SEJAK kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September lepas, terdapat kekeliruan dan kekaburan.
Ini tidaklah menghairankan kerana inilah kali pertama dalam sejarah negara sebuah dokumen seperti itu dimeterai antara kerajaan dengan Pembangkang. Lagi pun ia berlaku dalam rentak yang sangat laju.
Antara kekaburannya adalah status dokumen itu. Ada yang berkata ia adalah persefahaman sukarela tanpa keabsahan manakala yang lain pula menganggapnya perjanjian kepercayaan dan perbekalan (confidence and supply agreement) atau CSA.
Yang nampaknya banyak membincangkan dan mengalu-alukan persefahaman ini adalah wakil daripada pihak pembangkang. Pemimpin parti-parti anggota Kerajaan seolah-olah tidak berminat atau takut menggoncangkan sampan.
Dalam kalangan pemimpin dan ahli Dewan Rakyat PH pula, kebimbangan mereka adalah takut dilihat telah menyerah kalah dan bersekongkol dengan kerajaan yang mereka sendiri tuduh sebagai tanpa keabsahan.
Mereka mendakwa Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan itu bukan Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA). Sebaliknya seperti kata Ahli Parlimen DAP bagi kawasan Subang, Wong Chen dan Ahli Parlimen PKR Selayang, William Leong, kerajaan dan PH bersetuju sebulat suara untuk tidak mengadakan CSA.
Menurut mereka, Memorandum Persefahaman itu adalah perjanjian politik yang ada di dalamnya klausa keluar (exit clause) jika salah satu pihak melanggar syarat-syaratnya.
Dalam sistem demokrasi Westminster seperti yang kita amalkan, CSA adalah perjanjian di mana sebuah parti politik atau ahli bebas akan mengundi dalam usul undi percaya dan usul-usul berkaitan peruntukan kewangan, seperti Belanjawan, sama ada dengan menyokong atau berkecuali.
Bagaimanapun, parti atau ahli bebas yang terlibat dengan CSA lazimnya mengekalkan hak untuk mengundi mematuhi dasar politik masing-masing atau mengikut hati nurani mereka. Oleh sebab Memorandum Persefahaman ini baru dan kali pertama dimeterai maka tidak hairanlah kalau banyak pihak keliru atau tidak faham langsung.
Hatta veteran politik seperti Ahli Parlimen Iskandar Puteri merangkap Penasihat DAP, Lim Kit Siang pun pada awalnya melabelkan Memorandum Persefahaman itu sebagai CSA.
Dalam kenyataan media pada 15 September dia berkata, Ismail Sabri terselamat daripada undi percaya berkaitan pemilihan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Isnin lalu kerana CSA. UMNO telah menamakan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai calon bagi mengisi kerusi yang dikosongkan oleh Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Tetapi bukan semua Ahli Dewan Rakyat UMNO menyetujui pencalonan Ahmad manakala semua wakil pembangkang dipercayai menolak beliau.
Natijahnya jika pengundian diadakan, Ahmad akan kalah dan kekalahannya boleh dilihat sebagai 'undi tidak percaya' terhadap Ismail Sabri walaupun dia sendiri mungkin tidak terlibat dengan pencalonan Ahmad.
Kesipuan Perdana Menteri itu diatasi apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengenai Parlimen dan Undang-Undang, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengusulkan supaya pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baru ditangguhkan dan disokong sebulat suara oleh Ahli Dewan Rakyat.
Sebagai alternatif, Wan Junaidi mengumumkan Perlembagaan Persekutuan akan dipinda pada sidang akan datang bagi mewujudkan jawatan Timbalan Yang di-Pertua ketiga yang dikhaskan kepada Pembangkang. Saya menimbulkan persoalan apakah tambahan jawatan ini wajar dalam keadaan di mana kewangan kerajaan lemah.
Namun ia bukanlah tanpa risiko dan kontroversi bagi semua pihak yang terlibat. Misalnya, Ismail Sabri mungkin telah menyebabkan keretakan di kalangan parti-parti anggota Perikatan Nasional termasuk partinya sendiri, UMNO.
Sukar baginya untuk meyakinkan keseluruhan kepimpinan dan akar umbi UMNO oleh sebab persefahaman dengan Pembangkang ini secara tidak langsung telah mengetepikan ketetapan "No Bersatu, no Anwar, no DAP" yang dibuat oleh perwakilan Perhimpunan Agung UMNO Mac lalu.
Tidak kurang penting adalah hakikat bahawa melalui persefahaman ini juga, Ismail Sabri, secara teorinya telah melepaskan diri daripada kemungkinan peras ugut oleh kluster mahkamah dan kleptokrat.
Feksyen ini tidak lagi boleh menggunakan undi kelompok (block vote) mereka untuk menjatuhkan beliau seperti yang mereka lakukan ke atas bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin @ Mahiaddin Mohd Yassin bulan lalu.
PH pula mungkin dilihat atau dituduh menjadi sekutu kepada dasar dan program kerajaan Ismail Sabri apatah lagi apabila syarat-syarat utama yang terkandung dalam persefahaman itu dikatakan datangnya daripada PH sendiri.
Kesimpulannya, walaupun memorandum ini asing dalam sejarah politik Malaysia, namun ia boleh menghasilkan kesan positif kepada negara dan rakyat jelata jika kedua-dua pihak terbabit dan pihak lain yang bersangkutan memberi kerjasama. Wallahuaklam.
* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Klik di sini untuk terus membaca