PADA bulan Januari 1961, Presiden Amerika Syarikat (AS) ketika itu, Dwight Eisenhower memberi amaran mengenai ancaman bahaya kepada sebuah negara demokrasi. Beliau menamakan ancaman ini sebagai kompleks industri ketenteraan. Apa yang... Klik di sini untuk terus membaca

PADA bulan Januari 1961, Presiden Amerika Syarikat (AS) ketika itu, Dwight Eisenhower memberi amaran mengenai ancaman bahaya kepada sebuah negara demokrasi. Beliau menamakan ancaman ini sebagai kompleks industri ketenteraan.

Apa yang dimaksudkan oleh Eisenhower ialah kebimbangan mengenai sebahagian daripada mereka yang pernah berkhidmat pada peringkat tinggi dalam angkatan tentera telah menyertai firma terkemuka industri pertahanan.

Beliau menyarankan pihak kerajaan berwaspada terhadap kewujudan pengaruh yang tidak sepatutnya, sama ada yang dipinta atau sebaliknya oleh kompleks industri ketenteraan ini.

Potensi berlakunya penggunaan pengaruh dan kuasa yang tidak sepatutnya digunakan akan wujud dan kekal berterusan.

Sebuah organisasi bebas, Campaign Against Arms Trade (CAAT) berpangkalan di Britain yang mahukan sekatan lebih ketat dan telus terhadap eksport sistem persenjataan global adalah antara yang paling lantang mahukan kompleks industri ketenteraan ini diberi perhatian serius.

Langkah mengambil bekas pegawai tinggi tentera ke dalam syarikat persendirian mungkin dilihat sebagai menguntungkan eksekutif industri pertahanan dan pemegang saham mereka, namun ia mampu menyebabkan ketelusan dalam proses bidaan dikompromi, harga tinggi terhadap produk dan kesiapsiagaan aset ketenteraan tergugat.

Apa yang menghalang daripada mekanisme semak imbang yang lebih telus dan efektif terhadap kompleks industri ketenteraan daripada bermaharajalela ialah imbuhan kewangan dan kemewahan yang diperagakan di hadapan pegawai-pegawai tinggi tentera yang bakal bersara.

Di AS umpamanya, firma komersial gergasi pertahanan mempunyai program khas seperti "Dari Medan Tempur ke Bilik Lembaga Pengarah”.

Ia bertujuan memadankan pegawai tinggi tentera dengan firma-firma komersial dan kontraktor persendirian.

Untuk mengelakkan penyelewengan akibat kompleks industri ketenteraan, AS dan Britain memperkenalkan beberapa mekanisma khusus.

Di AS, beberapa syarat seperti tempoh cooling period atau tempoh pembekuan diperkenal.

Tempoh ini tidak membenarkan seorang pegawai tentera yang pernah terlibat dalam sesuatu program perolehan aset pertahanan umpamanya setelah bersara, berkhidmat pula dengan firma komersial yang turut berusaha mendapatkan kontrak perolehan sama.

Di Britain, diwujudkan "Advisory Committee on Business Appointments” (ACoBA) bertujuan menilai dan mengawal selia aktiviti pegawai-pegawai tinggi tentera yang mahu menyertai firma pertahanan komersial mengikut penglibatan dan peringkat aktiviti pertahanan ketika berkhidmat dalam angkatan tentera.

Langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan kedua-dua negara dalam menangani kompleks industri-ketenteraan ini dianggap sebagai tidak berjaya dalam mengekal penyalahgunaan kuasa dan pengaruh oleh bekas pegawai tinggi tentera terhadap pegawai perolehan yang masih berkhidmat.

Sebuah organisasi bebas di Britain, Transparency International UK pada 2016 menyatakan bahawa ACoBA diibaratkan sebagai harimau yang tidak bergigi dan kompleks industri-ketenteraan diibaratkan sebagai bom jangka rasuah yang boleh meletup pada bila-bila masa.

Kita perlu bertanya apakah kompleks industri ketenteraan wujud di negara ini dan sekiranya benar, apakah tindakan agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dalam memastikan ia tidak menjadi kanser salah guna kuasa dan rasuah.

Langkah mengambil bekas pegawai tinggi tentera ke dalam syarikat persendirian mungkin dilihat sebagai menguntungkan eksekutif industri pertahanan dan pemegang saham mereka.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca