SHAH ALAM - Kita sering mendengar dan diberi pengetahuan mengenai penyakit Covid-19 sejak pandemik ini melanda negara sejak tahun lalu namun mungkin ramai masih belum memahami sindrom Long Covid atau Post Covid yang dihidapi oleh mereka... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kita sering mendengar dan diberi pengetahuan mengenai penyakit Covid-19 sejak pandemik ini melanda negara sejak tahun lalu namun mungkin ramai masih belum memahami sindrom Long Covid atau Post Covid yang dihidapi oleh mereka yang dahulunya dijangkiti oleh virus tersebut.

Long Covid adalah kesan jangka panjang yang dihidapi oleh individu yang dijangkiti wabak Covid-19

Bagi mereka yang menghidapi gejala ini, ada yang masih keliru atau tidak yakin bahawa mereka mempunyai sindrom Post Covid sehingga menimbulkan pelbagai persoalan tentang apa yang patut mereka lakukan.

Tanpa disedari, angka mereka yang mengalami sindrom Long Covid juga meningkat apabila terdapat 12,654 individu yang pernah dijangkiti Covid-19 disyaki mengalami sindrom berkenaan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar juga memaklumkan mereka telah diberi janji temu untuk rawatan susulan bagi memantau dan merawat sindrom tersebut.

Pegawai Kesihatan Jabatan Kecemasan, Hospital Columbia Asia di Cheras, Dr Malar Santhi Santherasegapan berkata, sindrom Long Covid boleh membunuh jika pesakit tidak diperiksa dan dipandang ringan.

"Sindrom Long Covid boleh membunuh kerana ia mempunyai keadaan di mana pesakit boleh mendapat Pulmonary Embolism (PE) atau darah beku yang masuk ke saluran yang menyebabkan kematian secara tiba-tiba.

"Contohnya, selepas dijangkiti Covid-19, pesakit mempunyai darah tinggi namun dia merasakan bahawa ia hanyalah sakit kepala dan ketika tiba di hospital, dia sudah tidak sedarkan diri akibat pendarahan di dalam kepala. Keadaan begitu pernah berlaku dan disebabkan itu, Long Covid perlu diberi perhatian,” katanya.

JENIS GEJALA

Dr Malar Santhi berkata, sindrom Long Covid merupakan gejala yang merangkumi pelbagai sistem di dalam tubuh badan dan semua kategori satu hingga lima boleh mengalaminya di mana pada kebiasaannya ia akan melibatkan gangguan kepada sistem pernafasan pesakit.

"Yang pertama, ia akan mengganggu sistem pernafasan apabila mereka boleh mendapat selesema, kahak, batuk berpanjangan, sakit tekak, sesak nafas, semput dan cepat penat apabila berjalan dengan cepat.

"Jantung pula berdebar-debar, tekanan darah lebih tinggi atau lebih rendah daripada biasa sebelum kena jangkitan, mempunyai radang di jantung dan mereka mempunyai degupan jantung tidak normal,” katanya.

Tambahnya, pesakit juga mempunyai masalah berkaitan dengan sistem pemakanan dan penghadaman, sistem saraf malah hilang deria bau dalam jangka masa yang panjang.

"Pesakit mungkin mengalami cirit-birit, loya, muntah, kembung perut, sebu dan kurang selera makan. Terdapat juga pesakit mengalami penyakit yang melibatkan sistem saraf yang berkaitan dengan otak dan mental seperti sukar untuk tidur, rasa takut dan sedih secara tiba-tiba, susah fokus, cepat lupa dan sawan.

"Namun antara yang perkara paling kerap yang dilaporkan oleh pesakit adalah hilang deria bau. Walaupun sudah sembuh, deria bau masih tidak kembali atau mereka bau benda yang pelik seperti bau arang atau ikan yang hanyir dan gejala ni berpanjangan selama berbulan-bulan,” katanya.

Hospital Columbia Asia di Cheras antara hospital swasta yang mempunyai klinik khas untuk membantu bekas pesakit Covid-19 bagi mengubati sindrom Long Covid yang mereka alami.

PESAKIT KOMORBIT LEBIH BERISIKO

Dr Malar Santhi yang merupakan ikon terkenal di media sosial kerana sering memberi pengetahuan mengenai Covid-19 melalui Celoteh Dr Malar berkata, pesakit yang mempunyai penyakit lain atau komorbid boleh menyebabkan gejala Covid-19 dan sindrom Long Covid menjadi ketara berbanding pesakit lain.

"Contohnya, jika pesakit menghidap asma, keadaan mereka akan menjadi lebih teruk. Mereka akan kerap mendapat serangan asma yang menyebabkan rawatan untuk penyakit tersebut diberikan dengan lebih kerap.

"Sama juga seperti masalah kencing manis, darah tinggi atau kegagalan jantung yang sedia ada. Dalam jangka masa Long Covid itu, kebiasaannya mereka akan memerlukan rawatan yang lebih banyak dan pemantauan yang lebih rapi,” katanya.

Tambah beliau, rawatan susulan bagi pesakit yang mempunyai sindrom Long Covid amat disarankan dan penting untuk kesihatan fizikal serta mental sebagai satu bentuk tanda sokongan atau semangat kepada pesakit ini.

"Jika dalam tempoh 14 hari pertama selepas habis kuarantin dan pesakit masih ada gejala demam, muntah dan cirit-birit, saya sangat menyarankan untuk berjumpa dengan doktor, membuat pemeriksaan yang rapi dan mendapatkan diagnosis yang sebenar.

"Ini kerana kita tidak boleh menganggap itu adalah sindrom Long Covid semata-mata kerana kadang-kadang pesakit demam disebabkan masalah lain seperti denggi dan kita tidak mahu terlepas pandang penyakit lain yang boleh dialami oleh mereka,” katanya.

Selain itu, rawatan susulan juga penting bukan sahaja untuk pemeriksaan fizikal, malahan dari segi emosi bekas pesakit Covid-19 yang kebanyakannya terganggu oleh stigma masyarakat terhadap mereka.

"Kita juga tidak mahu mereka bergelut dengan gejala itu seorang diri yang mungkin akan menyebabkan tekanan dan kemurungan.

"Support system itu penting di mana doktor boleh menjelaskan keadaan sebenar pesakit supaya mereka mempunyai keyakinan diri dan kesihatan mental yang lebih mudah untuk kita jaga," katanya.

KAUNTER KHAS

Dalam pada itu, Dr Malar Santhi berpandangan bahawa institusi kesihatan setiap daerah dan negeri perlu mempunyai kaunter khas untuk Long Covid demi membantu pesakit membuat pemeriksaan fizikal dan mental dari masa ke masa.

"Untuk pengetahuan, di hospital saya bekerja mempunyai klinik khas untuk membantu bekas pesakit Covid-19 dengan memberi lebih keyakinan untuk datang hasil inisiatif pihak hospital sendiri yang mula beroperasi pada Ogos lalu.

"Saya rasa setiap institusi kesihatan setiap daerah dan negeri perlu ada kaunter khas ini namun saya faham institusi kesihatan kerajaan sudah tidak menang tangan maka hospital swasta atau kementerian lain sepatutnya membuka kaunter sebegini sebagai sokongan ” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca