KUALA LUMPUR - Keputusan kerajaan menangguhkan pelantikan Timbalan Speaker Parlimen kedua serta bercadang mewujudkan jawatan Timbalan Speaker Parlimen ketiga adalah bertujuan membolehkan calon UMNO untuk jawatan itu, disokong ahli-ahli... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Keputusan kerajaan menangguhkan pelantikan Timbalan Speaker Parlimen kedua serta bercadang mewujudkan jawatan Timbalan Speaker Parlimen ketiga adalah bertujuan membolehkan calon UMNO untuk jawatan itu, disokong ahli-ahli Parlimen blok kerajaan.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman susulan beliau mengakui Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan tidak mendapat sokongan sebahagian besar ahli Parlimen blok kerajaan bagi dilantik sebagai Timbalan Speaker Parlimen kedua.

Jelas beliau, faktor utama Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian tidak disokong kesemua ahli Parlimen Bersatu adalah disebabkan pemimpin itu sangat lantang mengkritik dan 'memaki' kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

"Memandangkan Ahmad tidak disokong sebahagian besar ahli Parlimen blok kerajaan, justeru kerajaan terpaksa menangguhkan usul pemilihan Timbalan Speaker Parlimen.

"Hal ini kerana sekiranya kerajaan kalah dalam usul berkenaan yang dianggap usul kerajaan, senario itu akan memberi imej tidak baik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Namun, bila sampai masa usul itu perlu diadakan semula, UMNO menawarkan solusi mewujudkan satu lagi jawatan Timbalan Speaker Parlimen dengan syarat PN menyokong calon kita sebagai Timbalan Speaker Parlimen kedua.

"Soal sama ada UMNO hendak kekalkan Ahmad Maslan atau orang lain, terpulang kepada parti," katanya sewaktu ditemui di rumahnya di Bukit Damansara pada Khamis.

Ahmad Maslan

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang menjelaskan pendirian ahli Parlimen parti itu menolak pencalonan Ahmad adalah terkait dengan isu integriti dan urusan mahkamah dihadapi pemimpin UMNO berkenaan.

Jelas Wan Saiful lagi, Bersatu turut meminta UMNO mengadakan rundingan terhadap nama calon Timbalan Speaker Parlimen baharu dengan parti itu terlebih dahulu.

Hal ini kerana beliau menegaskan Bersatu boleh bersetuju dengan calon daripada parti lain, tetapi tidak akan berkompromi dengan calon terkait integriti dan isu mahkamah, selari dengan prinsip tegas parti berkenaan.

Tolak jawatan

Mengulas lanjut, Tajuddin menegaskan faktor utama Ahmad dipilih sebagai calon Timbalan Speaker Parlimen bagi pihak UMNO adalah disebabkan ramai ahli Parlimen UMNO lain yang menolak jawatan berkenaan apabila ditawarkan.

Tambah beliau, antara ahli Parlimen UMNO yang ditawarkan jawatan itu adalah Ahli Parlimen Cameron Highland, Ramli Mohd Nor; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Yazid dan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin.

"Memandangkan ramai ahli Parlimen UMNO lain menolak, jadi akhirnya Ahmad dipilih, namun beliau ditolak pemimpin Bersatu kerana lantang mengkritik dan menghentam kerajaan PN sebelum ini.

"Meskipun Bersatu dan UMNO kembali bersama dalam kerajaan baharu, tidak dinafikan sentimen kemarahan pemimpin mereka terhadap segelintir pemimpin UMNO yang jatuhkan kerajaan PN masih ada.

"Kita berharap solusi ditawarkan UMNO diterima PN kerana UMNO menyedari kerajaan baharu ini masih dianggap lemah dengan sokongan parti-parti dalam PN amat diperlukan untuk mengekalkan kestabilan kerajaan," katanya.

Timbalan Speaker pembangkang

Dalam pada itu, Tajuddin menolak dakwaan pelantikan Timbalan Speaker Parlimen dalam kalangan ahli Pembangkang berpotensi untuk membahayakan kerajaan terutama dalam soal meluluskan pembentangan usul-usul kritikal yang boleh menggugat kerajaan.

Ujarnya, kerajaan masih memiliki 'safeguard' untuk memastikan mana-mana Timbalan Speaker Parlimen tidak boleh mengangkat sebarang usul untuk dibentangkan secara sesuka hati.

"Di bawah Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, hanya Speaker Parlimen sahaja berhak menentukan usul untuk dibahaskan di dalam Dewan Rakyat,

"Cuma yang menjadi kebimbangan sekiranya ahli Parlimen pembangkang menjadi Timbalan Speaker Parlimen adalah beliau berkeupayaan menjadikan persidangan Dewan Rakyat kecoh dan berlaku bias kepada pembangkang.

"Senario ini akan menyebabkan kerajaan terancam dari segi imej di mata rakyat, itu sahaja mudaratnya...Tidak lebih daripada itu," katanya.

Sejumlah 31 ahli Parlimen Bersatu disahkan akan mengambil pendirian berkecuali dalam isu menyokong pencalonan Ahmad Maslan sebagai Timbalan Speaker Parlimen baharu.

Pada Selasa, usul pemilihan jawatan Timbalan Speaker kedua diberi penangguhan untuk memberi laluan kepada pindaan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi menambah jumlah jawatan itu kepada tiga berbanding dua ketika ini.

Speaker Parlimen, Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan, pemilihan bagi mengisi jawatan yang dikosongkan oleh Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said akan dibuat semasa pengundian usul Belanjawan 2022 akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum itu mengemukakan usul untuk menghentikan Peraturan Mesyuarat 6, Perkara 1 yang dijadual dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul pada Selasa berhubung perlantikan tersebut.

Isu penangguhan pelantikan Timbalan Speaker Parlimen kedua kembali menjadi perdebatan pada sidang Parlimen pada Rabu susulan Azalina diminta untuk mempengerusikan sementara mesyuarat Parlimen walaupun tidak lagi menjadi Timbalan Speaker Parlimen.

Meskipun Azalina menjelaskan tindakan beliau itu mendapat restu Speaker Parlimen dan tidak menyalahi Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, beberapa ahli Parlimen pembangkang membangkitkan tuntutan supaya jawatan Timbalan Speaker Parlimen kedua dilantik segera.

Klik di sini untuk terus membaca