PELBAGAI reaksi diutarakan pelbagai pihak apabila Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Marzuk Shaary menyatakan kerajaan Persekutuan sedang menyediakan Rang Undang-Undang Kawalan Dan Sekatan Pengembangan... Klik di sini untuk terus membaca

PELBAGAI reaksi diutarakan pelbagai pihak apabila Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Marzuk Shaary menyatakan kerajaan Persekutuan sedang menyediakan Rang Undang-Undang Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Doktrin Agama dan Kepercayaan Bukan Islam di kalangan Orang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan).

Pasti golongan politikus sama ada di peringkat kerajaan ataupun pembangkang begitu cepat memberikan respons tanpa mengetahui latar belakang yang sebenar. Antara respons yang diutarakan ialah:

1. Rang Undang-Undang tersebut adalah tidak berperlembagaan.

2. Rang Undang-Undang tersebut menyekat amalan orang bukan Islam dalam peribadatan mereka;

3. Rundingan perlu dilakukan kepada negeri-negeri sebelum Rang Undang-Undang tersebut dibentangkan;

4. Negeri membantah pemakaian undang-undang tersebut kepada negeri berkenaan.

Saya mengajak pembaca semua memahami Rang Undang-Undang tersebut bagi mendapatkan gambaran sebenar berkaitan Rang Undang-Undang yang dicadangkan itu.

Sebenarnya rang Undang-undang yang dicadangkan adalah undang-undang yang berasaskan kepada Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut Dewan Undangan Negeri (bagi negeri-negeri) dan Parlimen (bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan) boleh membuat undang-undang bagi mengawal dan menyekat pengembangan doktrin agama dan kepercayaan bukan Islam di kalangan orang Islam.

Oleh kerana ia berakar umbi dari perlembagaan sendiri, tidak timbul isu rang undang-undang itu tidak berperlembagaan. Undang-undang tersebut dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara.

Daripada peruntukan perlembagaan tersebut dapatlah disimpulkan Dewan Undangan Negeri adalah pihak yang berkuasa membuat undang-undang tersebut bagi negeri masing-masing.

Parlimen hanya mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang yang sama bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan sahaja. Parlimen tidak mempunyai kuasa membuat undang-undang saya sama jika pemakaiannya dikenakan ke seluruh negara.

Setakat ini sebanyak 10 buah negeri sudahpun mempunyai undang-undang tersebut manakala Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah-Wilayah Persekutuan masih belum menggubal undang-undang yang sama.

Oleh itu jika Timbalan Menteri Agama tersebut mengumumkan akan membuat undang-undang tersebut ia hanya terpakai kepada Wilayah-Wilayah Persekutuan sahaja. Ia tidak melibatkan negeri-negeri lain termasuklah Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Dengan yang demikian kebimbangan Sabah undang-undang tersebut akan dilaksanakan di Sabah adalah tidak berasas kerana Perkara 11(4) tersebut menyekat kuasa Parlimen membuat undang-undang berkenaan bagi mana-mana negeri.

Undang-undang tersebut sebenarnya undang-undang Persekutuan yang berbeza dari undang-undang Persekutuan yang lain kerana hanya berkuatkuasa di Wilayah-Wilayah Persekutuan sahaja.

Sama jugalah kedudukan Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) umpamanya yang hanya berkuatkuasa di Wilayah-Wilayah Persekutuan sahaja walaupun ia merupakan suatu Akta Parlimen. Ini disebabkan Dewan Undangan Negeri merupakan pihak yang berkuasa membuat undang-undang itu.

Hal ini berlaku kerana Malaysia yang mengamalkan federalisme mempunyai dua badan pembuat undang-undang iaitu di peringkat Persekutuan (Parlimen) dan negeri (Dewan Undangan Negeri). Masing-masing mempunyai kuasa membuat undang-undang yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Sabah dan Sarawak khususnya tak perlu bimbang kerana selagi Dewan Undangan Negeri berkenaan tidak membuat undang-undang tersebut, Akta yang ingin digubal Kerajaan Persekutuan berdasarkan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan ini tidak boleh dikenakan kepada Sabah dan Sarawak.

Rang Undang-undang ini jika diluluskan langsung tidak menyentuh amalan agama orang bukan Islam kerana ia hanya mengawal dan menyekat penyebaran agama bukan Islam di kalangan orang Islam sahaja.

Orang bukan Islam masih lagi bebas menganut dan mengamal agama mereka dalam aman dan damai sebagaimana jaminan yang terdapat di dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Dilaporkan juga ada menteri yang berkata undang undang tersebut memerlukan persetujuan negeri. Saya berpandangan persetujuan negeri ini tidak perlu kerana undang undang ini tidak melibatkan negeri sebagaimana saya jelaskan di atas. Dalam hal yang sedemikian persetujuan negeri tidak diperlukan sebelum membentang Rang Undang-Undang tersebut.

Negeri melalui Dewan Undangan Negeri tidak boleh membantah rang undang-undang ini selagi mana Parlimen membuat undang-undang tersebut di dalam kuasanya. Namun ahli-ahli dewan sama ada Dewan Rakyat ataupun Dewan Negara boleh menyuarakan pandangan mereka ketika perbahasan dan pengundian nanti.

Saya berharap ruangan pada minggu ini dapat menjelaskan salah faham yang ditimbulkan pihak tertentu berhubung dengan cadangan pembentangan Rang Undang-Undang Kawalan dan Sekatan Pengembangan Doktrin Agama dan Kepercayaan Bukan Islam di Kalangan Orang Islam tersebut.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca