DIPLOMASI Kesihatan Global atau ‘Global Health Diplomacy’ (GHD) sudah menjadi sebahagian daripada politik antarabangsa. Secara konvensional diplomasi boleh didefinisi sebagai pengendalian politik antarabangsa secara aman melalui... Klik di sini untuk terus membaca

DIPLOMASI Kesihatan Global atau ‘Global Health Diplomacy’ (GHD) sudah menjadi sebahagian daripada politik antarabangsa.

Secara konvensional diplomasi boleh didefinisi sebagai pengendalian politik antarabangsa secara aman melalui rundingan yang dikendalikan oleh perwakilan rasmi.

Setiap negara tidak kira besar atau kecil mengadakan hubungan luar dengan negara-negara lain dan tanggung jawab ini terletak di bawah kementerian luar manakala dari segi ilmiah diplomasi dikaji dalam disiplin Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa, Sejarah dan Undang-undang Antarabangsa seperti Konvensyen Vienna 1961 mengenai Hubungan Diplomatik.

Bagaimanapun perkembangan sains dan teknologi telah menyumbang kepada proses globalisasi yang rancak dalam tempoh tiga dekad yang lalu telah membawa kesan drastik dalam amalan diplomasi. Maka timbul istilah-istilah baru seperti diplomasi kesihatan dan diplomasi digital.

Diplomasi Kesihatan Global boleh didefinisi sebagai amalan yang menggandingkan pelaku negara dan bukan negara untuk mengkordinasikan usaha bagi menyelesaikan cabaran kesihatan dan meningkatkan tahap kesihatan global.

Oleh demikian, Diplomasi Kesihatan Global tidak lagi terhad kepada disiplin Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa tetapi melibat pelbagai disiplin seperti Kesihatan Awam, Pengurusan, Ekonomi, Undang-undang dan Perniagaan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau World Health Organisation (WHO) Diplomasi Kesihatan Global berperanan sebagai ‘jambatan’ yang menghubungkan pelbagai disiplin bagi mengatasi cabaran dan meningkatkan tahap kesihatan antarabangsa.

Wabak penyakit seperti Covid-19, Ebola, SARS boleh merebak dengan cepat dan mampu mengganggu gugat aktiviti harian dan ekonomi.

Kes pertama Covid-19 yang dilaporkan di Wuhan, China, pada bulan Disember 2019, ketika itu ia diklasifikasi sebagai masalah kesihatan awam antarabangsa dan kemudian pada 11 Mac 2020 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengkategorinya sebagai pandemik.

Pada 17 Mei 2021, hampir 162.8 juta orang dijangkiti, dan lebih dari 3.37 juta kematian dilaporkan kepada WHO di seluruh dunia dan angka kematian dijangka masih meningkat.

Seratus tahun yang lalu Selsema Sepanyol atau Spanish Flu telah mengakibatkan seramai 50 juta orang terkorban. Angka kematian ini sama tinggi seperti berlakunya perang dunia.

Maka tidak keterlaluan untuk menyatakan wabak penyakit boleh mengancam kelangsungan manusia di dunia. Kesihatan tidak hanya dilihat dari aspek perubatan dan penjagaan badan tetapi merangkumi aspek keselamatan.

Oleh demikian munculnya konsep ‘Keselamatan Kesihatan’ di mana keselamatan sesebuah negara tidak hanya dari aspek ketenteraan dan pencerobohan negara asing.

Kesihatan telah mengalami proses ‘securitization’ atau pensekuritian di mana kesihatan turut menjadi salah satu agenda utama dalam keselamatan negara tetapi termasuk usaha untuk mengawal penyebaran penyakitan dan sentiasa memastikan tahap kesihatan berada dalam keadaan optimum.

Virus seperti Corona, SARS-CoV-2 tidak mengenali kewarganegaraan, sempadan, atau fahaman politik, tetapi boleh menjadi isu keselamatan dan politik yang penting. Oleh itu, untuk menangani pandemik semasa masyarakat antarabangsa memerlukan sokongan politik dan diplomatik tertinggi di semua negara.

