SEJAK kebelakangan ini insiden orang mengamuk kerana halusinasi akibat kesan pengambilan methamphetamine atau ais atau syabu amatlah mengusarkan malah menggerunkan. Mereka yang mengambil dadah ini berasa diri seperti superman, kebal dan... Klik di sini untuk terus membaca

SEJAK kebelakangan ini insiden orang mengamuk kerana halusinasi akibat kesan pengambilan methamphetamine atau ais atau syabu amatlah mengusarkan malah menggerunkan.

Mereka yang mengambil dadah ini berasa diri seperti superman, kebal dan pada masa yang sama hilang kawalan.

Paling takut ialah halusinasi iaitu melihat benda yang tak wujud di hadapan mata dan bisikan agar melakukan sesuatu kerana berasa terancam.

Selain mengamuk dan halusinasi, satu lagi insiden yang turut mendapat perhatian ramai ialah memandu bertentangan dengan arah.

Bukan sekali tapi Belalang tengok dah banyak kali dah sehingga membawa maut kepada pengguna jalan raya yang tidak bersalah.

Hakikat bahawa insiden-insiden akibat daripada pengambilan ais atau syabu ini semakin menjadi-jadi membuktikan bahawa dadah ini mudah didapati di pasaran.

Pihak berkuasa kini memerlukan strategi baru bagaimana untuk membanteras penyalahgunaan dadah ini kerana ia telah menjadi musuh masyarakat nombor satu.

Perlu ada satu task force yang melibatkan pelbagai agensi untuk merancang dan membanteras pembuatan dan pengedaran ais ini.

Jika tiada pendekatan baru diambil untuk mengatasinya kita khuatir ia akan menjadi seperti rasuah - sebati dengan darah daging dan sukar dibanteras.

Yang kita paling khuatir ialah suatu hari nanti, mereka ini betul-betul muncul bagaikan zombi sepertimana yang kita saksikan dalam filem Korea, Train to Busan.

Hari ini ia sekadar hiburan cerita seram tetapi sedikit masa lagi ia bukan lagi cereka filem tetapi insiden betul yang berlaku di depan mata kita.

Kita sebenarnya telah pun menyaksikannya iaitu bagaimana orang mengamuk dengan sabit panjang atas kereta polis di Gopeng, Perak, anak bunuh ibu kandung kerana ada suara yang berbisik suruh dia bertindak demikian dan memandu melawan arus bukan sekali malah banyak kali.

Jangan terkejut selepas ini, penagih ais ini akan berjalan di atas jalan raya bagaikan zombi datang mencekik kita yang sedang asyik makan cendol di tepi jalan atau sedang menikmati nasi beriani di restoran.

Belalang - Sentiasa berwaspada dan pandang keliling...

Klik di sini untuk terus membaca