SHAH ALAM - Dugaan bertugas di pusat pemberian vaksin (PPV) bukanlah suatu kerja mudah apabila 'caci maki’ serta kecaman menjadi sebahagian cabaran yang perlu diserap dan ditempuhi dengan tabah.
Pengarah Bahagian Keselamatan Radiasi dan Keselamatan Agensi Nuklear Malaysia (ANM), Ts Dr Husaini Salleh berkata, penugasan di PPV memerlukan sekeping hati yang cekal dan tidak mudah melatah.
Dr Husaini yang bertugas mengurus kakitangan ANM di PPV Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC) berkata, pelbagai ragam manusia yang boleh dilihat ketika mendapatkan vaksin, malah ada yang bertindak keterlaluan apabila hasrat mereka gagal dipenuhi.
"Tugas hakiki saya dan petugas ANM yang lain banyak dihabiskan di makmal. Namun apabila bertugas di PPV, kami perlu bertemu dengan orang ramai.
"Di sini kami perlu kuat terutama dari segi emosi kerana berhadapan dengan ramai orang dan pelbagai ragam.
"Jika tidak selari dengan kehendak mereka, caci makilah yang kami akan terima,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Dr Husaini berkata, seramai 70 hingga 75 orang petugas perkhidmatan awam (PPA) daripada ANM yang ditugaskan membantu perjalanan operasi di PPV BACC pada satu-satu masa.
Katanya, kumpulan PPA akan bertugas bersama petugas sukarelawan MyVac di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di PPV bagi melancarkan urusan pemberian vaksin kepada orang ramai.
Menurutnya, gabungan tugas secara bersama itu dilihat sangat berkesan terutama dalam memastikan kesemua tanggungjawab dilaksanakan dengan cepat dan teratur sekali gus memberi keselesaan buat penerima vaksin yang begitu ramai di PPV.
Beliau berkata lagi, PPV BACC sebelum ini pernah mencapai pemberian suntikan vaksin sebanyak 5,000 dos sehari, namun jumlah tersebut telah berkurangan kepada 2,500 dos sehari pada masa ini.
"Jumlah yang ramai itu memerlukan petugas yang kuat dari segi fizikal dan mental terutama dalam melayan pelbagai permintaan.
"Namun tidak dinafikan, ramai juga yang memahami tugas dan kekangan yang telah ditetapkan, malah patuh dengan nasihat yang diberikan kepada mereka.
"Semua itu sudah menjadi asam garam kepada kami yang bertugas di sini (PPV) pada setiap hari termasuk pada cuti umum,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca