[WAWANCARA] Bermula sebagai ‘panglima’ UMNO yang lantang mengkritik kerajaan Perikatan Nasional, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman akhirnya mengejutkan negara apabila bertindak menyokong kerajaan pimpinan Tan... Klik di sini untuk terus membaca

[WAWANCARA] Bermula sebagai ‘panglima’ UMNO yang lantang mengkritik kerajaan Perikatan Nasional, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman akhirnya mengejutkan negara apabila bertindak menyokong kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika itu.

Keputusan Tajuddin itu sebenarnya menghairankan, lebih-lebih lagi ia dibuat selepas beliau dipecat daripada jawatan Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad susulan insiden dua tren LRT bertembung di ibu negara.

Bahkan, perubahan pendirian Tajuddin itu juga menyebabkan beliau kehilangan jawatan Pengarah Pilihan Raya UMNO.

Namun beliau tidak cepat melatah, sebaliknya memainkan peranan penting dalam percaturan politik tanah air bersama rakan-rakan ahli Parlimen UMNO lain sehingga membolehkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Ikuti wawancara eksklusif Pengarang Berita Sinar Harian, Junhairi Alyasa dan wartawan Khairil Anwar Mohd Amin bersama Tajuddin bagi menyelami faktor di sebalik kembalinya UMNO mengemudi kerajaan, hubungan beliau dengan pucuk kepimpinan parti serta perancangan masa hadapan selaku Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC).

SINAR HARIAN: Bagaimana hubungan Datuk Seri bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas pembentukan kerajaan baharu dipimpin Ismail Sabri?

TAJUDDIN: Hubungan bertambah baik. Saya akui hubungan sebelum ini tidak begitu mesra, namun sejak kebelakangan ini beliau sudah mula berkomunikasi dengan saya secara mesra.

Bahkan, Ahmad Zahid dan Datuk Seri Najib Tun Razak singgah ke pejabat saya di Parlimen untuk bertanya khabar. Jadi saya anggap hubungan semakin mesra.

Ini perkara biasa dalam UMNO. Ada masa bila kami berbeza pendirian, hubungan dilihat agak tegang. Tetapi, tidak lama, eloklah semula. Senario ini satu perkara normal berlaku sewaktu pemilihan parti. Pertembungan beberapa kumpulan bertanding ketika itu, kalau orang luar lihat, seolah-olah macam betul-betul berkelahi.

Selepas habis pemilihan, semua akan kembali elok.

Sebelum kejatuhan kerajaan PN, adakah Datuk Seri tidak menjangkakan jumlah ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan daripada Muhyiddin boleh mencecah 15 orang?

Sebenarnya begini. Jumlah keseluruhan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) adalah 42 orang. Tindakan mengekalkan sokongan kepada kerajaan PN bukan dirancang. Sesiapa yang hendak menyokong kerajaan PN, sokong. Mana yang tidak boleh menerima kerajaan PN, mereka tidak sokong.

Pada saat Presiden UMNO sendiri mencadangkan ahli Parlimen parti itu pull the plug dan disokong Najib, muncullah dua blok dalam UMNO terdiri daripada mereka yang setuju cadangan Ahmad Zahid atau tidak.

Mereka semua mempunyai alasan masing-masing. Akhirnya yang bersetuju adalah seramai 15 orang termasuk Presiden dan Najib. Sebaliknya, 27 orang lagi termasuk saya tidak bersetuju kerana kami berpendapat mengapa mesti menarik sokongan sekarang.

Keputusan parti pun mengatakan ahli-ahli Parlimen UMNO boleh terus bersama kerajaan PN sehingga pembubaran Parlimen. Jadi, tuduhan mengatakan kita tidak mengikut keputusan parti tidak betul. Tetapi, perkara itu dimainkan. Seolah-olah 27 ahli Parlimen UMNO ingkar kepada arahan parti.

Bagi kumpulan 15 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan, mereka ini dilihat seolah-olah mempertahankan keputusan parti. Alasan mereka adalah keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 menyerahkan mandat kepada Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk tentukan bila mahu pull the plug.

Mungkin alasan itu betul, tetapi Presiden kena menggunakan kebijaksanaan. Beliau dan MKT ada kuasa menentukannya, tetapi bila sepatutnya masa sesuai? Dengan keadaan krisis Covid-19 sebegini sesuaikah keluar kerajaan, apa untungnya?

Dakwaan mereka mempertahankan keputusan PAU 2020 dan menuduh kami meninggalkan keputusan PAU, ini tafsiran berbeza. Alasan kami pula adalah kami mempertahankan kepentingan parti dan selain itu, masa untuk keluar tidak sesuai ketika itu.

Saya dipanggil Presiden, Timbalan Presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan) dan Setiausaha Agung UMNO (Datuk Seri Ahmad Maslan) dan diminta untuk menandatangani surat menarik sokongan daripada kerajaan PN. Saya kata tidak boleh tandatangan kerana kalau UMNO tarik sokongan, apa akan jadi selepas kerajaan PN jatuh?

Adakah BN boleh tubuhkan kerajaan dengan hanya sokongan 42 ahli Parlimen? Tidak boleh. Jadi, adakah UMNO mahu mengambil risiko menjadi pembangkang semula? Ketika itu, kami berpandangan sekiranya UMNO keluar kerajaan, PN diterajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) boleh mencari rakan kongsi kuasa lain.

Mereka boleh balik kepada Pakatan Harapan (PH), boleh balik kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP. Mereka sudah biasa bersama dan dalam keadaan terdesak, mereka mungkin sanggup untuk kembali bersama PH bagi mempertahankan kuasa.

Kalau terjadi sebegitu, UMNO akan rugi kerana menjadi pembangkang. Itu sahaja alasan kami yang menolak cadangan menarik sokongan daripada kerajaan PN. Kecuali kalau Presiden UMNO beri jaminan UMNO kembali menjadi kerajaan, mungkin kami berubah fikiran.

Namun, Presiden tidak boleh jawab siapa yang bakal bersama UMNO untuk tubuhkan kerajaan baharu ketika itu. Beliau hanya menjawab itu strategi rahsia yang tidak boleh diberitahu lebih awal. Saya jadi ragu-ragu ketika itu kerana kalau saya tandatangani surat persetujuan tarik sokongan, saya seolah-olah menandatangani satu 'cek kosong'.

Apabila UMNO kini sudah mengemudi kerajaan baharu, adakah Datuk Seri merasakan suara UMNO sudah cukup kuat dalam kerajaan?

Sepatutnya kuatlah kerana Perdana Menteri dilantik daripada ahli Parlimen UMNO. Selain itu, jawatan menteri kanan dan beberapa kementerian strategik semua dipegang UMNO.

Kalau rasa tidak cukup kuat lagi, kena rombaklah kabinet itu. Bagilah yang (ahli Parlimen) kuat-kuat masuk pula (sambil ketawa). Kalau tidak cukup, maknanya silap pilihlah.

Dalam satu audio tular percakapan Datuk Seri dalam satu mesyuarat MKT UMNO sebelum kejatuhan kerajaan PN, Datuk Seri ada menyatakan kerajaan ketika itu adalah 'kerajaan Ismail Sabri' walaupun dipimpin Muhyiddin.

Adakah Datuk Seri sudah menjangkakan ramalan itu bakal menjadi realiti?

Ya saya sudah jangka. Andaian saya menjadi kenyataan kerana walaupun Muhyiddin masih kekal Perdana Menteri ketika itu dan Ismail Sabri dilantik Timbalan Perdana Menteri (TPM), saya sudah baca yang Muhyiddin akan kurang bekerja untuk kerajaan berasaskan keadaan kesihatan beliau.

Beliau akan beri banyak mandat kepada Ismail Sabri untuk menjalankan tugas pentadbiran negara. Justeru, pada waktu itu, pandai-pandailah Ismail Sabri menggunakan kedudukan sebagai TPM bagi membantu UMNO dan rakyat.

