SHAH ALAM - Pakar kesihatan bimbang rakyat tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sekiranya kebebasan penuh diberikan kerajaan dalam masa terdekat.
Pakar Kesihatan daripada Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, setakat ini kebebasan penuh masih belum boleh dibenarkan kerana negara berada dalam fasa pemulihan.
Menurutnya, jika kebebasan penuh diberikan, ia akan mengundang risiko peningkatan kes Covid-19.
"Sekarang masih terlalu awal untuk berikan kebebasan sepenuhnya. Jika ia dilakukan, kes akan naik kerana Covid-19 masih bersama dengan kita.
"Sekarang kita perlu tertakluk kepada SOP sahaja walaupun kita telah lengkap vaksin.
"Masih lagi perlu memakai pelitup muka, amalkan penjarakan fizikal, cuci tangan dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Dzulkhairi berkata, rakyat perlu berganding bahu bersama kerajaan untuk mendapat kebebasan penuh kelak dengan mengambil vaksin dan mengamalkan SOP supaya jumlah kes menurun serta jangkitan dalam komuniti tidak berlaku.
Beliau berkata, dengan cara tersebut, kebebasan sepenuhnya pasti akan diperoleh suatu masa kelak.
"Saya tidak boleh jangka anggaran bila tetapi ia bergantung kepada keadaan semasa dan amalan SOP diteruskan atau tidak,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, kebebasan pada ketika ini hanya boleh diberikan secara berperingkat.
Menurutnya, pada masa ini pembukaan gelembung pelancongan di Langkawi, pembukaan sekolah, universiti dan juga sektor ekonomi adalah langkah permulaan ke arah kebebasan penuh.
"Jadi saya rasa ini cara yang terbaik, jangan buka semua serentak macam dulu.
"Saya rasa hujung tahun ini kita boleh buka banyak sektor tapi SOP masih ada,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca