SINDIKET penyeludupan barangan kontraban dikesan berselindung di sebalik personaliti baik dengan menyamar sebagai ahli perniagaan yang sah bagi mengelak perbuatan jenayah mereka dikesan pihak berkuasa. Mendedahkan modus operandi terbaharu... Klik di sini untuk terus membaca

SINDIKET penyeludupan barangan kontraban dikesan berselindung di sebalik personaliti baik dengan menyamar sebagai ahli perniagaan yang sah bagi mengelak perbuatan jenayah mereka dikesan pihak berkuasa.

Mendedahkan modus operandi terbaharu itu, Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Dimin Awang berkata, rangkaian sindiket berkenaan akan membuka perniagaan sah bagi menutup hasil keuntungan yang diperoleh daripada aktiviti haram mereka.

Menurut beliau, taktik itu digunakan sindiket bagi membolehkan hasil keuntungan yang diperoleh ‘dicuci’ atas nama perniagaan yang sah.

Batalion 5 PGA merampas minuman keras seludup dalam siri serbuan Ops Kontraban di sekitar Johor.

"Selain menggunakan orang tempatan sebagai pekerja, mereka juga berlagak baik dan gemar memberi sumbangan menerusi aktiviti masyarakat termasuk menderma untuk orang susah.

"Apa itu kontraban? Ia adalah bermaksud barang yang dilarang dan ditegah oleh undang-undang negara daripada dieksport atau diimport atau diniagakan.

"Penyeludupan barangan merujuk kepada perbuatan membawa masuk barang-barang bercukai atau larangan masuk atau keluar Malaysia secara tidak sah,” katanya dalam temu bual khas bersama Sinar Harian baru-baru ini.

Dimin berkata, antara barangan yang sering diseludup masuk ke negara ini ialah rokok, minuman keras, beras, minyak masak dan mercun.

Batalion 5 PGA menumpaskan kegiatan penyeludupan minuman keras dalam serbuan Ops Kontraban di sekitar Johor.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat dan risikan terdapat beberapa modus operandi utama sering digunakan sindiket bagi mengaburi pihak berkuasa.

Menurutnya, sindiket gemar menggunakan laluan alternatif laut dan darat bagi menjalankan aktiviti penyeludupan.

"Bagi taktik penyeludupan masuk barang-barang kontraban dari laut, sindiket menjadikan lorong-lorong tikus di sepanjang pantai Johor selain pelabuhan sebagai tempat transit kontena atau 'transhipment' dengan mengisytiharkan sebagai barang sah.

"Selain itu, terdapat juga sindiket menjadikan laluan darat di sempadan negara untuk menjalankan aktiviti penyeludupan.

Sindiket gemar menggunakan laluan alternatif laut dan darat bagi menjalankan aktiviti penyeludupan.

"Modus operandi dan laluan-laluan ini secara umumnya telah dibongkar, namun sindiket sering kali mengubah taktik dan mencari cara untuk mengelak daripada aktiviti mereka dikesan,” jelas beliau.

Menurut Dimin, modus operandi penyeludupan barangan kontraban bergantung kepada jenis barang itu.

"Rokok seludup kebanyakannya memang dibawa masuk dari negara jiran berdasarkan hasil rampasan yang diperoleh.

"Taktik ini dikesan apabila kapal besar dari negara jiran akan berada di perairan antarabangsa sebelum kapal kecil atau bot nelayan tempatan digunakan untuk pemeriksaan dilakukan di jalan-jalan tikus,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi sindiket penyeludupan yang terancang itu, sindiket juga dikesan menggunakan laluan sah termasuk pelabuhan.

Katanya, sindiket biasanya akan mengisytiharkan barangan itu sebagai barang yang sah bagi membolehkan melepasi pemeriksaan.

Beliau menambah, siasatan juga mendapati setiap kegiatan penyeludupan terutama melalui jalan laut, sindiket menggunakan khidmat tonto bagi mengawasi kehadiran dan rondaan pihak berkuasa.

Cubaan menyeludup masuk mercun sempena musim perayaan pada tahun ini berjaya dikesan Batalion 5 PGA.

"Ini penting buat mereka (sindiket), tonto ini akan berhubung untuk memastikan kegiatan haram mereka berjalan lancar selain ia melibatkan sindiket terancang yang ada hubungan dengan negara luar,” katanya.

Dua sindiket penyeludupan terbesar tumpas

Dimin memberitahu, Batalion 5 PGA pernah menumpaskan Geng Gemok dan Geng Ah Ti yang bermahajaralela sekitar Johor.

"Sindiket ini aktif dalam kegiatan penyeludupan rokok, arak dan pemprosesan arak tiruan.

"Terdapat beberapa siri kejayaan dalam menumpaskan sindiket ini bermula tahun 2019 hingga kini,” katanya.

Batalion 5 PGA merampas rokok seludup dalam siri serbuan di bawah Ops Kontraban di sekitar Johor pada tahun ini.

Dimin bagaimanapun mengakui pegawai dan anggotanya menghadapi pelbagai cabaran sewaktu bertugas.

"Jika operasi berjaya merampas barangan bernilai besar, sudah pastinya sindiket mengalami kerugian.

"Akibatnya sindiket ini tiada pilihan lalu mengugut dan mengancam anggota dan pegawai supaya jangan melakukan operasi," katanya.

Menurut Dimin lagi, ancaman yang diterima seperti itu menyebabkan pasukannya sentiasa bersedia bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Permintaan tinggi jadi pendorong

Mengulas lanjut, Dimin berkata, faktor permintaan yang tinggi dan keuntungan berlipat ganda merupakan pendorong utama penyeludupan barangan itu berlaku walaupun polis telah menjalankan operasi khusus dalam membanteras jenayah terbabit.

"Selain itu, undang-undang kawalan perdagangan yang berbeza antara negara bersempadan dan perbezaan harga barang yang rendah di sesebuah negara membuatkan ada usaha menyeludup barang-barang tersebut ke dalam negara.

"Sindiket mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan akibat perbezaan harga semasa dengan harga yang ditetapkan pihak berkuasa," katanya.

Sebahagian minuman keras seludup yang dirampas dalam Ops Kontraban.

Beliau berkata, sememangnya terdapat banyak agensi bertanggungjawab dalam membanteras aktiviti penyeludupan termasuk Pasukan Gerakam Am (PGA) yang ditugaskan dalam menjaga sempadan negara dan sepanjang perairan negara.

"Pelbagai langkah telah diambil Batalion 5 PGA dalam mengekang aktiviti penyeludupan termasuk meningkatkan kawalan dan pengawasan di sepanjang pantai Johor.

"Penglibatan beberapa agensi lain dalam OpS Benteng menyukarkan lagi aktiviti penyeludupan ini untuk masuk ke negara kita,” ujarnya.

Dimin berkata, pihaknya juga bertungkus lumus dalam mengesan dalang terlibat secara langsung dengan aktiviti tidak bermoral itu dan tindakan undang-undang yang tegas akan diambil kepada mana-mana individu terbabit.

Rampasan cecah RM41.7 juta sejak tahun 2019

Kata Dimin, nilai rampasan sejak tahun 2019 sehingga 12 September lalu mencecah RM41.7 juta dengan133 tangkapan.

"Berdasarkan pecahan kes yang direkodkan, pada tahun 2019, Batalion 5 PGA berjaya menahan 29 suspek terdiri daripada 24 warga tempatan dan lima warga asing selain nilai rampasan berjumlah RM10.6 juta.

"Bagi tahun lalu pula, rampasan barangan kontraban mencecah nilai RM11.6 juta dengan tangkapan seramai 54 orang terdiri daripada 35 warga tempatan dan 19 warga asing.

"Seterusnya, setakat 12 September lalu, seramai 50 orang iaitu 46 warga tempatan dan empat warga asing yang terbabit dalam kegiatan itu berjaya diberkas.

"Kita telah merampas pelbagai barangan seludup bernilai RM19.4 juta,” katanya.

Aktivirti menyeludup mercun sempena musim perayaan yang berjaya dikesan Batalion 5 PGA.
Sebahagian rokok seludup yang dirampas dalam Ops Kontraban di sekitar Johor pada tahun ini.

Tambah beliau, antara barangan yang dirampas terdiri daripada rokok, arak dan mercun.

Hadapi tindakan undang-undang

Tegas beliau, individu yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan ini diingatkan untuk menghentikan jenayah yang dilakukan itu.

"Hukuman berat akan dikenakan kepada mereka yang terlibat secara langsung atau yang bersekongkol dalam aktiviti penyeludupan ini.

"Polis juga akan melipat gandakan usaha dalam memastikan sebarang aktiviti lambakan barangan kontraban di negara ini dapat diatasi,” tegas Dimin.

Justeru, beliau meminta orang awam untuk menjadi mata dan telinga pihak berkuasa.

"Saya ingin menyeru kepada orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui talian hotline 07-7557280 Pejabat Risik/Gerakan Batalion 5 PGA,” kata beliau.

INFO

KEJAYAAN BATALION 5 PGA

Tahun 2019

Rampasan barang - RM10.6 juta

Tangkapan - 29 orang (24 rakyat tempatan dan 5 asing)

Tahun 2020

Rampasan barang - RM11.6 juta

Tangkapan - 54 individu (35 tempatan &19 asing)

Tahun 2021 (hingga 12 September)

Rampasan barang - RM19.4 juta

Tangkapan - 50 individu (46 tempatan & 4 asing)

JUMLAH

Rampasan barang - RM41.7 juta

Tangkapan - 133 individu (105 tempatan dan 28 asing)

Klik di sini untuk terus membaca