BEBERAPA Beberapa hari ini, ketika melayari media sosial, tiba tiba saya terbaca pula kata-kata yang dikatakan jenaka oleh bekas Menteri Kerja Raya Tun S. Samy Vellu. Saya pun tidak pasti adakah ianya benar kata-kata tersebut yang... Klik di sini untuk terus membaca

BEBERAPA Beberapa hari ini, ketika melayari media sosial, tiba tiba saya terbaca pula kata-kata yang dikatakan jenaka oleh bekas Menteri Kerja Raya Tun S. Samy Vellu. Saya pun tidak pasti adakah ianya benar kata-kata tersebut yang ditularkan itu merupakan kata-kata beliau.

Cuma ramai pula yang berkongsi dan terkenang kepada kata-kata beliau ini, dan ramai juga yang menyatakan akan kerinduan kepada beliau.

Sudah menjadi kebiasaan kepada manusia, apabila sudah tidak menjadi menteri, maka dikenang-dikenang pula. Bak kata pepatah, bekas tertarung lagi terkenang, apa pula hubungan nyawa.

Walaupun hantaran yang dinyatakan merupakan hantaran yang telah beberapa tahun ditulis, namun jika membaca dengan berhati-hati, sebenarnya apa yang ditulis berkenaan kata-kata Tun S Samy Vellu mempunyai makna tertentu juga.

Ada banyak maksud tersirat kalau kita membacanya dengan teliti. Itulah yang saya fikirkan ketika membacanya apatah lagi apabila membandingkan akan kenyataan menteri-menteri yang ada sekarang.

Contohnya kata-katanya yang sekarang sudah menjadi legenda,

"Esok kirim hari ini sampai." Ini dikatakan merujuk kepada perkhidmatan pos laju.

"Kita akan membina jabatan di kampung ini untuk kemudahan rakyat."

"Tapi kampung kita tidak ada sungai."

"Tidak apa, kalau sungai tidak ada, kita bina sungai," katanya Tun S Samy dengan bangga.

Kata-kata ini kalau dibaca dengan teliti boleh kita simpulkan, bahawa beliau sebenarnya mengambil berat atau memberi fokus kepada mencari penyelesaian khusus. Bukan memberi jawapan dengan mengalihkan masalah asal seperti apa yang berlaku kepada segelintir menteri-menteri yang ada.

Baru-baru ini kecoh pula tentang harga ayam yang meningkat. Rakyat jelata mengeluh begitu juga peniaga di pasar-pasar basah. Diberitahu punca-punca yang berlaku disebabkan makanan ayam.

Antara lain mengikut laporan media selain punca makanan ayam, dikatakan berpunca dari kenaikan harga anak ayam dan juga sumber tenaga asing.

Sebagai rakyat jelata kita faham kenaikan harga barang makanan memang memberi cabaran hebat kepada kerajaan.

Kalau kita membaca laporan-laporan daripada United Nations Food And Agriculture Organization menunjukkan, kenaikan harga makanan sebanyak 33% secara global telah terjadi sejak Ogos 2021.

Baru-baru ini pula kontaktor di tempat saya telah membuat aduan akan kenaikan harga besi. Kebanyakan kontraktor memohon dibuat semakan semula tentang harga kontrak yang mereka tenderkan sebelum ini.

Sebagai rakyat yang mempunyai kuasa melantik kerajaan, apa yang mereka mahu adalah penyelesaian. Apakah penyelesaian yang akan atau boleh diambil kerajaan untuk menangani masalah kenaikan harga ini?

Penyelesaian atau tindakan yang akan diambil hendaklah diberitahu kepada rakyat jelata secara terang dan jelas supaya rakyat jelata yakin dengan kerajaan. Apabila rakyat jelata bertanya dan mengadu, janganlah dijawab bak kata pepatah, lain sakit lain diubat, lain luka lain dibebat.

Jawapan dalam media sosial oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapat kecaman hebat dari ramai netizen. Katanya KPDNHEP, kalau harga ayam mahal di pasar, beli sahaja di pasar raya besar.

Sebelum ini pun ada jawapan begitu. Saya pun sudah lupa siapa yang menjawabnya. Mungkin kerajaan sebelum ini. Katanya, kalau sawi mahal, makanlah kangkung. Senang sahaja jawapan menteri untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Setelah mendapat kecaman daripada netizen yang tidak berpuas hati, maka kelam kabut pula untuk memberi jawapan baharu. Katanya jawapan yang sambil lewa itu telah pun dipadam.

Orang tua-tua pernah berkata, cara pemikiran kita, tingkah laku dan jawapan kepada sesuatu perkara yang terkeluar daripada mulut kita sebenarnya terlihat kepada niat kita. Kalau niat kita tidak baik, maka kita boleh melihat cara menjawabnya untuk menangani masalah akan ala kadar sahaja.

Kalau niat kita baik, maka akan terpacullah daripada mulut kita jawapan yang baik, ikhlas dan bersungguh-sungguh. Cuba lihat kenyataan Tun S. Samy Vellu dalam menjawab soalan yang sangat berfokus untuk menyelesaikan permasalahan rakyat,

"Bagi saya, ini adalah pembaziran atas duit rakyat. Kita sepatutnya tidak menghantar mereka ke bulan, tapi hantar mereka pergi ke matahari! Barulah Russia dan Amerika respect sama kita!”

"Tapi Datuk Seri, mataharikan panas, macam mana mahu pergi?”tanya wartawan.

Katanya Samy Vellu, "Itu pasal you takda jadi menteri, saya sudah 30 tahun jadi menteri, mesti ada penyelesaian. Kita jangan pergi siang, tapi pergi malam baru sejuk.”

Diharap Yang Berhormat sekalian memberi jawapan bagaimana untuk menyelesaikan masalah, bukannya ditanya lain, dijawabnya lain.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau : mrfaisalmuhamad@gmail.com

Klik di sini untuk terus membaca