SHAH ALAM - Kematian merupakan satu kejadian yang sangat menyedihkan kepada ahli keluarga, namun dijemput ajal akibat Covid-19 merupakan detik paling menyayat hati apabila waris tidak dibenarkan untuk melawat dan mendekati pesakit.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kematian merupakan satu kejadian yang sangat menyedihkan kepada ahli keluarga, namun dijemput ajal akibat Covid-19 merupakan detik paling menyayat hati apabila waris tidak dibenarkan untuk melawat dan mendekati pesakit.

Begitulah luahan perasaan Ketua Jururawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Pryma Baskaran, 50, apabila bercerita tentang pengalaman sedih beliau selama menjadi kakitangan yang merawat pesakit Covid-19 sejak fasa pertama tahun lalu.

"Saya rasa kematian akibat Covid-19 yang paling sedih kerana apabila masuk sahaja di hospital, pesakit hanya boleh berkomunikasi secara maya dan apabila mereka meninggal, waris masih tidak dapat melihat jenazah. Oleh itu, jika boleh semua tidak mahu mati disebabkan Covid-19.

Pryma

"Kamilah yang menangis bersama mereka setiap kali bertugas untuk memberitahu ahli keluarga tentang keadaan pesakit. Walaupun kami memakai peralatan perlindungan diri (PPE) di sebalik itu, kami sentiasa sebak apabila mendengar komunikasi antara ibu dan anak atau isteri dan suami,” katanya kepada Sinar Harian.

Pryma berkata, apa yang lebih menyedihkan kini adalah adalah 80 peratus kemasukan hospital di ICU PPUM dipenuhi golongan lebih muda berumur 23 hingga 50 tahun. Ia berbeza dengan fasa pertama dan kedua Covid-19 dulu apabila ICU dipenuhi dengan warga emas.

"Saya berasa lagi sedih apabila lebih ramai golongan muda yang masuk ICU kerana ada di antara mereka yang baru habis belajar dan menjadi harapan ibu bapa namun meninggal akibat Covid-19. Ada juga yang baru berkahwin dan merupakan pencari nafkah buat keluarga,” katanya.

Tambahnya, cabaran terbesar yang dihadapinya semasa pandemik ini adalah dari segi kawalan emosi selain penjagaan rawatan pesakit.

Pada Januari lalu, ICU PPUM mempunyai 48 pesakit Covid-19 namun meningkat kepada 172 pesakit kritikal kategori 4 dan 5 pada Julai lalu. Keseluruhan ICU PPUM mempunyai 52 pesakit iaitu 40 katil aktif Covid dan 12 katil di isolated Covid.

"Cabaran terbesar adalah dari segi menjaga emosi pesakit. Emosi mereka sering terganggu apabila mereka berasa sihat dan tiba-tiba menghadapi jangkitan yang teruk kerana Covid-19.

"Kebelakangan ini pula, ramai wanita muda yang hamil dijangkiti Covid. Mereka selalu meminta agar anak mereka diselamatkan. Situasi satu keluarga datang kemudian satu demi satu ahli keluarga meninggal itu juga amat menyedihkan bagi pesakit dan kami sendiri sebagai petugas,” katanya.

Permintaan

Pryma Baskaran yang sudah berkhidmat di PPUM selama 26 tahun itu berkata, keadaan pesakit Covid-19 dilihat sukar untuk bernafas dan mempunyai oksigen yang rendah dan kebanyakan mereka yang masuk ICU perlu melakukan proses intubasi secepatnya.

Pryma yang juga berasal dari Seremban berkata, walaupun pesakit menghidap penyakit berjangkit Covid-19, kakitangan kesihatan tidak pernah mengabaikan mereka dan sentiasa cuba untuk memenuhi permintaan pesakit.

Pryma sedang memantau keadaan seorang pesakit di ICU, PPUM.

"Kebiasaannya, kami akan ikut permintaan terakhir mereka selagi tidak melanggar protokol. Kami jaga mereka sebaiknya dengan menyuap makanan, bantu mereka solat dan tidak pernah mengabaikan pesakit.

"Pernah ada seorang pesakit sebelum dia meninggal, dia meminta untuk memanggil peguamnya demi mewasiatkan harta benda kepada warisnya. Ada juga pesakit yang meminta pelbagai makanan dan minuman selepas sebulan mencabut tiub pernafasannya. Semua permintaan kami penuhi,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca