SHAH ALAM - Hospital dan klinik swasta menegaskan mereka tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mendapatkan sijil vaksin Covid-19 secara haram.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Megaklinik Zahran (KMZ) dan Zahran Covid-19 Centre, Datuk Mohd Nafidz Abdul Razak berkata, perbuatan mendapatkan sijil vaksin secara haram adalah sangat tidak beretika.
Menurutnya, bukan sahaja menjijikkan, tindakan seumpama itu bertentangan dengan objektif dan misi utama negara yang mahu membebaskan masyarakat daripada Covid-19.
Jelasnya, pemberian vaksin telah terbukti membantu usaha menurunkan angka kritikal dan kematian ekoran virus Covid-19 yang berbahaya itu.
"Perbuatan memalsukan sijil digital vaksin Covid-19 akan menggagalkan usaha untuk Malaysia mencapai imuniti kelompok.
"Untuk itu, kami di Kumpulan Megaklinik Zahran sama sekali tidak akan berkompromi atau bersekongkol dengan mana-mana pihak yang mahu melakukan perbuatan terkutuk ini,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Tinjauan wartawan turut mendapati kebanyakan klinik swasta di Lembah Klang sudah tidak membekalkan suntikan dos pertama vaksin Covid-19 kepada orang ramai ekoran tiada bekalan tambahan diterima setakat ini.
Rata-rata klinik swasta tersebut tidak mengetahui bilakah bekalan itu akan diberikan kepada mereka.
Mengulas berkaitan isu integriti para doktor, Mohd Nafidz berkata, setiap pusat pemberian vaksin (PPV) kelolaan KMZ telah dimaklumkan dengan jelas standard operasi (SOP) yang wajib dipatuhi.
Menurutnya, setiap penerima vaksin mesti didaftarkan melalui sistem MyVas yang akan dikemas kini oleh pihak pengendali sistem aplikasi MySejahtera.
Tegasnya, setiap dos vaksin Covid-19 mempunyai kod tersendiri dan tidak boleh sewenangnya untuk tidak direkodkan.
"Lesen APC doktor juga direkodkan sebagai vaccinator. Jadi jika berlaku salah laku sebegini, pastinya akan memberi kesan buruk kepada lesen pengamal perubatan berkenaan,” kata beliau.
TIADA KOMPROMI
Ketua Bahagian Pentadbiran Sumber Manusia dan Pemasaran Hospital Islam Az-Zahrah (HIAZ), Ali Karimi Abdul Rahman berkata, menjadi satu kewajipan buat hospital yang terkenal dengan slogan Mesra Ibadah itu menolak budaya bertentangan dengan amalan murni Keluarga Malaysia.
Beliau berkata, sebagai sebuah hospital berkonsepkan Islam yang menjunjung nilai-nilai murni, pastinya HIAZ tegas menolak budaya rasuah.
"HIAZ menentang sekeras-kerasnya perbuatan jijik menyogok atau merasuah petugas kesihatan bagi mendapatkan sijil vaksin secara haram.
"Sebagai sebuah hospital Islam, HIAZ pastinya akan menjaga integriti dan amanah yang diberikan kepada kami.
"HIAZ sama sekali tidak akan berkompromi dengan perbuatan seumpama itu.
"Malah kita akan bertindak melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ada yang menawarkan habuan untuk mendapatkan vaksin dan sijil vaksin dengan cara itu,” katanya.
Selain itu katanya, HIAZ sentiasa memastikan semua petugas termasuk pemberi vaksin mengamalkan siasah Islamiah dalam tugasan masing-masing.
Tambahnya, tekad HIAZ adalah menjayakan misi kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat.
Klik di sini untuk terus membaca