SHAH ALAM - Kerjasama tiga hala di antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) (AUKUS) boleh menimbulkan konflik salah faham dengan China sekali gus menyebabkan berlakunya ketegangan di Laut Cina Selatan. Pakar... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerjasama tiga hala di antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) (AUKUS) boleh menimbulkan konflik salah faham dengan China sekali gus menyebabkan berlakunya ketegangan di Laut Cina Selatan.

Pakar Pertahanan, Mohammad Fuad Mat Noor berkata, ia berikutan Malaysia mempunyai kerjasama dengan Australia dan UK melalui Peraturan Pertahankan Lima Negara (FPDA).

Beliau berkata, menjadi persoalan pada ketika ini ialah sama ada Australia akan membawa pengaruh AUKUS ke dalam FPDA.

"Kita tidak mahu FPDA dijadikan sesuatu yang akan menyebabkan negara seperti China mengatakan bahawa AUKUS adalah sebahagian daripada FPDA.

"Apabila berlaku perkara seperti itu, ia akan menjadi rumit,” katanya kepada Sinar Ahad.

MOHAMMAD FUAD

Pada Sabtu, Malaysia menyuarakan kegusaran terhadap penubuhan kerjasama antara Australia, UK dan AS yang dikenali sebagai AUKUS bagi membantu Australia memperoleh kapal selam berkuasa nuklear.

Mengulas lanjut, Mohammad Fuad berkata, memandangkan FPDA melibatkan latihan penggunaan aset, dibimbangi Australia mungkin membawa kapal selam berkuasa nuklear ke dalam sesi latihan tersebut.

Malaysia bimbang AUKUS bakal cetus andaian buruk oleh negara-negara kuasa besar mengenai persenjataan.

"Kalau Australia membawa kapal selam berkuasa nuklear ke latihan-latihan FPDA, China pastinya akan melihat FPDA menggunakan Australia sebagai alasan untuk kapal selamnya menyusuri kawasan mereka.

"China boleh pertikai jika kapal AS dan UK berada di (sempadan) kawasan mereka. Tetapi kalau Australia, mereka boleh mengatakan bahawa rantau ini adalah rantau hampir dengan mereka sebab Australia akan bertegas bahawa kawasan berkenaan adalah kawasannya kerana mempunyai sempadan dengan Indonesia iaitu salah satu negara Asia Tenggara,” katanya.

Presiden China, Xi Jinping

Mohammad Fuad berkata lagi, kerajaan Malaysia sepatutnya bertindak sebagai blok ASEAN kerana langkah tersebut penting bagi menunjukkan bahawa negara ini tidak berpihak kepada mana-mana negara sama ada China atau AUKUS.

"Pada saya, adalah lebih baik kita bertindak sebagai negara ASEAN. Itu lebih tepat berbanding masuk blok negara UK, Australia atau AS.

"Langkah tersebut lebih menunjukkan kita sebagai sebuah negara berkecuali daripada memihak kepada mana-mana pihak. Itu yang paling utama,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca