DUNIA kini tak semena-mena bercakap tentang ancaman perang di Laut China Selatan yang mana negara kita turut berkongsi sempadan laut, semuanya gara-gara perjanjian pembelian kapal selam berkuasa nuklear antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat yang dinamakan AUKUS beberapa hari lalu.
Dalam tempoh yang sama, kita juga turut menyaksikan bagaimana Indonesia menghantar armada laut dan udaranya ke perairan Kepulauan Natuna yang terletak di antara Terengganu dan Sarawak sebagai langkah berjaga-jaga ekoran bertambahnya aktiviti ketenteraan tentera Republik Rakyat China berhampiran pulau berkenaan.
Natuna yang mana sebahagian besar penduduknya berasal dari Terengganu adalah milik Indonesia. Ia adalah kepulauan paling utara milik Indonesia. Di atas kertas, kepulauan tersebut tidak sepatutnya menjadi milik Indonesia kerana jika berdasarkan perjanjian Inggeris-Belanda 1824, apa sahaja wilayah yang berada di bawah Singapura menjadi milik Belanda termasuk Sumatera dan Kalimantan kecuali Sabah dan Sarawak. Manakala Inggeris menguasai benua kecil India, Burma, Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak.
Kesan daripada perjanjian ini juga telah membahagikan Nusantara kepada dua kuasa besar iaitu Inggeris di Utara dan Belanda di Selatan. Ia juga menamatkan empayar Melayu terakhir di Nusantara iaitu Empayar Johor-Riau.
Natuna yang berada jauh di Utara di antara Semenanjung dan Borneo tidak disebut.
Bagaimanapun apabila Indonesia terlebih dahulu mencapai kemerdekaan mereka telah menuntut hak ke atas Natuna tanpa dibantah oleh Malaysia.
Garis sempadan Malaysia dan Indonesia hari ini juga adalah berasaskan kepada perjanjian 1824 ini.
Natuna kini menjadi sebahagian wilayah strategik Indonesia kerana kekayaan hasil mineralnya termasuk gas dan minyak.
Sejak China mempertingkatkan aktiviti ketenteraan mereka di Laut China Selatan, dengan membina pangkalan udara dan laut di Kepulauan Spratlys, Indonesia juga turut mempertingkatkan kawalan mereka di perairan Natuna. Natuna adalah satu-satunya wilayah Indonesia di laut berkenaan.
Kembali kepada perjanjian AUKUS, Amerika dan Britain memberikan perhatian khusus kepada Australia kerana satu-satunya sekutu mereka dengan kekuatan ketenteraan yang paling hampir dengan Laut China Selatan ialah Australia.
Australia bukan sahaja berkongsi sejarah yang panjang dengan Britain dan Amerika tetapi turut berkongsi budaya, keturunan dan bahasa yang sama. Australia dan jiran mereka, New Zealand adalah dua buah negara yang terletak di Asia tetapi diduduki dan diperintah oleh bangsa Inggeris bukan Asia.
Melengkapkan pasukan keselamatan Australia dengan kapal selam berkuasa nuklear menjamin kepentingan Britain dan Amerika di rantau ini kerana kedudukan kedua-dua buah negara ini yang jauh. Hanya Australia sahaja sekutu yang berkongsi sempadan laut dengan negara Asia Tenggara.
Sekarang, kebimbangan besar Amerika dan Britain ialah keupayaan China untuk menyerang dan menawan Taiwan - sebuah lagi negara sekutu Amerika di Asia.
Jumaat lalu, Menteri Pertahanan Australia, Peter Dutton mengakui, peperangan dengan China berhubung isu Taiwan adalah satu kemungkinan dan negaranya perlu membuat persediaan ke arah itu jika ia terjadi.
Dan katanya, kerjasama AUKUS akan membolehkan Australia memperolehi sekurang-kurangnya lapan buah kapal selam bertaraf nuklear dan bantuan ketenteraan yang maju untuk mengimbangi kekuatan ketenteraan China di rantau ini.
"Ia adalah untuk tujuan keamanan tetapi pada masa yang sama kita tidak boleh mengenepikan sebarang konflik yang mungkin berlaku dengan China,” ujarnya ketika ditemui wartawan di Washington DC. Beliau berada di Amerika untuk memperhalusi perjanjian AUKUS.
Untuk rekod, Amerika buat masa ini memiliki 68 buah kapal selam berkuasa nuklear, Britain 10 buah manakala Australia memiliki enam buah kapal selam bukan berkuasa nuklear berbanding China yang buat masa ini mempunyai 15 buah kapal selam berkuasa nuklear dan 58 buah kapal selam berkuasa diesel atau elektrik.
Berdasarkan perbandingan ini, amat jelas sekarang mengapa Britain dan Amerika bersungguh-sungguh mahu memastikan yang Australia juga turut dilengkapi dengan kapal selam berkuasa nuklear. Ia adalah untuk menghantar signal yang jelas kepada China bahawa negara itu bukanlah satu-satunya kuasa besar dengan kelengkapan nuklear di rantau Asia.
Yang menjadi persoalan sekarang ialah, apa nasib negara-negara kerdil di Asia Tenggara seperti kita dan sekutu ASEAN yang lain. Inilah yang dikatakan, dua ekor gajah bertarung, kancil mati di tengah-tengah.
Tak terbayang keadaan bila mana kuasa-kuasa nuklear dunia ini melepaskan peluru berpandu nuklear, yang tersepit di tengah-tengah ialah kita. Seandainya bom nuklear meletus di Laut China Selatan, yang akan menjadi mangsa terlebih dahulu adalah negara-negara yang mengadap lautan tersebut seperti Malaysia, Filipina, Vietnam, Thailand, Singapura, Kemboja dan Indonesia - bukan China, bukan Britain dan bukan Amerika atau Australia.
Barang diingat selain China dan Filipina, Malaysia juga turut mempunyai stesen pemantauan tentera di Terumbu Layang-Layang yang membentuk sebahagian daripada Kepulauan Spratlys di tengah-tengah Laut China Selatan.
Kehadiran AUKUS hanya akan menambah kekalutan pertunjukan kuasa ketenteraan negara besar di rantau kita.
* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca