terowong dan sebuah lubang yang terdapat di luar penjara itu kemudian dikongsi bersama para pemilik akaun media sosial.

Tanda pagar 'sudu yang menakjubkan' itu juga terdapat di media sosial.

Bagaimanapun, empat daripada enam tahanan yang melarikan diri kemudian ditangkap oleh pihak berkuasa Israel baru-baru ini.

Pada Rabu lalu, seorang peguam bela, Roslan Mahajana berkata, seorang tahanan Palestin yang berjaya ditangkap semula, Mahmud Abdullah Ardah mengaku dia menggunakan sudu, pinggan dan pemegang cerek untuk menggali terowong dari bilik penjaranya.

Roslan yang mewakili Mahmud dilaporkan turut berkata, dia menggali terowong itu sejak Disember tahun lalu.

Mahmud merupakan antara empat tahanan Palestin yang ditangkap baru-baru ini selepas tentera rejim Zionis dihantar ke Tebing Barat untuk menangkap semula mereka.

Kesemua tahanan itu dituduh merancang dan melancarkan serangan ke atas Israel.

Sehingga Khamis lalu, dua lagi lelaki tahanan Palestin masih bebas.

Kejadian melarikan diri itu dianggap penduduk Palestin sebagai satu tanda 'kemenangan' buat mereka.

Israel pula telah memulakan inkuiri bagi mencari kelemahan akibat kejayaan tahanan Palestin itu yang berjaya meloloskan diri sehingga memalukan negara menjajah Palestin itu.

Seorang penulis Palestin, Sari Orabi berkata kepada laman Arabi 21 baru-baru ini bahawa dengan keazaman, kewaspadaan, kelicikan dan menggunakan hanya sebatang sudu memungkinkan untuk sebuah terowong digali bagi membolehkan tahanan-tahanan Palestin melarikan diri.

Bahan ketawa

Pelukis kartun Palestin, Mohammed Sabaaneh pula dilaporkan berkata bahawa kejayaan melarikan diri itu telah menjadi 'komedi pahit' manakala sistem keselamatan Israel telah menjadi bahan ketawa.

Dia juga telah membuat beberapa lukisan yang menunjukkan perkakasan yang digunakan untuk membuat terowong itu termasuk salah satu daripada hasil kerjanya itu yang bertajuk 'Terowong untuk Keganasan.'

Isu penggunaan sudu untuk membuat terowong itu juga telah merebak ke luar wilayah Palestin apabila ia dibawa dalam tunjuk penunjuk perasaan bagi menyokong para tahanan yang ditahan Israel.

Di Kuwait, seorang artis, Maitham Abdal mengukir satu tangan gergasi yang memegang sebatang sudu yang digelarkannya sebagai 'sudu kebebasan'.

Seorang artis, Maitham Abdal dari Kuwait mengukir satu tangan gergasi yang memegang sebatang sudu yang digelarkannya sebagai 'sudu kebebasan' baru-baru ini. - Foto AFP

Dalam pada itu, kejayaan enam tahanan yang berjaya melarikan diri dari penjara itu telah membawa balik memori lama.

Memori lama itu adalah apabila dua tahanan Palestin, Ghassan Mahdawi dan Tawfiq al-Zaben yang berjaya melarikan diri dari sebuah penjara jel rejim Zionis di Kfar Yoma, Tebing Barat pada tahun 1996.

Ghassan dan Ghassan dipercayai melarikan diri melalui sebuah terowong yang digali dengan hanya menggunakan kuku.

Terdapat kecacatan dalam sistem penjara Israel, kata Ghassan yang berjaya ditangkap semula dan dibebaskan kemudian selepas 19 tahun berada di dalam penjara Israel.

Dia berpendapat kebanyakan kejayaan tahanan-tahanan Palestin yang berjaya melarikan diri itu disebakan kemungkinan mereka menggunakan peralatan lain daripada sudu yang boleh diperoleh dari dalam penjara Israel.

Namun, tambahnya, menggali terowong dengan menggunakan sudu adalah sesuatu yang akan tercatat dalam sejarah Palestin - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca