TIDAK sampai sepuluh hari lagi Perdana Menteri dijangka membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang akan memberi panduan dan hala tuju pembangunan negara dalam masa lima tahun akan datang. Walaupun pembentangan Rancangan Malaysia... Klik di sini untuk terus membaca

TIDAK sampai sepuluh hari lagi Perdana Menteri dijangka membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang akan memberi panduan dan hala tuju pembangunan negara dalam masa lima tahun akan datang.

Walaupun pembentangan Rancangan Malaysia kali ini adalah yang ke-12, namun negara telah mempunyai 14 pelan pembangunan lima tahun. Sebelumnya pelan ini dikenali sebagai Rancangan Lima Tahun Malaya Pertama (1956-1960) dan Rancangan Lima Tahun Malaya Kedua (1961-1965).

RMK Pertama (RMK1) diperkenalkan pada 1966-1970 seiring dengan pembentukan Malaysia pada 1963. RMK1 dibentangkan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman pada November 1965 dengan jangkaan perbelanjaan sebanyak RM10.5 bilion.

Sejak merdeka negara memperkenalkan pelan perancangan pembangunan negara setiap lima tahun. Pelan ini akan membentangkan rancangan pembangunan infrastruktur, ekonomi dan sosial negara. Ia kemudiannya akan menjadi tanda aras dan hala tuju penggubalan belanjawan negara setiap tahun dalam tempoh yang sama.

Jika diteliti, setiap pelan pembangunan lima tahun ini negara ini mengambil pendekatan dan falsafah perancangan bersandarkan elemen negara mengamalkan dasar ekonomi terbuka yang bersifat terpimpin.

Kita tidak mengamalkan ekonomi terbuka sepenuhnya kerana pelan pembangunan negara harus mengambil kira kepentingan rakyat negara ini. Negara ini mempunyai stratifikasi sosial rakyat yang berbilang kaum, agama dan perbezaan geografi yang sangat unik dan memerlukan polisi agihan pembangunan yang lebih adil dan tersusun.

Oleh kerana RMK12 hadir dalam keadaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia sebagai teras pentadbiran beliau, maka Rancangan Malaysia bukan sahaja perlu tampak lebih inklusif, malah perlu bersifat kemanusiaan dan memberi fokus kepada rekayasa ekonomi rakyat di luar bandar.

Cabaran RMK12 ialah memenuhi aspirasi Keluarga Malaysia dan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2020-2030. Oleh kerana WKB dan Keluarga Malaysia mempunyai konsep perkongsian yang seiring, saya menjangkakan RMK12 kali ini akan memberi lebih fokus kepada pembangunan ekonomi kawasan yang dilihat agak ketinggalan terutama di kawasan utara dan pantai timur semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

Negeri-negeri seperti Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu ketinggalan dari penjanaan ekonomi setempat memerlukan rancangan bagi membangunkan ekonomi setempat dan mengelakkan migrasi penduduk ke Lembah Klang dan selatan negara manakala Sabah dan Sarawak lebih kritikal kerana kekurangan jaringan pengangkutan dan kekangan prasarana asas telah menyukarkan sektor ekonomi luar bandar berkembang.

Ini memerlukan pembangunan infrastruktur yang lebih besar dan pantas bagi membolehkan kawasan-kawasan ini mencatatkan pertumbuhan ekonomi luar bandar, sekali gus meningkat taraf sosio-ekonomi penduduk setempat.

Sudah tentu RMK12 akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan infra di wilayah Borneo termasuk meneruskan usaha Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang memulihkan projek Lebuh Raya Pan Borneo pada 2016.

Mohd Najib ketika melancarkan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang bernilai hampir RM22 bilion berharap ia akan menjadi katalis pembangunan ekonomi Sabah dan Sarawak.

Fasa pertama projek ini dijangka siap pada 2023 yang menjadikannya sebahagian daripada RMKe-12, manakala sebahagian lagi akan diteruskan dalam RMK13 pada 2026-2030 nanti.

Sudah tentu RMK12 ini bukanlah inisiatif pentadbiran Ismail Sabri semata-mata. Ia merupakan kesinambungan daripada pelan pentadbiran Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebahagian besar RMK12 adalah agenda pentadbiran Muhyiddin Yassin kerana rancangan telah siap sejak tahun lalu dan sepatutnya dibentangkan awal tahun ini. Namun ia terpaksa ditunda kerana pandemik Covid-19. Kita perlu menerima hakikat pandemik Covid-19 dan kemelut politik negara menjejaskan pelan pembangunan negara.

Ekonomi dunia dan negara juga berhadapan ancaman luar biasa yang tidak sama seperti sebelum-sebelum ini. Namun di tangan Datuk Seri Mustapha Mohamed, tokoh ekonomi yang pernah mendapat kepercayaan kerajaan pimpinan Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional, saya percaya secara RMKe-12 mampu menjadi rancangan pembangunan yang mampan dan tersusun. Semoga negara ini terus dilindungi dan dirahmati ALLAH SWT.

*AB Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca