SHAH ALAM - Kegagalan memasuki premis perniagaan selain pergerakan harian terhad kerana tidak mempunyai sijil vaksin menyebabkan kumpulan antivaksin ibarat cacing kepanasan apabila kini cuba menyogok petugas di pusat pemberian vaksin (PPV) serta klinik.
Siasatan wartawan sejak lebih seminggu lalu mendapati golongan berkenaan menggunakan pelbagai cara demi mendapatkan sijil vaksin secara haram.
Menurut satu sumber yang ditemubual Sinar Harian, sejak pembukaan sektor ekonomi terutamanya kebenaran makan di kedai, ramai individu antivaksin yang nekad hadir ke PPV dan klinik untuk mendapatkan sijil vaksin secara tidak sah, malah sanggup disuntik picagari kosong.
Sumber tersebut mendedahkan, dalam satu kes di sebuah PPV di Selangor ada individu cuba menawarkan sejumlah wang kepada petugas bagi memperoleh sijil berkenaan.
Kata sumber itu, kelompok antivaksin tersebut juga meminta petugas PPV bersekongkol bersama mereka untuk menipu dengan hanya menyuntik jarum kosong tanpa kandungan vaksin baik Pfizer, AstraZaneca mahupun Sinovac.
"Ada percubaan mendapatkan sijil vaksinasi di sebuah PPV di Selangor, namun perbuatan itu gagal apabila pihak petugas di PPV berjaya mengesannya.
"Kejadian pada bulan lalu itu telah dilaporkan kepada pihak polis untuk pihak berkuasa menjalankan siasatan.
"Kami mengesyaki ia tindakan terdesak kerana individu tiada vaksin gagal memasuki mana-mana premis perniagaan akibat kawalan ketat dan pergerakan menjadi terhad,” katanya kepada wartawan baru-baru ini.
Susulan itu, Sinar Harian turut menemubual beberapa orang petugas lain di PPV dan klinik lain di sekitar Shah Alam.
Seorang petugas wanita di sebuah klinik mengakui pernah didatangi beberapa individu yang sanggup menawarkan sejumlah wang dan meminta petugas klinik menyuntik jarum kosong.
"Banyak kes macam ini yang kami jumpa sejak beberapa minggu lalu khususnya apabila sektor ekonomi sudah mula beroperasi.
"Mahu dine-in kedai makan, mahu bercuti dan sebagainya semua kena lengkap dua dos.
"Tapi bila kami tolak permintaan tersebut, ada beberapa individu terbabit bertindak agresif dengan memarahi kakitangan di klinik,” katanya.
KEGIATAN TERANCANG
Kata sumber tersebut, pihaknya yakin semua petugas PPV di seluruh negara tidak akan berkompromi dengan perbuatan tidak bermaruah itu kerana ia bertentangan dengan matlamat kerajaan meningkatkan jumlah penerima vaksin di Malaysia.
"Saya bersyukur kerana setakat ini, petugas di PPV tidak gelap mata dan sanggup melakukan perbuatan jijik itu kerana ia bertentangan dengan hasrat kerajaan meningkatkan tahap imuniti rakyat sekali gus membebaskan kita daripada Covid-19,” katanya.
Ketua Penyelaras PPV Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC), Hasfazilah Hassan berkata, beliau percaya perbuatan mendapatkan sijil vaksin secara haram adalah kegiatan terancang yang dilakukan secara berkumpulan kerana ia melibatkan banyak proses yang telah ditentukan oleh pihak berkuasa.
Katanya, banyak lapisan yang perlu ditempuhi sebelum satu-satu status pemberian vaksin dicatatkan dalam sijil vaksin yang diuruskan oleh pihak PPV.
"Ia pastinya perbuatan yang dilakukan secara berkumpulan dan terancang kerana tidak mudah membuat penipuan ini secara orang perseorangan.
"Urusan pemberian vaksin di PPV mempunyai banyak lapisan yang perlu dilalui sebelum status pada satu-satu sijil vaksin disahkan dalam sistem MySejahtera,” katanya.
Mengulas lanjut, Hasfazilah berkata, pihaknya senantiasa mengingatkan semua petugas PPV agar bertugas dengan penuh integriti dan beramanah.
Beliau berkata, pihak pengurusan PPV BACC sama sekali tidak akan bersekongkol dan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba mendapatkan sijil vaksin secara haram.
Dalam pada itu, sewaktu sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat minggu lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said memaklumkan seramai 10 individu sudah dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan memalsukan sijil vaksinasi.
"Berdasarkan pecahan mengikut negeri, seorang daripada individu terbabit adalah di Kelantan, Melaka (dua), Sarawak (empat), Perak (satu) dan Sabah (dua).
"Seorang individu yang didapati bersalah itu adalah di Sarawak, di mana mahkamah sudah memberi sabitan dengan hukuman penjara,” jelas beliau.
Klik di sini untuk terus membaca