Seawal tahun 2003, ketika menghadapi krisis SARS masyarakat antarabangsa berkesempatan untuk mengusahakan suatu peraturan bagi mengurus kesihatan antarabangsa untuk mengatasi kelemahan dalam menanggapi penyebaran wabak penyakit.

Walau bagaimanapun, pada masa kini pandemik Covid-19 telah mempengaruhi semua negara yang sedang membangun dan tidak maju dan tidak seperti SARS, yang terhad kepada negara-negara membangun dan telah berjaya dikawal daripada tersebar.

Penekanan kepada kesihatan turut diberi perhatian dalam Agenda PBB 2030 untuk Pembangunan Lestari atau UN’s 2030 Agenda for Sustainable Development Goals (SDG).

Kepentingan peranan asas kesihatan telah menjadi sebahagian daripada SDG 3 iaitu untuk memastikan kehidupan yang sihat dan meningkatkan kesejahteraan untuk semua lapisan masyarakat. Bagaimana pun perlu ditegaskan di sini kepentingan kesihatan merupakan tema utama bagi semua Agenda SDG kerana kesihatan amat penting dan menjadi prasyarat untuk memastikan pembangunan lestari berjaya.

Dari segi diplomatik, perlu ada usaha koordinasi terhadap kesihatan global. Para diplomat yang dilatih secara tradisional, dengan teknik rundingan dan hubungan antarabangsa kini perlu didedah dengan pengetahuan mengenai kesihatan awam. Diplomat yang beroperasi di bawah kementerian luar negeri kini juga perlu mendapat kerjasama daripada pakar-pakar daripada kementerian kesihatan.

Sejajar dengan semangat ini Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah telah menyatakan bahawa Diplomasi Kesihatan Global merupakan antara keutamaan dasar luar Malaysia. Datuk Seri Saifuddin Abdullah menegaskan diplomasi kesihatan memainkan peranan penting dalam politik antarabangsa dan ia memerlukan pelbagai bidang kepakaran.

Diplomasi Kesihatan Global tidak terhad kepada pemberian vaksin tetapi usaha membawa balik warganegara yang terkandas di negara lain. Sehingga Jun 2020 kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar atau Wisma Putra telah berjaya membawa pulang kira-kira 20,965 warganegara pulang ke tanah air.

Salah satu contoh Dipolmasi Kesihatan Global adalah walaupun Malaysia bukan sebuah negara pengeluar vaksin tetapi Malaysia tetap menyumbang vaksin kepada negara-negara yang amat memerlukan seperti Bosnia dan Palestin.

Pada masa yang sama negara-negara lain turut berbuat demikian. China telah berusaha dengan berkongsi pengalaman mereka melawan penularan virus COVID-19 dengan menghantar pakar-pakar perubatan dan menyumbang topeng muka, vaksin Sinovac dan alat ujian.

Pada masa yang sama China turut mempromosikan Jalan Sutera Kesihatan atau Health Silk Road (HSR) melalui Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI). Begitu juga dengan Amerika Syarikat (AS) dan Rusia masing-masing menjalankan vaksin diplomasi misalnya AS menyumbang vaksin jenis Pfizer dan Rusia vaksin jenis Sputnik V.

Walaubagaimana pun Diplomasi Kesihatan Global juga mempunyai cabaran tersendiri. Antaranya monopoli syarikat-syarikat farmaseutikal yang dikenali sebagai ‘big pharma’. Mereka seperti juga kuasa-kuasa besar di dunia memiliki teknologi tinggi dan keupayaan kewangan besar serta segala aktiviti adalah demi kepentingan diri tanpa mengira isu kemanusiaan dan kepentingan bersama.

Perbezaan adalah kuasa-kuasa besar terdiri daripada negara-negara manakala big pharma terdiri daripada pelaku bukan negara.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca