SHAH ALAM - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berpandangan bahawa kewajaran untuk mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) adalah bergantung kepada pihak suruhanjaya yang mengeluarkan kad berkenaan.
Pesuruhjaya Suhakam, Jerald Joseph berkata, dari aspek hak asasi manusia, jaminan keselamatan seseorang itu perlu diberikan keutamaan sekiranya mereka ingin ke negara asal.
Secara prinsipnya beliau menjelaskan, perlindungan pelarian adalah perlu bagi mereka yang memang memerlukan perlindungan antarabangsa dan terpaksa melarikan diri kerana konflik peperangan, penganiayaan dan pencabulan hak asasi manusia yang serius.
Perlindungan pelarian tidak seharusnya diberikan kepada individu yang melakukan jenayah serius atau tindakan yang tidak selari dengan tujuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Sebarang persoalan mengenai status pelarian memerlukan penilaian yang terperinci, fakta yang relevan dan melalui proses yang adil bagi membuat keputusan sama ada perlindungan adalah perlu atau pengecualian d justifikasi bagi setiap kes,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau juga berpendapat bahawa isu 'wanted by police' haruslah dipantau oleh agensi polis di negara yang individu itu melarikan diri dan jika kesalahan itu adalah jenayah biasa, seharusnya tiada perlindungan UNHCR.
"Walau bagaimanapun, jika seseorang itu melarikan diri disebabkan oleh isu ketakutan yang kuat untuk dianiaya dengan alasan agama, kewarganegaraan, keanggotaan kumpulan sosial tertentu atau pendapat politik, ini berbeza dengan isu jenayah yang lain.
"Pihak polis Malaysia juga tidak seharusnya menghantar pulang warga asing yang dikehendaki atas alasan tidak selamat untuk pulang ke negara asal mereka. Apatah lagi apabila pihak UNHCR mengiktiraf seorang itu pelarian, bermaksud ada isu yang mendalam yang membolehkan ia diiktiraf oleh undang-undang antarabangsa,” katanya.
Baru-baru ini gempar apabila seorang usahawan yang menjadi buruan, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat ditahan pada 8 September lalu di Bangkok, Thailand.
Lebih mengejutkan, Sajat ketika ditahan pihak imigresen Thailand mendapati dia memiliki kad UNHCR.
Bagaimanapun Joseph berkata, kad UNHCR sukar dimiliki kerana ia memerlukan proses yang terperinci ketika permohonan dibuat oleh seseorang individu.
Tegasnya, ini melibatkan proses yang mendalam untuk memutuskan adakah seorang pencari suaka itu boleh dianggap sebagai seorang pelarian.
"UNHCR mengeluarkan kad kepada sesiapa yang memenuhi definisi antarabangsa yang memerlukan perlindungan pelarian, tanpa diskriminasi bangsa, agama atau kewarganegaraan.
"Pihak UNHCR akan membuat temuduga secara menyeluruh dan bertanyakan bukti keadaan diri individu tersebut sebelum membuat keputusan sama ada dia boleh diiktiraf sebagai seorang pelarian.
"Pendaftaran dan identiti pelarian merupakan maklumat penting bagi sesebuah negara mengetahui tentang pelarian yang berada dalam negara itu dan membolehkan mereka mendapat bantuan dan perlindungan asas,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Berdasarkan sumber yang didedahkan oleh akhbar tempatan, alasan sebenar Sajat untuk memohon kad pelarian dan berpindah ke Australia kerana mendakwa dia mendapat ugutan bunuh selepas mengumumkan keluar daripada Islam, selain diburu lebih 100 penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Malah, Sajat, 36, turut mendapat bantuan guaman dari suruhanjaya itu di Bangkok.
Dalam pada itu Joseph berkata, sistem penambahbaikan merupakan cara yang efisien dan selamat untuk mengesahkan dokumen yang dikeluarkan oleh UNHCR sekiranya terdapat sebarang elemen penipuan.
"Sistem UNHCR Verify-MY App ini digunakan oleh penguatkuasa yang disahkan oleh UNHCR (di Malaysia).
"UNHCR terus berusaha untuk menangani isu ini dengan pihak berkuasa di Malaysia dan mengeluarkan belanja yang besar untuk memperkemaskan prosedur untuk memastikan integriti dokumentasi,” katanya.
Selain itu katanya, mereka yang memperoleh kad ini seharusnya diberi perlindungan daripada pengusiran secara paksa ke negara di mana mereka mempunyai risiko penganiayaan atau nyawa terancam namun ia tidak memberi pemegangnya kekebalan dari segi tindakan undang-undang.
"Kad ini merupakan pengiktirafan seseorang itu adalah pelarian yang duduk sementara di negara Malaysia atau Thailand sehingga keadaan negara asalnya kembali selamat atau beliau boleh ditempatkan di negara ketiga secara tetap.
"Di Malaysia, kad ini lebih kepada identiti bahawa mereka adalah pelarian yang diiktiraf oleh UNHCR dan bukan seorang warga asing yang masuk bekerja secara haram. Perlindungan hanya terhad dari segi perlindungan kemanusiaan dengan harapan mereka kurang berisiko untuk ditahan oleh pihak berkuasa berbanding dengan yang lain tanpa dokumen sah,” katanya.
Tambah Joseph, Di Malaysia, untuk memohon pendaftaran, seseorang itu perlu mendapatkan temu janji dengan UNHCR dan akan melalui proses saringan yang amat ketat untuk menentukan pemohon mempunyai tuntutan yang sah bagi perlindungan antarabangsa dan bukan merupakan migran ekonomi.
Menurutnya, proses Menentusahkan Status Pelarian (Refugee Status Determination-RSD) itu termasuklah melalui temubual dan langkah-langkah siasatan mengikut kriteria pelarian antarabangsa yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Negara Anggota termasuk Malaysia.
"Seseorang itu harus di temubual mengikut prosedur yang ketat oleh pegawai UNHCR yang terlatih dan segala maklumat mereka diperiksa untuk memastikan kesahihannya," katanya.
Jelas beliau, hampir mustahil untuk seseorang itu memiliki UNHCR secara sindiket atau membeli dari pihak ketiga kerana ia menggunakan sistem cip yang bermutu tinggi dengan kod keselamatan yang baik.
"Terdapat banyak dakwaan sebelum ini mengenai dokumen palsu yang tidak dikeluarkan oleh UNHCR dan ia diedarkan kepada migran dan komuniti pelarian di Malaysia.
"Pihak UNHCR telah menambah baik ciri-ciri keselamatan di mana kad UNHCR boleh diperiksa melalui sistem Card Verification Service (CVS) termasuk ciri-ciri hologram 3D, kod bar dan Secure Quick Response (SQR) yang disokong oleh data biometrik di pejabat UNHCR termasuk imbasan cap jari serta anak mata," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca