SHAH ALAM - Data kes jangkitan Covid-19 yang menunjukkan penurunan sepanjang tujuh hari memberikan petanda baik menjelang fasa endemik dalam tempoh 12 hari menjelang bulan Oktober depan.
Ia juga membuktikan bahawa program vaksinasi negara yang kini mencapai 78.2 peratus dan lebih 93 peratus individu sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, memberi harapan untuk kita bergerak ke fasa endemik yang memberikan lebih kelonggaran atau ruang bagi masyarakat bernafas dengan lebih selesa.
Malaysia menunjukkan tanda positif bermula 13 September dengan 16,073 kes dilaporkan manakala keesokannya jumlah itu terus menurun kepada angka 15, 669 kes.
Bagaimanapun pada 15 September, angka kembali meningkat kepada 19,495, namun dalam tempoh empat hari selepas itu trend penurunan terus berlaku dengan 18,815 kes pada Khamis;17, 577 kes (Jumaat); 15,549 kes (Sabtu); dan Ahad sebanyak 14,954 kes dilaporkan.
Berdasarkan rekod pada 13 September, sebanyak 16,073 kes dilaporkan dan baharu namun terdapat peningkatan pada 15 September dengan 19,495 kes baharu.
Bagaimanapun pada 16 September, kes kembali turun dengan 18,815 kes baharu dan terus menurun selama empat hari kepada 14,954, hari ini.
Pakar Virologi Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr Yahya Mat Arip berkata, penurunan kes tersebut adalah satu petanda yang menunjukkan bahawa kita sudah boleh mengawal pandemik ini ditambah program vaksinasi yang dijalankan itu berjaya.
"Kita dapat melihat kesan vaksinasi yang pihak kerajaan lakukan menunjukkan kemajuan yang sangat baik dan tahap vaksinasi yang sangat memberangsangkan apabila ia dapat menurunkan data kes Covid-19.
"Vaksinasi adalah satu usaha yang berjaya. Walaupun banyak sektor ekonomi dan sosial dibuka, sekiranya seseorang itu telah divaksin dan berlaku jangkitan sekalipun, kemungkinan untuk dia mengalami kesan yang teruk adalah sangat kurang,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Walau bagaimanapun, beliau berpandangan bahawa negara ini masih belum berada di zon selesa walaupun menuju ke fasa andemik di mana masih wujud kumpulan yang belum divaksin atau tidak boleh menerima vaksin.
"Buat masa ini, kita belum berada di zon selesa namun menuju ke fasa endemik dengan harapan bahawa program vaksinasi ini dapat mencapai 80 peratus dengan lebih cepat walaupun kita hampir mencapai sasaran itu ketika ini bagi golongan dewasa.
"Namun, kita juga harus ingat terdapat kumpulan yang baru menerima vaksin iaitu mereka berumur 12 hingga 17 tahun. Itu juga sedang dilaksanakan dan pertambahan liputan vaksinasi ini akan memberikan lebih kelebihan dari segi menangani pandemik ini,” katanya.
Tambahnya, walaupun menuju endemik, masyarakat tidak boleh leka dan terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) demi memastikan kes jangkitan Covid-19 terus menurun.
"Sekarang ini, ia berbalik kepada masyarakat pula sama ada masyarakat mampu untuk terus mematuhi SOP. Vaksinasi tidak bermaksud kita kebal kerana jangkitan masih boleh berlaku cuma kesannya kurang.
"Masyarakat juga harus memahami bahawa vaksin membantu tetapi tidak semestinya menghalang jangkitan. Dengan adanya golongan yang belum divaksin dan tidak boleh divaksin, maka SOP itu perlulah dipatuhi supaya kita tidak menyebabkan jangkitan kepada dua golongan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Pakar Perunding Mikrobiologi Klinikal, Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Zamberi Sekawi berkata, biarpun punca utama penurunan kes tersebut disebabkan oleh vaksin, ia bukanlah merupakan satu kelegaan dan perjuangan menentang Covid-19 masih belum selesai.
"Data penting kita kena lihat adalah data kematian atau Covid yang teruk di kategori 4 dan 5 atau kadar kemasukan individu ke hospital untuk rawatan. Ini lebih penting daripada data yang tiada gejala atau gejala ringan.
"Punca utama data atau kes menurun adalah kerana vaksin. Mereka yang mengambil vaksin kemungkinan akan dijangkiti juga tetapi ia berkesan untuk mengawal Covid-19 yang teruk dan kematian,” katanya.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad berkata, pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 (Booster Shot) kepada golongan berisiko tinggi akan diberikan selepas kadar vaksinasi populasi dewasa melebihi 80 peratus.
Jelas beliau, proses imunisasi perlu dipertingkatkan lagi untuk mencapai kelompok imuniti secepatnya dan selain pengambilan vaksin, SOP perlu sentiasa dipatuhi oleh masyarakat.
"Jika kadar kematian dan kadar kemasukan hospital berkurang, ini menunjukkan negara ini sudah memasuki fasa endemik.
Secara teorinya, kalau penyakit itu sangat berjangkit, kadar imunisasi kita kena lagi tinggi dari 80 peratus dan peratusan itu pula mengambil kira semua populasi termasuk kanak-kanak yang belum divaksin.
"Yang penting SOP yang diamalkan masih diperlukan lagi. Di samping itu, proses imunisasi juga perlu ditingkatkan lagi setinggi yang boleh untuk mencapai imuniti kelompok,” katanya.
INFO:
Kes Covid-19 selama tujuh hari
13/9 - 16,073
14/9 - 15,669
15/9 - 19, 495
16/9 - 18,815
17/9 - 17, 577
18/9 - 15,549
19/9 – 14,954
Klik di sini untuk terus membaca