SHAH ALAM - Perbuatan sesetengah pihak mendapatkan sijil vaksin secara haram mendorong wartawan Sinar Harian melakukan penyamaran bagi menyiasat dakwaan tersebut.
Bertempat di PPV Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC), penyiasatan dilakukan bagi melihat sejauh mana percubaan mendapatkan sijil vaksin secara haram boleh dilakukan.
Ketika ramai bakal penerima vaksin beratur diperiksa aplikasi MySejahtera pada telefon bimbit, wartawan cuba menyelinap dan berjaya melepasi kumpulan tersebut.
Terus berlalu ke tempat pendaftaran, kami kemudian ditahan di stesen pemeriksaan pertama.
Ditanya mengenai status imunisasi dalam sistem MySejahtera, wartawan yang menyamar segera menyatakan masih belum menerima apa-apa dos suntikan vaksin, selain menyatakan belum mendaftar untuk menerima dos pertama.
Sukarelawan yang bertugas terus meminta wartawan membawa bil utiliti bagi mengesahkan lokaliti kawasan PPV.
Memberi alasan tidak membawa sebarang bil utiliti, wartawan merayu untuk dibenarkan masuk bagi mendapatkan suntikan vaksin.
Setelah merayu dengan memberi pelbagai alasan, petugas sukarelawan akhirnya meminta salinan gambar bil utiliti bagi membolehkan masuk mendaftar.
Apabila gagal juga mengemukakan perkara yang diminta, wartawan akhirnya menyatakan hasrat untuk tidak menerima suntikan vaksin tetapi sekadar berurusan bagi 'membeli’ sijil vaksin secara haram.
Petugas sukarelawan di situ dilihat sangat terkejut dengan permintaan tersebut.
Dia mengangkat kedua-dua belah tangan sebagai tanda tidak bersetuju dan menyatakan dia tidak boleh melayan permintaan seperti itu.
Terus mengasak agar petugas sukarelawan membenarkan wartawan masuk ke lokasi seterusnya untuk 'berbincang’ dengan pihak lain bagi mendapatkan sijil vaksin secara haram, si pertugas sukarelawan tetap dengan pendirian tidak membenarkan kami melepasi stesen pemeriksaan pertama itu.
Malah dia memberi nasihat agar tidak melakukan perkara tidak elok itu dan menyarankan kami menerima suntikan vaksin untuk mendapatkan sijil.
Akhirnya sesi penyamaran didedahkan setelah melihat tiada jalan untuk melepasi 'halangan pertama’ itu.
Ternyata integriti petugas PPV BACC tersebut begitu tinggi dalam mempertahankan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.
Klik di sini untuk terus membaca