Tajuddin mendedahkan beliau adalah antara individu yang membantu Ismail Sabri dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri semasa pentadbiran Muhyiddin.

Bagaimana penerimaan ahli UMNO terhadap Datuk Seri setelah Datuk Seri mengubah pendirian menyokong kerajaan Muhyiddin sebelum ini?

Saya sendiri sebelum ini lantang menentang Muhyiddin. Namun, saya kemudiannya berbaik dengan beliau atas kepentingan untuk meletakkan Ismail Sabri di tempat yang beliau duduki pada hari ini. Politik adalah satu seni.

Saya akui teruk dikritik dan dimaki akar umbi UMNO. Ada bertanyakan saya, "Apa sudah jadi dengan panglima UMNO yang dilihat berlembut pula dengan PN?". Saya faham kebimbangan mereka.

Namun, melalui hubungan baik itulah saya dapat bercakap dengan Muhyiddin. Presiden Bersatu itu menjemput saya ke rumahnya dan bertanyakan kaedah bagaimana untuk UMNO dan Bersatu kembali berbaik.

Saya kata kalau mahu dua parti Melayu ini berbaik, Muhyiddin kena memahami ketidakpuasan pemimpin UMNO disebabkan parti itu dilayan buruk oleh Bersatu. Muhyiddin bersetuju dengan pandangan saya bahawa semua parti Melayu dan Islam perlu bersatu.

Saya menjelaskan kepada beliau itu niat saya apabila membantu membentuk Muafakat Nasional (MN) antara UMNO dan Pas. Harapan saya, selepas Pas dan UMNO bersatu melalui MN, saya berharap Bersatu pula bergabung dengan kami, tetapi tidak jadi.

Muhyiddin menjelaskan Bersatu juga mahu menyertai MN demi penyatuan Melayu, beliau turut berunding dengan Ahmad Zahid demi perkara itu, tetapi harapan tidak kesampaian. Muhyiddin turut memaklumkan UMNO pernah mengajak Bersatu menyertai MN.

Tetapi hingga saat itu bila Bersatu sudah bersetuju, tiada respon susulan daripada UMNO. Muhyiddin merasakan mereka ibarat tetamu yang dibiarkan menunggu di tangga rumah.

Justeru, saya cadangkan kepada beliau untuk berbaik semula dengan UMNO. Bagaimana hendak buat? Saya cadangkan Muhyiddin merombak kabinet. Bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada UMNO.

Kemudian jawatan kementerian-kementerian strategik diberikan kepada UMNO. Muhyiddin kemudiannya bersetuju dengan pandangan saya, tetapi mengakui tidak boleh melaksanakannya serta-merta. Beliau meminta masa sehingga penghujung tahun ini untuk melakukan rombakan kabinet.

Saya faham penjelasan Muhyiddin kerana beliau perlu mengambil kira reaksi parti-parti komponen lain sebelum melakukan rombakan kabinet besar-besaran.

Muhyiddin membuktikan kata-katanya dengan melantik Ismail Sabri sebagai TPM tidak lama selepas pertemuan dengan saya. Saya juga mengingatkan Muhyiddin ketika itu wajar memberikan lebih kuasa dan tanggungjawab kepada Ismail Sabri sebagai TPM kerana beliau ketika itu dilihat menjadi harapan orang UMNO.

Saya berfahaman apabila Muhyiddin bersetuju dengan pandangan saya, kedudukan Ismail Sabri sebagai TPM ketika itu sudah dianggap signifikan dan berpengaruh dalam kerajaan PN. Walaupun beliau sekadar TPM, tetapi masih mampu melakukan perkara hebat sebagaimana mampu dilakukan seorang Perdana Menteri.

Itu maksud saya kerajaan ketika itu adalah kerajaan Ismail Sabri. Ini kerana beliau boleh buat macam-macam untuk UMNO.

Ini bermakna Muhyiddin sewaktu menjadi Perdana Menteri ketika itu sudah bersetuju mengikut kehendak UMNO untuk melaksanakan rombakan kabinet?

Ya. Tetapi dengan takdir ALLAH SWT, beliau pula terpaksa meletak jawatan tidak sampai sebulan selepas Ismail Sabri dilantik TPM.

Melalui perjanjian memorandum persefahaman (MoU) di antara kerajaan dan PH, adakah perjanjian itu memberi petanda keputusan 'No Anwar, No DAP' dalam PAU 2020 tidak lagi relevan?

Kalau pandangan tidak relevan itu menunjukkan UMNO sekarang sudah boleh terima Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP, itu pandangan salah.

Pendirian 'No Anwar, No DAP' untuk kerjasama politik bagi membentuk koalisi memang kami akan terus tentang dan tidak akan bersetuju dengan cadangan itu. Kadangkala orang baca politik tidak cukup mendalam.

Mereka ingat bila UMNO tandatangani perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan PH, maknanya UMNO sudah terima DAP dan Anwar. Itu pemahaman tidak betul.

Mereka tidak baca intipati perjanjian CSA berkenaan. Walaupun kerajaan tandatangan CSA, ini bertujuan untuk memastikan kerjasama dengan pembangkang dalam isu tertentu sahaja merangkumi krisis Covid-19, ekonomi dan pengangguran.

Pembangkang diberi ruang untuk memberi pandangan serta dilantik dalam Jawatankuasa Pemilihan Khas Parlimen bagi tujuan itu. Tetapi mereka tidak akan sesekali dilibatkan dalam kerajaan. Justeru pendirian 'No Anwar, No DAP' dalam kerajaan masih kekal.

Pandangan Datuk Seri, siapa pemenang besar daripada perjanjian MoU antara kerajaan dan PH?

Sebenarnya perjanjian itu membolehkan kedua-dua pihak saling memenangi sesama mereka.

Kenapa adakan CSA? Ini kerana kerajaan pun mendapat jaminan daripadanya. Perjanjian itu membolehkan kerajaan tidak tergugat.

Di pihak pembangkang, mereka turut menerima pelbagai manfaat dengan ahli-ahli Parlimen mereka turut mendapat peruntukan tahunan yang sama dengan ahli Parlimen kerajaan.

Namun, pemenang terbesar perjanjian CSA ini adalah kerajaan. Kalau banding jatuh kerajaan dengan kekal kerajaan, mana manfaat lebih besar? Bagi saya, untuk mencari duit RM100 hingga RM200 juta mungkin tiada masalah, tetapi kalau kerajaan dijatuhkan? Apa manfaatnya?

Selaku Pengerusi BBC, bagaimana Datuk Seri melihat peranan ahli-ahli Parlimen penyokong kerajaan untuk menguasai persidangan Dewan Rakyat?

Saya sudah fikir sejak beberapa hari lalu. Selaku pengerusi yang dipilih melalui pemilihan, saya ingin melihat kualiti perbahasan dikemukakan ahli-ahli Parlimen biarlah berkualiti.

Kita hendak mendengar pandangan, cadangan dan kritikan yang membina. Pandangan itu pula perlu bersifat konstruktif. Kita tidak mahu sidang Parlimen di ibarat Sultan Johor sebagai 'beruk dalam sarkas'.

Saya berhasrat untuk memberitahu ahli-ahli Parlimen menyokong kerajaan supaya menyiapkan ucapan perbahasan dengan penuh fakta, berisi serta tidak mengamalkan ucapan merapu. Kita mahu meningkatkan standard ucapan perbahasan ahli-ahli Parlimen kepada tahap lebih baik.

Kita mahu melihat satu era baharu ucapan perbahasan ahli Parlimen BBC yang menepati kualiti diperlukan serta bertanggungjawab kepada Dewan Rakyat serta rakyat di luar sana. Sehingga hari ini, mereka tidak dapat melihat perkara itu dan kecewa dengan kualiti perbahasan ahli Parlimen.

Saya juga merancang untuk berjumpa dengan keseluruhan 51 ahli Parlimen BBC bagi mengingatkan mereka akan peranan masing-masing sebagai ahli BBC.

Satu aspek lagi, ahli Parlimen BBC juga berperanan sebagai semak dan imbang kepada kerajaan selain pembangkang. Saya tidak mahu tengok mereka sokong kerajaan secara membuta-tuli. Kita tidak mahu dengar sokongan secara membodek.

Dengan keberanian ahli Parlimen BBC menegur kerajaan, barulah rakyat akan melihat BBC kerajaan adalah ahli Parlimen bertanggungjawab. Kamu hendak jaga individu ke atau jaga rakyat? Rakyat di luar hendak tengok bila kerajaan tidak 'perform', apa teguran kamu sebagai ahli Parlimen BBC?

Kena ingat ahli Parlimen bercakap mewakili suara rakyat dan bukan diri kita. Jangan syok sendiri dengan memuji segelintir menteri secara berlebihan. Secara ringkas, kalau boleh saya mahu lihat ahli Parlimen BBC memainkan peranan lebih bertanggungjawab untuk menyuarakan kepentingan rakyat.

Adakah tindakan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said mengemukakan usul persendirian dalam Dewan Rakyat dan tidak berbincang terlebih dahulu dengan pihak kerajaan berkenaan usul berkenaan dianggap satu pembaharuan dalam budaya BBC?

Tiada masalah. Mana-mana ahli Parlimen termasuk daripada kerajaan dibenarkan membawa usul persendirian ke dalam Dewan Rakyat selagi mana usul itu dianggap berkepentingan kepada rakyat. Itu perkara biasa.

Namun, ada pemerhati politik berpendapat tindakan Azalina itu seolah-olah menunjukkan hubungan ahli-ahli Parlimen dalam kerajaan tidak harmoni dengan beliau dikatakan cuba menggambarkan suara segelintir ahli Parlimen kerajaan tidak didengari Perdana Menteri. Pandangan Datuk Seri?

Tidak boleh kata begitu. Sebenarnya semua ahli Parlimen ada banyak idea. Lagipun, bukan semua idea mereka dapat diselami sepenuhnya oleh kerajaan. Jadi bila seseorang ahli Parlimen merasakan ada idea penting untuk negara yang kerajaan terlepas pandang, maka beliau mengemukakan usul persendirian.

BBC pula tidak akan menapis atau mempersoalkan sebarang usul persendirian sebagaimana dikemukakan Azalina. Ahli-ahli Parlimen BBC sendiri diberi kebebasan untuk mengemukakan sebarang usul persendirian kerana yang menentukan sama ada usul itu lulus untuk dibahaskan adalah Speaker Parlimen.

Sekiranya BBC tidak bersetuju dengan sebarang usul persendirian dikemukakan ahli-ahli Parlimen menyokong kerajaan, kita akan tegur secara dalaman.Selaku pengerusi BBC kerajaan baharu, apa peranan penting yang perlu dimainkan Datuk Seri untuk memurnikan Dewan Rakyat serta memastikan fungsi BBC itu sendiri selari dengan kepentingan rakyat?

Pertamanya, selaku pengerusi BBC baharu, saya pastinya mahu memastikan tanggungjawab baharu yang diberikan kepada saya adalah berkesan. Saya juga perlu menjadi contoh kepada ahli Parlimen BBC lain dengan memastikan saya hanya bangkit mencelah perbahasan pada waktu yang betul-betul sesuai.

Pada zaman dahulu, kedudukan pengerusi BBC amat dihormati dan digeruni bukan sahaja dalam kalangan pembangkang, bahkan menteri dan Perdana Menteri sekalipun. Justeru, saya mahu mengembalikan penghormatan kepada jawatan itu.

Datuk Seri seringkali dianggap sebagai seorang ultra Melayu dan nasionalis, justeru bagaimana Datuk Seri hendak memastikan pengurusan BBC Keluarga Malaysia yang berbilang kaum dapat dijalankan dengan adil dan saksama?

Saya tiada masalah uruskan BBC Keluarga Malaysia. Saya dianggap sebagai seorang Ultra Melayu, tetapi atas persepsi salah iaitu saya hanya mengutamakan kepentingan orang Melayu semata-mata dan lupakan kepentingan kaum lain.

Konsep perjuangan saya adalah kaum Melayu perlu dibela, namun pada masa sama hak kepentingan kaum lain juga perlu dipelihara. Saya berkawan dengan semua ahli Parlimen, termasuk bukan Melayu.

Saya bukan sahaja hormati sebahagian besar ahli Parlimen bukan Melayu, bahkan suka berkawan dengan mereka. Selagi mereka tidak melampaui batas, tiada masalah untuk saya menghormati dan berkawan dengan mana-mana ahli Parlimen bukan Melayu.

Ada aduan daripada pembangkang yang mempersoalkan penglibatan barisan menteri dan ahli Parlimen BBC yang tiada di tempat duduk masing-masing sewaktu Ketua Pembangkang iaitu Anwar menyampaikan ucapan perbahasan Titah Diraja. Bagaimana Datuk Seri melihat keperluan BBC untuk menambah baik perkara ini?

Kita sememangnya mahukan bahagian front bench terdiri menteri dan timbalan menteri ada sewaktu sesi perbahasan Parlimen berlangsung. Walaupun kami memahami tugasan dan tanggungjawab yang banyak menyebabkan barisan front bench tidak boleh selalu berada di Parlimen, tetapi mereka perlu pandai membahagikan masa.

Jangan sampai kerusi di blok kerajaan nampak kosong. Kalau menteri tiada, timbalan menteri kenalah ada. Sekarang pula satu menteri ada sampai dua timbalan menteri, takkan seorang pun tidak boleh hadir?

Jadi, bagi saya kita akan mengingatkan front bench. Tidak boleh terlalu mengharapkan pegawai kerajaan sahaja yang memaklumkan perkara dibangkitkan dalam sidang Parlimen. Ada bezanya bila kita dengar pembentangan pegawai kerajaan dengan hadir sendiri ke sidang Parlimen.

Selain itu, saya mahu menganjurkan perjumpaan ahli Parlimen BBC dengan kementerian-kementerian. Justeru, menteri dan timbalan menteri dari setiap kementerian boleh memberi penerangan kepada semua ahli Parlimen BBC terhadap perancangan mereka pada masa hadapan.

Ahli-ahli Parlimen BBC perlu cakna terhadap sebarang pembangunan projek yang sudah dirangka di kawasan masing-masing serta memastikan tiada secara cadangan pembangunan yang penting, tercicir.

Melalui perjumpaan sebegini, kami boleh menyuarakan cadangan projek pembangunan atau perkara lain berkepentingan rakyat kepada mana-mana kementerian berkaitan agar rakyat di kawasan masing-masing tidak terpinggir.

Ahli Parlimen BBC perlu cakna dengan setiap perancangan yang dirangka setiap kementerian di kawasan mereka. Banyak tidak mengetahui, jabatan-jabatan kerajaan yang memainkan peranan penting menamakan projek dan memohon peruntukan di kawasan masing-masing melalui usul Belanjawan.

Banyak ahli Parlimen yang tidak mengambil peduli soal itu, sedangkan apa berlaku di kawasan bakal menentukan nasib ahli Parlimen berkenaan. Justeru, ahli Parlimen perlu mengambil tahu apa sahaja cadangan projek atau permohonan peruntukan oleh jabatan kerajaan, perlu benar-benar memenuhi keperluan rakyat.

Bila jabatan kerajaan tidak efisien, yang menanggung akibatnya adalah wakil rakyat dan kerajaan. Ahli Parlimen kena menjadi semak dan imbang kepada keberkesanan tugas jabatan kerajaan.

Klik di sini untuk terus membaca