SHAH ALAM - Pemulihan sektor ekonomi yang sedang dilaksanakan ketika ini bergantung kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak sektor tertentu kembali ditutup sekiranya berlaku peningkatan kes Covid-19 membabitkan premis... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pemulihan sektor ekonomi yang sedang dilaksanakan ketika ini bergantung kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak sektor tertentu kembali ditutup sekiranya berlaku peningkatan kes Covid-19 membabitkan premis perniagaan.

Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, ini kerana kunci kejayaan peralihan itu bergantung kepada pematuhan SOP dalam kalangan rakyat di negara ini.

Menurutnya, rakyat yang tidak mematuhi SOP hanyalah sebilangan kecil, namun impaknya cukup besar terutama kepada sektor ekonomi.

"Kita lihat apabila rakyat tidak mematuhi SOP, kes Covid-19 akan meningkat sehingga menyebabkan ada yang ragu-ragu untuk keluar membeli-belah dan menjalankan aktiviti harian yang lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Shazali berkata, kerajaan juga perlu menguatkuasakan hukuman kepada individu atau pihak yang tidak mematuhi SOP.

"Majoriti yang terjejas disebabkan golongan minoriti tidak ikut SOP, takkan hendak dibiarkan begitu sahaja,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ida Yasin senada dengan Shazali.

Ida berkata, rakyat yang tidak mematuhi SOP boleh menyebabkan penularan Covid-19 yang tidak terkawal.

Jelasnya, apabila ramai yang sakit, produktiviti akan terjejas, sektor kesihatan akan turut menghadapi tekanan dengan kemasukan ramai pesakit ke hospital.

"Akhirnya jika tiada pilihan, kerajaan terpaksa menutup semula sebahagian sektor ekonomi yang kurang perlu bertujuan membendung penularan wabak ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Ida berkata, rakyat perlu bersedia dengan kehidupan norma baharu jika mahu merancakkan kembali sektor ekonomi.

Beliau berkata, pembukaan satu sektor ekonomi seperti sektor pelancongan di Langkawi jelas memberi kelegaan kepada pemain industri kerana sektor itu adalah yang paling teruk terjejas sejak penularan Covid-19.

Klik di sini untuk terus membaca