MEMORANDUM persefahaman (MOU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai Isnin lalu oleh blok kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) mampu merintis jalan bagi pembentukan politik baharu.
Bukan sahaja ia bersejarah kerana julung kalinya kerjasama dwipartisan berlaku dalam landskap politik negara, bahkan ia dimeterai secara sah, terbuka dan bertanggungjawab antara kerajaan-pembangkang.
Persefahaman ini seharusnya membuka lembaran baharu dalam politik negara sekali gus mengukuhkan proses pendemokrasian yang membawa pelbagai manfaat kepada rakyat.
Walaupun MOU itu dilihat bersifat sementara dan tidak menyeluruh disebabkan tekanan semasa, sekurang-kurangnya ia membawa kepada ‘gencatan politik’ yang penting bagi mewujudkan kestabilan dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Di sebalik semua itu, perkara terpenting dalam MOU itu sudah tentulah kemampuannya untuk mengolah budaya politik baharu.
Ia sudah lama ditagih disebabkan cara politik lama yang terlalu menekan dan dibolot kelompok tertentu sehingga menjadikan politik negara pasif dan parokial. Sudahnya ia membentuk suatu pemikiran yang sentiasa melihat kerajaan adalah betul dan pembangkang salah serta sering mengacau pemerintah.
Hal itu membentuk kesedaran palsu yang melihat pembangkang sebagai unsur negatif dan selayaknya dilanyak dan ditekan oleh pemerintah.
Akibatnya peranan pembangkang sebagai penyemak serta pengimbang kepada kerajaan sering terganggu dan terencat disebabkan kepercayaan tersebut. Inilah antara paradoks yang sering ditekankan oleh Elmer Schattschneider (2004) sebagai kelemahan demokrasi moden yang sentiasa difikirkan dalam kerangka kepartian berbanding kenegaraan.
Walaupun parti politik mencipta demokrasi, memikirkan demokrasi dari perspektif kerangka sesebuah parti jelas bertentangan dengan prinsip asas demokrasi.
Sistem demokrasi melihat tugas sesebuah parti politik antaranya mendorong pemerintah untuk responsif terhadap rakyat.
Demokrasi meletakkan prasyarat kewujudan parti pembangkang dalam sistem amalannya. Kewujudan parti pembangkang yang perkasa adalah aspek penting dalam perjalanan sebuah demokrasi.
Konsep demokrasi lebih menekankan elemen penyelesaian berbanding pertentangan. Dalam demokrasi tidak ada pihak yang menang dan kalah. Kerana akhirnya matlamat demokrasi adalah kebebasan dan kebenaran yang membawa kebaikan bersama.
Inilah yang sepatutnya digerakkan oleh MOU tersebut. Semangat mentadbir bersama, sepertimana yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebagai demokrasi bermusyawarah dengan membuang budaya politik permusuhan serta amalan politik bersifat zero sum game melalui amalan kerjasama dan kompromi.
Menerusi MOU itu, kedua-dua pihak akan berpolitik berasaskan idealisme matang yang sentiasa berteraskan kepada penghasilan program, polisi dan output yang kompetitif serta menguntungkan rakyat.
Walaupun parti politik adalah endemik kepada demokrasi, parti politik bukanlah sebahagian daripada definisi demokrasi secara formal. Justeru itu parti politik harus beroperasi dalam kitaran bernegara yang mendokong prinsip perlembagaan serta semangat bernegara (Rukun Negara).
Sebab itulah tidak ada perbezaan antara parti kerajaan atau pembangkang dalam demokrasi. Yang ada hanyalah kewujudan bersama disebabkan dorongan semangat dan kemahuan untuk berjuang demi mencipta kebaikan bersama sebagai sebuah masyarakat.
Justeru itulah MOU ini adalah peluang untuk pembaharuan dan pemerkasaan demokrasi kita. Malah MOU itu juga harus dijadikan kad skor (score card) bagi mengukur prestasi dan komitmen orang politik yang imej mereka di mata rakyat ketika ini dilihat tidak memuaskan.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca