LONDON - Vaksin Covid-19 memberi tindak balas dengan baik dan tiada bukti kukuh menunjukkan populasi umum yang sihat memerlukan suntikan penggalak buat masa ini. Perkara itu diumumkan panel saintis terkemuka dari seluruh dunia yang dijangka... Klik di sini untuk terus membaca

LONDON - Vaksin Covid-19 memberi tindak balas dengan baik dan tiada bukti kukuh menunjukkan populasi umum yang sihat memerlukan suntikan penggalak buat masa ini.

Perkara itu diumumkan panel saintis terkemuka dari seluruh dunia yang dijangka mencetuskan perdebatan tentang keperluan suntikan dos ketiga yang telah dirancang kebanyakan negara bagi meningkatkan perlindungan terhadap sistem imun tubuh.

Laporan diterbitkan jurnal The Lancet hasil kajian bersama 18 penyelidik termasuk dua pakar Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA), Dr Marion Gruber yang mengetuai Pejabat Penyelidikan dan Kajian Vaksin dan timbalannya, Dr Philip Krause berpendapat negara antarabangsa sewajarnya memberi tumpuan kepada individu yang belum divaksin bagi mencapai imuniti kelompok.

Anthony fauci

Gruber dan Krause merupakan antara dua kakitangan kanan FDA yang menggesa pentadbiran bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk mempercepatkan kelulusan vaksin Covid-19 sebelum ini.

Selain mereka, pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Soumya Swaminathan, Dr Ana-Maria Henao-Restrepo dan Dr Mike Ryan juga terlibat penyelidikan tersebut.

Saranan yang menolak pemberian suntikan penggalak diputuskan berdasarkan penilaian terhadap kajian pemerhatian dunia nyata dan data ujian klinikal sebelum vaksin Covid-19 diluluskan.

"Tidak ada kajian memberikan bukti boleh dipercayai tentang penurunan tahap perlindungan terhadap penyakit teruk. Mungkin juga terdapat risiko kesan sampingan jika suntikan penggalak diperkenalkan terlalu cepat dan secara meluas tanpa mengambil kira data sebenar.

"Ia mungkin diperlukan golongan yang mempunyai sistem imun tubuh yang lemah," ujar laporan itu.

Kajian itu dibuat selepas kebanyakan negara yang mempunyai lebihan bekalan vaksin Covid-19 sedang mempertimbangkan sama ada mahu melancarkan kempen suntikan dos ketiga bagi meningkatkan imuniti di samping mengekang penularan varian Delta yang lebih berbahaya.

AS yang bergelut dengan ancaman wabak itu yang masih tinggi turut merancang program suntikan penggalak bermula Isnin kepada individu yang sudah menerima suntikan penuh dalam tempoh lapan bulan selepas mendapatkan dos terakhir.

Kumpulan berisiko

Pada Jumaat, Jawatankuasa Penasihat FDA bagaimanapun menolak saranan untuk memberikan suntikan penggalak vaksin Pfizer dan BioNTech kepada populasi umum.

"Pemberian dos ketiga disarankan kepada golongan berusia 65 tahun ke atas dan rakyat Amerika yang berisiko tinggi," kata pakar vaksin dan penyakit berjangkit di Boston Children's Hospital, Dr Ofer Levy.

Kumpulan penyelidik itu juga menolak keputusan tergesa-gesa pentadbiran Presiden Joe Biden untuk melancarkan kempen suntikan dos ketiga sebelum saintis persekutuan mengeluarkan saranan berdasarkan bukti kajian.

Sebelum ini, WHO menolak tindakan terburu-buru segelintir negara yang sudah memberikan suntikan dos ketiga ketika negara miskin berdepan ketidakadilan terhadap akses vaksin Covid-19 kerana dimonopoli negara kaya.

"Bekalan vaksin Covid-19 sebenarnya dapat menyelamatkan lebih banyak nyawa jika diberikan kepada populasi belum divaksin walaupun suntikan penggalak didakwa dapat mengurangkan risiko penyakit serius untuk tempoh jangka sederhana," jelas laporan itu lagi.

Hasil pemerhatian terhadap kajian setakat ini, secara purata vaksinasi menunjukkan 95 peratus berkesan terhadap penyakit teruk termasuk virus bermutasi lebih berjangkit seperti Delta dan lebih 80 peratus efektif untuk mencegah sebarang jangkitan.

Laporan kajian itu juga mendapati individu yang belum divaksin masih menularkan wabak itu dan keadaan kesihatan mereka yang berisiko tinggi juga berpotensi menjadi lebih buruk walaupun di negara mempunyai kadar inokulasi yang tinggi.

Data Israel yang menjadi perintis program suntikan penggalak mendakwa dos ketiga meningkatkan tahap perlindungan, namun ia masih tidak dapat mengesahkan sama ada ia dapat melindungi untuk tempoh jangka masa panjang atau adakah manfaatnya dapat kekal bagi waktu yang lama.

Israel menjadi perintis program suntikan penggalak yang dilancarkan ke atas kumpulan pertama terdiri daripada warga emas berusia 60 tahun ke atas pada Julai lalu.

Kajian India

Penyelidikan dilakukan saintis India ke atas 614 kakitangan perubatan yang sudah menerima dos lengkap menunjukkan penurunan ketara terhadap antibodi dalam tempoh empat bulan selepas suntikan dos pertama.

"Kami akan maklumkan dengan lebih jelas sama ada suntikan penggalak diperlukan selepas tempoh enam bulan. Kami juga menggesa kajian sama di kawasan berbeza untuk data pan-India," kata Dr Sanghamitra Pati di Regional Medical Research Centre di bandar Bhubaneswar.

Adar Ponnawalla

Menurutnya, penurunan antibodi tidak bermakna individu hilang keupayaan untuk melawan penyakit memandangkan sel memori tubuh masih dapat memberikan perlindungan yang tinggi.

Difahamkan, kajian yang diterbitkan menerusi platform pracetak, Research Square itu dapat membantu pemerintah untuk memutuskan sama ada mahu melancarkan program suntikan penggalak seperti yang sudah dilakukan beberapa negara atau sebaliknya.

Penyelidikan itu melibatkan dua jenis vaksin, Covishield (versi AstraZeneca India) dan vaksin tempatan, Covaxin.

Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan memaklumkan ia sedang mengkaji perkembangan sains tentang dos penggalak kerana fokus utama mereka adalah untuk memberikan suntikan penuh kepada 944 juta orang dewasa di India.

Setakat ini, lebih 60 peratus populasi dewasa sudah menerima dos pertama dan 19 peratus lagi memperoleh dos lengkap.

Pada bulan lalu, penyelidik di United Kingdom (UK) juga mendakwa tahap perlindungan dua dos Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca mula menurun dalam tempoh enam bulan. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca