PENCEMARAN udara merujuk kepada perubahan dalam kandungan bahan kimia, jirim zarahan atau wujudnya bahan pencemar dalam udara atau atmosfera yang berbahaya kepada kehidupan manusia, haiwan dan tumbuhan. Bendasing ini wujud dalam bentuk... Klik di sini untuk terus membaca

PENCEMARAN udara merujuk kepada perubahan dalam kandungan bahan kimia, jirim zarahan atau wujudnya bahan pencemar dalam udara atau atmosfera yang berbahaya kepada kehidupan manusia, haiwan dan tumbuhan.

Bendasing ini wujud dalam bentuk habuk, asap, kabus, wap dan gas.

Terdapat dua bentuk pencemaran udara iaitu; pencemaran udara dalaman yang berlaku dalam bangunan seperti rumah dan pejabat disebabkan antaranya tiada pengudaraan yang baik serta pencemaran udara di luar bangunan yang diakibatkan antaranya oleh aktiviti manusia.

Kira-kira 6.5 juta kematian secara global berpunca daripada penurunan kualiti udara, menjadikan ia ancaman keempat terbesar kepada kesihatan manusia selepas tekanan darah tinggi, risiko pemakanan dan merokok.

Setiap tahun pencemaran udara membunuh manusia 19 kali lebih banyak daripada malaria, 9 kali lebih banyak daripada HIV dan tiga kali lebih banyak daripada alkohol.

Malahan, kesan kesihatan akibat pencemaran udara adalah serius yang mana 1/3 kematian akibat strok, kanser peparu dan jantung disumbangkan oleh pencemaran udara.

Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2018 mendapati, pencemaran udara membunuh anggaran 600,000 kanak-kanak setiap tahun dan menyebabkan pelbagai gejala daripada hilang kecerdasan kepada obesiti dan jangkitan telinga.

Pencemaran mikro dalam udara boleh melepasi sistem pertahanan tubuh dan meresap masuk jauh ke dalam sistem pernafasan, seterusnya menjejaskan peparu, jantung dan otak.

Kumpulan penyelidik dari Universiti Harvard pula melaporkan sekitar 12,000 nyawa boleh diselamatkan setiap tahun bagi setiap penurunan PM2.5 sebanyak 1ug/m3.

Kajian yang diterbitkan dalam Journal of the American Medical Association menunjukkan bahawa pendedahan jangka masa panjang kepada PM2.5 akan menyebabkan saluran darah membengkak dan mengeras seterusnya membawa kepada serangan jantung dan strok.

Pesakit asma misalnya lebih sensitif terhadap bahan pencemaran udara dengan 75 peratus pesakit menyatakan serangan asma mereka bertambah teruk disebabkan terhidu asap kenderaan.

Ini membuktikan pencemaran udara berupaya mengancam kesihatan manusia. Lantaran itu Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) memberi amaran, menjelang tahun 2040 kematian awal akibat pencemaran udara akan terus bertambah.

Jangkitan

Kajian mendapati pendedahan terhadap pencemaran udara adalah kunci utama terhadap risiko Covid-19.

Walaupun ancaman Covid-19 amat berbahaya dan memerlukan perhatian serius semua pihak, tindakan yang sama ke atas isu pencemaran udara akan membolehkan berbilion manusia menikmati jangka hayat yang lebih panjang dan sihat.

Indeks Kualiti Hidup Udara (AQLI) yang mengukur kesan pencemaran udara akibat pembakaran fosil petroleum terhadap kesan kesihatan manusia menyatakan, ketika dunia berlumba mencari vaksin bagi mengawal pandemik Covid-19, pencemaran udara akan terus memendekkan jangka hayat berbilion penduduk.

Gabungan kajian melalui data satelit global, kajian zarah serta rangkaian pemerhati pencemaran untuk menentukan sama ada pencemaran udara boleh menjadi punca kematian akibat Covid-19 mendapati, jika seseorang terdedah dengan pencemaran udara dan kemudiannya dijangkiti Covid-19, ia memberi kesan lebih buruk kepada jantung dan saluran darah.

Berdasarkan Laporan Jurnal Penyelidikan Kardiovaskular pula, kualiti udara yang disedut kebanyakan manusia mencetuskan risiko lebih tinggi berbanding ancaman Covid-19 yang mana pendedahan jangka panjang kepada udara tercemar mungkin menyumbang kepada 15 peratus kematian Covid-19 global.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah dari Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca