SELEPAS 64 tahun kemerdekaan Malaysia dan 62 tahun penubuhan institusi Parlimen, satu sejarah baharu tercatat dalam tawarikh negara. Malah, kebuntuan politik selama hampir 17 bulan sedang melalui proses gencatan atau perdamaian politik... Klik di sini untuk terus membaca

SELEPAS 64 tahun kemerdekaan Malaysia dan 62 tahun penubuhan institusi Parlimen, satu sejarah baharu tercatat dalam tawarikh negara.

Malah, kebuntuan politik selama hampir 17 bulan sedang melalui proses gencatan atau perdamaian politik selepas Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik ditandatangani pada 13 September 2021. Inilah sejarah baharu.

Tandatangan yang ditonton di seluruh negara menunjukkan ketelusan dan keterbukaan kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan blok pembangkang yang akan berkuat kuasa sehingga pembubaran Parlimen yang membuka laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) melainkan kegagalan memegang kepada klausa tertentu sebagaimana yang digariskan dalam perancangan transformasi politik ini sehingga ia ditamatkan serta-merta.

Ada juga suara yang bimbang bahawa ini akan memberikan keabsahan ke atas kepimpinan kerajaan hari ini walhal pengiktirafan wajar diberikan ke atas blok pembangkang yang memperjuangkan tawaran reformasi ini untuk sekian lamanya.

Kedua-dua pihak telah mengambil langkah berani. Masing-masing mengenepikan kepentingan fahaman politik dan memberikan tumpuan ke atas titik-titik persamaan ke atas agenda Covid-19 dan ekonomi serta kesihatan. Ia dominan.

Reformasi Parlimen adalah asas perubahan yang akan dilihat dalam jangka masa terdekat ini turut memerlukan reformasi politik kepartian, kepimpinan dan sistem penyampaian.

Perubahan penginstitusian tidak akan mengganggu perlindungan ke atas keluhuran Perlembagaan. Demokrasi konstruktif akan terpelihara apabila percambahan idea dan fikiran dua blok berbeza bersama-sama ketika krisis nasional. Ia juga paparan ke atas hak sivil, amalan tadbir-urus kerajaan yang baik, usaha memperkasakan masyarakat dan keharmonian institusi di peringkat pusat, negeri dan komuniti.

Apakah itu kontrak politik baharu berpaksikan politik berhemah dan bermoral yang juga menjadikan integrasi politik sebagai telapaknya dalam politik waras yang diidam selama ini?

Menarik untuk mengimbas bagaimana kedua-dua blok bersedia untuk bermusyawarah untuk membawa kepada kolaboratif politik dwi-partisan. Perbincangan mendalam perincian yang menjadi kepentingan mereka membawa kepada persetujuan menolak, menerima dan melakukan penambahbaikan ke atas enam tawaran yang memperlihatkan konsensus bersama.

Proses untuk meluluskan kesemua yang disenaraikan adalah panjang tetapi jika komitmen bersama dipertahankan, nescaya kita boleh melihat hasil akhir yang memberangsangkan. Ia tidak boleh kekal sebagai hanya satu dokumen MoU tetapi pelaksanaannya dinantikan.

Iltizam politik akan diperhatikan kerana ia akan memberi suluhan ke atas citra cabaran yang perlu dilalui dan masa depan Malaysia.

Hubungan kerajaan, pembangkang dan rakyat adalah simpulan yang akan diuji kerana ada yang memberi keutamaan ke atas pegangan politik manakala ada pula yang mementingkan cadangan penambahbaikan ke atas agenda rakyat.

Jika pemerintah dan pembangkang boleh memberikan kesedaran dan fahaman serta pendidikan pembaharuan yang mahu dibawa kepada penyokong tegar masing-masing, maka politik tawaran baharu ini perlu diyakini merupakan yang terbaik untuk rakyat atas nama Keluarga Malaysia di bawah Malaysia

Baharu

Politik konsultatif tidak boleh dihentikan. Titik-titik kebersamaan perlu diangkat melangkaui perbezaan yang kerap menjadi agenda politik kepartian. Usaha menuding ke atas kesalahan juga mesti dihentikan dalam ruang perdamaian politik. Penceritaan bagaimana kedua-duanya boleh bergabung di bawah pelbagai jawatankuasa menjadikan pengkisahan politik Malaysia menjadi lebih menarik dan matang.

Ia mengatur semula garis politik. Keanehan politik beberapa bulan lepas kita disinari dengan keikhlasan untuk menjadikan agenda rakyat keutamaan.

Walaupun tidak ada musuh dan lawan tetap dalam politik apatah lagi politik angka menjadi pilihan; harapannya adalah tidak ada kesedaran palsu yang boleh menghentikan proses ini.

Hormati tandatangan yang memeterai MoU ini kerana ia adalah amanah ke atas tanggungjawab sebagai wakil rakyat ke atas warga negara ini. Beri tumpuan ke atas yang bersifat substantif dan bukan struktur semata-mata jika mahu menang bersama.

* Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca