SHAH ALAM - Pemimpin mahasiswa meminta agar yuran institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara ini dikurangkan berikutan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi semester baharu iaitu pada Oktober nanti. Yang Dipertua Majlis... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pemimpin mahasiswa meminta agar yuran institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara ini dikurangkan berikutan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi semester baharu iaitu pada Oktober nanti.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Wan Akmal Nazirah Wan Ubaidillah berkata, pengurangan tersebut adalah kerana pihak IPT sudah dapat menjimatkan kos penggunaan fasiliti seperti bil elektrik dan air kerana pelajar tidak berada di kampus pada semester yang lalu.

Beliau berkata, pihak universiti boleh melaksanakan pemulangan atau pengurangan yuran pengajian dengan mengkreditkan sebanyak RM100 daripada jumlah yuran pengajian semester sebelum ke dalam sistem kewangan mahasiswa bagi semester akan datang.

"Selain itu, caj tambahan pengurangan yuran perkhidmatan sebanyak 30 peratus dari jumlah yang telah dipotong perlu diberikan kepada mahasiswa.

"Jika mahasiswa telah menamatkan pengajian pada semester lalu, pengurangan atau pengurangan ini perlu dilakukan secara terus ke dalam akaun bank mahasiswa yang berdaftar,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Wan Akmal Nazirah berkata, mahasiswa juga menuntut pemotongan yuran yang diumumkan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) sebanyak 20 peratus diberikan kepada semua mahasiswa.

"Semua mahasiswa perlu diberi pengurangan ini tidak kira sama ada mereka berada dalam aliran perdana atau tidak.

"Hal ini kerana mereka tetap warganegara walaupun tidak berada dalam aliran perdana,” ujarnya.

Bagi Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhammad Hafizuddin Mohd Faisal pula, beliau menyokong penuh kajian penstrukturan yuran IPTA yang dilihat mampu membantu golongan yang terkesan akibat wabak pandemik Covid-19.

Justeru, beliau berpandangan sekiranya kerajaan bersetuju untuk mengurangkan kadar yuran kelak, mereka perlu memberi suntikan dana khas kepada pihak universiti.

"Kena tengok balik, kalau betul yuran nak murah, kena bagi dana kepada universiti.

"Sebagai contoh di UiTM sendiri mereka telah banyak keluar dana bagi memastikan keselesaan pelajar ketika melaksanakan pembelajaran secara atas talian antaranya banyak mewujudkan sistem pembelajaran e-future, sediakan software khas untuk pelajar kejuruteraan dan sebagainya,” katanya.

Kurang guna fasiliti kampus

Sementara itu, Yang Dipertua MPP Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Huzaifi Ismut berkata, kerajaan wajar mengkaji semula yuran IPT supaya dikurangkan berdasarkan penggunaan fasiliti dan perkhidmatan oleh pelajar di kampus.

Ujarnya, pengkajian yuran berkenaan perlu merangkumi secara keseluruhan termasuk dari segi pembelajaran, perkhidmatan, kolej kediaman, aktiviti dan lain-lain.

"Saya berpandangan perkara itu perlu untuk dikaji semula memandangkan dalam tempoh sekarang pelajar IPT tidak balik ke kampus dan mereka tidak menggunakan perkhidmatan serta fasiliti yang ada di kampus.

"Ini bermakna, perlu ada pengurangan yuran dari sudut penggunaan fasiliti, bas kampus dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhammad Darwisy Roslan berkata, yuran IPT wajar dikurangkan supaya ia sesuai dengan keadaan semasa terutama ketika pelajar menggunakan kaedah PdP dalam talian.

"Mungkin ada kos-kos yang sudah tidak perlu dikenakan kepada pelajar yang belajar secara PdP dalam talian di rumah mereka seperti yuran fasiliti, yuran klinik kesihatan, yuran asrama dan sebagainya.

"Ia termasuk juga yuran untuk pelajar antarabangsa yang punyai perbezaan struktur yang ketara,” ujarnya.

Presiden MPP Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Muhammad Faiz Rashdan Mohd Rifae pula berkata, pihaknya berharap kajian penstrukturan yuran IPT perlu melibatkan semua pihak termasuk IPT swasta dan kolej-kolej swasta.

"Kalau penstrukturan semula, kita sebenarnya kena melihat dengan lebih menyeluruh.

"Biasanya kalau cakap berkenaan perkara tersebut, selalunya melibatkan IPT awam. Memang benar IPT awam bawah KPT, namun pelajar di IPT swasta dan kolej swasta turut terkesan akibat Covid-19,” katanya.

Pemimpin mahasiswa meminta agar yuran IPT dalam negara ini dikurangkan berikutan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi semester baharu iaitu pada Oktober nanti.
Klik di sini untuk terus membaca